Perbahasan mengenai pilhanraya timbul lagi apabila Tan Sri Abdul Rashid, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan SPR akan memperkenalkan penggunaan dakwat tidak boleh padam.
Menurut sistem ini, setiap pengundi akan ditanda jarinya dengan dakwat yang tidak boleh dipadamkan selama beberapa hari bagi mengelakkan pengundian berulang atau di Malaysia popular dengan istilah pengundi hantu. Selain itu, SPR juga akan memperkenalkan penggunaan kotak undi yang lutsinar.
Tan Sri Rashid yang pernah mengatakan SPR perlu diberi lebih kuasa dan undang-undang pilihanraya di Malaysia, perlu direformasikan sebelum pilihanraya kecil Batu Talam yang lalu, juga menyatakan suruhanjaya itu bersetuju dari segi prinsipnya untuk memperkenalkan sistem tersebut, tetapi ia memerlukan pindaan terhadap Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihanraya) 1981.
Kenyataan Tan Sri Rashid ini mengundang pelbagai reaksi dari parti politik pemerintah dan pembangkang. Umno menentangnya dengan alasan kaedah ini sudah ketinggalan zaman, penggunaan dakwat tidak boleh padam mungkin menyebabkan masalah kepada orang Islam yang mahu solat dan penggunaan sistem biometrik lebih berkesan.
MCA juga menentangnya tetapi menggunakan alasan penggunaan dakwat tak boleh padam adalah kaedah konvensional yang digunakan oleh negara-negara Afrika dan bahan yang digunakan untuk membuat dakwat tak boleh padam itu, masih dicurigai.
DAP menyambut baik usaha SPR itu dengan mengatakan kaedah itu boleh mendekatkan pilihanraya di Malaysia dengan standard pilihanraya bebas dan adil. PAS juga bersetuju tetapi menuntut SPR memaklumkan bahan yang digunakan membuat dakwat itu, daftar pemilih dibersihkan daripada pengundi hantu dan undi pos dihapuskan.
Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula meragui SPR kerana sikap pengerusinya yang sering berubah-rubah, contohnya seperti apa yang berlaku sebelum pilihanraya Batu Talam dulu.
Modal politik
Tan Sri Rashid ketika mengumumkan tentang rancangan SPR itu dengan sinisnya berkata: Kita tidak suka buat kaedah ini, tetapi kita bersetuju supaya polemik mengenainya boleh dihentikan.
"Kalau tidak, selagi kita tidak buat, selagi itulah isu ini akan dijadikan modal politik oleh parti-parti pembangkang, seolah-olah selama ini mereka gagal menang pilihanraya kerana kita tidak menggunakan sistem ini.
"Kita sudah banyak kali cakap, sistem itu ketinggalan zaman walaupun beberapa negara masih mengamalkannya. Tetapi untuk memuaskan hati mereka, kita terima juga." (Dipetik dari Mstar Online, 2 Jun 2007).
Di negara-negara Asia yang lain, penggunaan dakwat tidak boleh padam dan kotak undi lutsinar adalah satu perkara yang biasa. Pada tahun 2004, sewaktu pilihanraya presiden yang pertama di Afghanistan selepas 30 tahun bergelumang dengan peperangan, Badan Bersama Pengurusan Pilihanraya (JEMB) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengendalikan pilihanraya di Afghanistan,memperkenalkan penggunaan dakwat tidak boleh padam dan kotak undi lutsinar.
Penggunaan dakwat tidak boleh padam langsung tidak dibantah oleh mana-mana ulama atau pemimpin agama di republik Islam itu, sama ada yang bermazhab Syiah atau Sunnah.
Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia, juga menggunakan dakwat tidak boleh padam dalam pilihanraya selepas Suharto digulingkan. Kumpulan-kumpulan Islam yang besar, seperti Muhamadiyah dan Nahdatul Ulama, juga tidak membantah dasar ini, malahan menyokong dan mengalakkan ahli-ahli mereka mengundi dalam pilihanraya.
Boleh solat
Isu dakwat tidak boleh padam sehingga menyebabkan umat Islam tidak boleh solat langsung tidak timbul. Umat Islam di Indonesia masih boleh solat walaupun dakwat masih di jari mereka.
Pada pandangan saya, usaha SPR untuk memperkenalkan penggunaan dakwat tidak boleh padam dan kotak undi lutsinar adalah langkah yang baik, tetapi belum cukup untuk mengembalikan kredibiliti pilihanraya di Malaysia. Masih terlalu banyak yang perlu dilakukan untuk pilihanraya di Malaysia mencapai standar bebas dan adil.
Salah satu indikator penting untuk sesebuah pilihanraya itu mencapai standar bebas dan adil seperti yang ditentukan oleh PBB ialah media (media cetak dan elektronik) memberikan liputan yang adil kepada semua calon yang bertanding, tidak kira dari parti politik pemerintah ataupun parti politik pembangkang.
Setiap calon yang bertanding dalam pilihanraya berhak untuk menjelaskan kepada bakal pengundi tentang manifesto mereka atau apa yang mereka ingin lakukan sekiranya dipilih. Bakal pengundi juga berhak untuk mendapatkan maklumat mengenai calon-calon pilihanraya yang bertanding, tidak kira calon itu dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang.
Ini yang tidak berlaku di Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebuah media negara yang seharusnya bebas dan adil, memainkan peranan sebagai mesin propaganda parti pemerintah dan seringkali menyiarkan program-program propaganda anti-pembangkang.
RTM juga hanya akan menyiarkan maklumat yang memihak kepada parti-parti pemerintah. Manakala akhbar-akhbar arus perdana pula seperti Utusan Malaysia (milik Umno), Berita Harian, New Straits Times (NST) dan The Star (milik MCA), memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan hanya memberikan sedikit liputan untuk parti-parti pembangkang dan biasanya laporan-laporan yang bersifat negatif.
Kempen jahat
Malahan dalam pilihanraya umum kesepuluh pada 1999, RTM menyiarkan kempen jahat seperti jika undi pembangkang, negara akan huru-hara. Dalam undang-undang pilihanraya di Indonesia, kempen jahat diharamkan dan mana-mana calon atau parti politik yang menggunakan cara ini untuk menjatuhkan sesuatu calon atau parti politik yang lain, boleh dilucutkan daripada bertanding. Tetapi di Malaysia, media negara RTM menyiarkan kempen jahatuntuk melemahkan parti pembangkang dan SPR tidak berbuat apa-apa.
Belum lagi dikira stesen-stesen TV swasta yang rapat dengan Umno dan BN seperti TV3, semuanya akan memainkan peranan untuk menyiarkan laporan-laporan yang baik untuk parti pemerintah dan yang negatif mengenai parti-parti pembangkang.
Maka sebab itulah imej jahat parti pembangkang berjaya diwujudkan oleh media, terutamanya kepada masyarakat Melayu di luar bandar yang tidak mendapat maklumat dari media-media alternatif dan internet.
Dengan adanya Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, kesemua akhbar atau majalah memerlukan permit daripada Kementerian Dalam Negeri. Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga hari ini masih lagi tidak dapat permit untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri.
Sudahlah tidak dapat liputan dalam media negara (RTM) dan media arus perdana, hak untuk mempunyai surat khabar sendiri juga dinafikan. Permit akhbar, jika diberikan pun, jualannya hanya diterhadkan kepada ahli-ahli parti sahaja seperti yang berlaku kepada Harakah, kepunyaan parti PAS.
Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengembalikan kredibiliti pilihanraya di Malaysia. Media hanyalah salah satu indikator. Banyak lagi yang boleh dipertikaikan. Contohnya seperti SPR yang tidak mengiktiraf kehadiran pemantau pilihanraya antarabangsa seperti yang berlaku dalam pilihanraya umum 1999 dan 2004.
Kalau pilihanraya di Malaysia itu bebas dan adil, apa yang SPR perlu ditakutkan dengan kehadiran pemantau pilihanraya antarabangsa? Pepatah Melayu ada mengatakan, berani kerana benar, takut kerana salah.
Diharapkan, parti-parti pembangkang tidak termakan dengan gula-gula yang diberikan oleh SPR. Masih banyak yang perlu direformasikan untuk memastikan pilihanraya di Malaysia bebas dan adil.
Selagi kesemua calon yang bertanding dalam pilihanraya tidak diberikan liputan yang adil oleh media, selagi kesemua parti politik tidak mempunyai hak yang sama rata untuk mempunyai akhbar mereka sendiri, maka pilihanraya di Malaysia adalah tidak adil dan parti pembangkang tidak akan berjaya untuk mengalahkan BN untuk memerintah Malaysia.