Pertama kali dalam sejarah Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja, persatuan mahasiswa dan parti-parti pembangkang - yang bergabung dalam Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) - mengambil inisiatif untuk bersungguh-sungguh memperjuangkan pilihanraya yang bebas, telus dan adil.
Bersih akan menganjurkan Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 10 November 2007 di Dataran Merdeka bagi menuntut agar pilihanraya di Malaysia dijalankan dengan bebas dan adil. Perhimpunan yang bertemakan Selamatkan Malaysia itu dijangka dihadiri 100 000 rakyat dari seluruh negara.
Malahan perhimpunan ini dikatakan bakal mengulangi sejarah 20 September 1998 di mana 100,000 rakyat berkumpul di Dataran Merdeka sewaktu pemecatan Anwar Ibrahim. Yang lebih menarik ialah Perhimpunan 100,000 Rakyat yang dianjurkan pada kali ini, akan menyaksikan satu lambang penyatuan. Warna kuning telah dipilih sebagai warna penyatuan pada hari tersebut.
Warna kuning yang turut digunakan sebagai warna untuk memperjuangkan kebebasan media, diharap akan dapat menarik sokongan aktivis media untuk bersama-sama dalam perhimpunan ini. Penggunaan warna kuning telah menaikkan semangat rakyat untuk bersama-sama menyertai perhimpunan tersebut, sehinggakan ada pihak yang mengatakan bahawa Perhimpunan 100,000 Rakyat yang akan dianjurkan pada 10 November 2007, adalah Revolusi Kuning.
Penggunaan warna untuk memperjuangkan sesuatu isu bukanlah perkara baru. Sewaktu Anwar Ibrahim dipecat daripada kabinet dan Umno pada tahun 1998, warna putih telah dipilih sebagai kempen menuntut keadilan. Selain itu, bagi aktivis yang berkempen untuk HIV/AIDS, riben bewarna merah digunakan dan diterima di seluruh dunia.
Dalam sejarah politik dunia, pernah berlakunya satu revolusi yang melibatkan warna. Revolusi yang dimaksudkan ialah Revolusi Oren ataupun Orange Revolution yang mencapai kemenangannya pada tahun 2005 di Ukraine.
Revolusi Oren yang berlaku di Ukraine adalah siri protes rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bebas dan adil. Revolusi yang berlaku secara aman ini bermula sekitar akhir bulan November tahun 2004 dan berakhir pada Januari tahun 2005 sebagai respons kepada pilihanraya presiden 2004 yang dicemari rasuah, pembelian undi, ancaman kepada pengundi dan penipuan pilihanraya secara terang-terangan.
Revolusi kuning
Pertembungan antara Viktor Yanukovych yang disokong oleh bekas Presiden Leonid Kuchma (tidak boleh bertanding kerana telah mencapai had dua penggal menjadi presiden) melawan tokoh pembangkang Viktor Yushchenko, telah menyaksikan Yanukovych disokong oleh jentera pemerintah dan pelbagai helah telah digunakan untuk mengalahkan Yushchenko dalam pusingan pertama pilihanraya presiden pada 31 Oktober 2004.
Selain itu, penyokong Yushenko dan rakyat telah diancam dan diugut agar memberikan undi kepada Yanukovych. Ini telah menimbulkan kemarahan penyokong Yushchenko dan pada 21 November 2004, bersamaan dengan hari pusingan kedua pilihanraya presiden 500 000 rakyat telah berhimpun di Dataran Maidan Nezalezhnosti untuk mengutuk penipuan, intimidasi dan penggunaan jentera pemerintah dalam pilihanraya untuk mengalahkan Yushenko.
Protes ini berterusan setiap hari dengan bermacam-macam cara seperti mogok umum, demonstrasi aman dan acara bakar lilin sehinggalah mahkamah agung dan Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan secara rasmi pada 10 Januari 2005 bahawa Yushenko adalah pemenang pilihanraya presiden 2004.
Kaitan antara Revolusi Oren dan Revolusi Kuning ialah kedua-duanya melibatkan tuntutan agar pilihanraya dijalankan secara bebas dan adil. Persoalannya sekarang ialah apakah Revolusi Kuning di Malaysia mampu mengulangi sejarah kemenangan Revolusi Oren di Ukraine?
Pilihanraya umum telah diadakan sebanyak 11 kali di Malaysia. Dalam sebelas kali pilihanraya yang dijalankan di Malaysia, kesemuanya telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN)yang dahulunya dikenali sebagai Perikatan.
Penggunaan jentera kerajaan seperti polis, pegawai kerajaan dan media cetak dan elektronik yang dikawal oleh BN, tidak memungkinkan mana-mana pencabar BN untuk menafikan BN majoriti dua pertiga di Parlimen.
Mungkin ini adalah penyebab utama hampir lima juta rakyat yang layak mengundi, tidak mendaftar untuk mengundi dalam pilihanraya umum ke-12 seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Rashid Abdul Rahman beberapa bulan yang lalu.
Boikot p'raya kecil
Mereka ini boleh jadi terdiri daripada penyokong BN, penyokong pembangkang dan pengundi atas pagar. Ketiga-tiga kumpulan ini mempunyai alasan yang sama untuk tidak mendaftar mengundi. Alasannya satu, BN akan tetap menang dalam pilihanraya, jadi mengapa mereka perlu bersusah payah untuk turun mengundi?
Kredibiliti pilihanraya di Malaysia yang telah hilang, perlu diselamatkan segera. Jika tidak, Malaysia terpaksa berhadapan dengan rakyat yang tidak percaya dengan demokrasi pilihanraya.
Pemboikotan pilihanraya kecil Batu Talam pada tahun 2006 oleh parti-parti pembangkang telah mengemparkan BN kerana mereka menang di Batu Talam tanpa legitimasi. Tambahan pula calon bebas yang bertanding bukanlah seorang yang dikenali dan kelihatan tidak serius untuk bertanding.
Bayangkan jika pilihanraya umum ke-12 diboikot oleh parti-parti pembangkang? Apakah akan terjadi? Sudah tentu imej BN akan tercalar oleh kerana mereka menang tanpa legitimasi.
Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang dan Lim Kit Siang telah memberikan komitmen untuk bersama-sama rakyat untuk menjayakan Perhimpunan 100,000 rakyat pada 10 November 2007 ini bersama-sama dengan 40 pemimpin NGO, kesatuan sekerja dan persatuan pelajar. Bendera-bendera parti politik tidak akan digunakan kali ini. Kali ini hanya ada satu bendera iaitu bendera Kuning.
Perhimpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka itu akan diteruskan dengan perarakan ke Istana Negara. Memorandum bagi menuntut pilihanraya yang bersih, bebas dan adil, akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin telah memberikan amaran kepada rakyat Malaysia agar tidak menyertai Perhimpunan 100,000 rakyat anjuran Bersih pada 10 November 2007. RTM dan NTV7 telah menyiarkan amaran Ketua Polis Kuala Lumpur itu ke seluruh negara dalam Berita Perdana. Alasan beliau seperti biasa ialah perhimpunan ini tidak mempunyai permit dan menyalahi Akta Polis.
Wakil daripada Bersih harus mengucapkan terima kasih kepada Zulhasnan, RTM dan NTV 7 kerana telah memberikan promosi percuma kepada Perhimpunan 100,000 rakyat yang akan diadakan pada 10 November ini. Maklumlah kemudahan internet, akhbar alternatif, risalah dan SMS tidak akan terjangkau ke seluruh negara.