Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kejayaan perhimpunan puluhan ribu orang anjuran Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) pada 10 November 2007, untuk menyampaikan memorandum pembaruan pilihanraya negara kita kepada Yang di-Pertuan Agong, telah memberi nafas baru kepada pergerakan rakyat sejak kesurutan gerakan reformasi beberapa tahun kebelakangan ini, akibat penindasan Barisan Nasional (BN) dan faktor-faktor dalaman.

Perhimpunan ini menunjukkan parti-parti dan badan-badan bukan kerajaan terbabit masih mampu memobilisasi perhimpunan raksasa yang aman di bawah pelbagai tekanan, cemuhan, amaran dan tindasan daripada pemimpin-pemimpin Umno/BN menerusi jentera polis dan undang-undang tidak demokratik.

Yang sinis sekali ialah selepas 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, rakyat kita masih dilarang berhimpun di 'Dataran Merdeka' secara aman dan bebas. Sebelum tarikh perhimpunan, Bersih didesak pihak polis untuk memohon permit perhimpunan, meskipun kebebasan berhimpun merupakan hak asasi manusia dan hak perlembagaan kita.

Seperti nasib semua perhimpunan yang dianggap sebagai anti-kerajaan, perhimpunan anjuran Bersih itu telah diharamkan oleh pihak polis atas enam alasan, termasuk Bersih adalah sebuah pertubuhan tidak berdaftar, tanpa kebenaran DBKL, terdapat aktiviti lain di tempat yang sama, terdapat kumpulan tertentu akan mengambil kesempatan untuk menimbulkan keadaan tidak tenteram, gangguan lalulintas dan ancaman terhadap keselamatan awam.

Unlocking Article
Unlocking Article
ADS