BN dan Barisan Rakyat bengong dalam hal minyak

Hishamudin Rais        

Sejak hampir lima tahun yang lalu saya telah menulis secara konsisten tentang masalah bahan bakar minyak petroleum. Secara jujur saya telah cuba menyedarkan seramai mungkin warga untuk memahami satu hakikat: minyak dalam dunia ini telah susut. Banyak telaga minyak telah kering. Minyak yang telah dibakar tidak akan ada penggantiannya.

Saya juga telah mendedahkan dan cuba menerangkan apa yang dipanggil PEAK OIL THEORY/TEORI PUNCAK MINYAK. Teori ini mengajukan pandangan bahawa pada satu jangka masa pengeluaran hasil bahan bakar petroleum berkembang tinggi hingga sampai ke satu puncak. Sesudah sampai ke puncak ini maka pengeluaran bahan bakar ini akan terus menurun berkurangan.

Teori ini diasaskan oleh M.King Hubbert pada tahun 1956. Berdasarkan teori ini, M. Hubbert telah meramalkan di antara tahun 1965 ke 1970 pengeluaran bahan bakar petroleum di Amerika Syarikat akan sampai ke puncak. Apabila mencecah puncak ini maka pengeluaran galian petrol di Amerika akan terus berkurangan. Ramalan Hubbert ini cukup tepat. Pada tahun 1970, Amerika wajib menjadi negara pengimport minyak.

Teori Puncak Minyak ini juga telah meramalkan banyak negara-negara pengeluaran minyak dalam dunia ini telah melintas puncaknya. Mesir: 1987, Perancis: 1988, Jerman: 1966 Iran: 1974, India: 1997, Indonesia: 1991, Jepun: 1932 , Libya: 1970, Mexico: 2003,New Zealand: 1997, Nigeria: 1979, Norway: 2000, Oman: 2000, Russia: 1987,Syria: 1996 ,Tobago: 1981,Venezuela: 1970, UK: 1999 dan Amerika Syarikat: 1970. Ada di antara negara ini masih lagi mengeluarkan minyak tetapi dari tahun ke tahun jumlah tong yang di hasilkan semakin kurang.

Hubbert Peak Theory tidak pernah dipertikaikan. Apa yang selalu ditimbulkan hanya perbezaan tarikh. Ada geologis yang telah menyatakan bahawa dunia telah melintasi zaman puncak minyak pada tahun 2005 yang lalu. Ada pula yang meramalkan bahawa puncak minyak akan sampai di antara tahun 2020 ke tahun 2030. Tetapi pada hakikatnya semua pakar geologis ini menerima pakai bahawa bahan bakar ini semakin susut, berkurangan pengeluaran dan akhir akan habis. Ini bermakna akan berakhirlah Tamadun Petroleum.

Habis di sini bukan bermakna tidak ada lagi minyak dalam perut bumi. Zaman Batu berakhir bukan bermakna batu telah habis. Minyak masih ada dalam bumi tetapi tidak lagi ekonomik untuk mengambilnya keluar. Minyak ialah tenaga. Akan sampai masanya nanti untuk mengeluarkan satu tong minyak dari perut bumi kita memerlukan membakar lima atau sepuluh tong minyak. Ini tidak berbaloi dan tidak ekonomik.

Pada pagi 2hb Januari 2008 harga satu tong bahan bakar petroleum telah mencecah 100 dolar di pasaran dunia. Pada petangnya harga telah menurun sedikit. Ketika saya menulis ini harga satu tong ialah 99.68 dolar. Saya tidak terperanjat apabila melihat harga minyak naik menjadi 100 dolar untuk satu tong. Dalam tulisan tulisan saya yang lalu saya juga telah beberapa kali meramalkan harga bahan bakar ini akan terus naik.

Apa yang memeranjatkan saya ialah kenyataan yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat yang menyatakan jika parti ini memerintah maka harga minyak akan diturunkan. Untuk saya ini hanyalah kenyataan orang yang tidak tahu tentang Teori Puncak Minyak dan tidak sedar bahawa tamadun dunia hari ini adalah Tamadun Petroleum.

Harga minyak

Sama juga dengan susulan jawapan dari Najib Razak seorang pemimpin dari parti United Malay National Organisation. Najib mengatakan negara ini akan bankrap jika harga minyak diturunkan. Orang yang bernama Najib ini tidak sedar semenjak bila pula negara kita ini tidak bankrap.

Susuk-susuk yang mengeluarkan kenyataan ini tidak memahami tanda dan makna perang di Iraq, perang di Darfur atau perang di Sudan. Mereka juga tidak membaca dan memahami makna ‘war on terrorism’ sebagai dasar luar negara Amerika Syarikat. Mereka juga tidak memahami kenapa Hamid Karzai menjadi penghulu di Kabul. Atau kenapa ada sebuah kapal minyak yang bernama Condoleezza Rice.

Kedua-dua kumpulan parti politik ini tidak memahami bahan bakar petroleum. Mereka ini adalah sesat lagi menyesatkan. Kedua-dua kumpulan ini TIDAK jujur. Mereka adalah politikus yang hanya bercita-cita untuk berkuasa tetapi tidak memiliki apa-apa di antara dua telinga mereka. Cakap mereka itu bertujuan memancing undi dan mencari untung politik jangka pendek.

Dalam agenda bahan bakar minyak saya menolak kedua-dua kenyataan tersebut. Mengikut pandangan parti Keadilan jika United Malay National Organisation telus dalam memberikan perincian perbelanjaan dan pendapatan dari syarikat Petronas maka harga minyak akan dapat ditampung. Jika tidak ada pembaziran dari duit jualan minyak maka harga minyak akan terus dapat disubsidi.

Parti Keadilan tidak sedar dalam masa tidak lebih dari 10 tahun bahan bakar minyak di persisiran laut kita akan habis. Untuk berhujah, kita anggaplah mereka dapat mengambilalih kerajaan. Dalam penggal ke-3 pentadbiran Barisan Rakyat minyak habis. Barisan Rakyat adalah satu pentadbiran yang telus, tidak rasuah dan jujur. Bila minyak habis, mereka juga tidak dapat tidak akan menaikkan harga minyak. Ini hukum yang saintifik. Jadi cakap-cakap harga minyak hendak diturunkan itu, tidak mungkin dapat dilakukan.

Kenaikan harga bahan bakar minyak ini tidak ada sangkut paut dengan ketelusan kerajaan atau terpaparnya secara terperinci pendapatan dari Petronas. Harga minyak naik kerana minyak dalam dunia ini telah habis. Kenapa sukar sangat untuk memahami hakikat ini.

Kerajaan dalam bentuk apa sahaja – komunis, sosialis, kapitalis, Marxis, Anarkis, Geuvarist, Stalinist, Sosial Demokrat, Islamik, Syiah, Demokrat, Katholikus, Sembahyangist, Hindu, Buddha - kerajaan ada agama, tak ada agama, kerajaan rasuah, kerajaan telus lagi jujur, kerajaan alim lagi warak – semuanya akan menaikkan harga minyak. Inilah yang wajib diterangkan kepada orang ramai secara telus dan jujur.

Maklum pada orang ramai

Juga wajib diterangkan kepada orang ramai:

Hari minyak habis dalam dunia ini akan sampai. Apabila minyak habis ia akan membawa bencana besar dan huru-hara terutama negara yang banyak bergantung pada minyak. Kehabisan minyak akan sampai seperti kereta kita kehabisan minyak. Masanya datang serta merta dengan tiba-iba. Yang paling teruk kena bantai apabila minyak habis ialah semua hal ehwal pengangkutan.

Untuk meredakan keadaan minyak habis yang datang secara mendadak kita memerlukan dan mengambil masa untuk membuat persediaan. Kerana itu pemimpin kerajaan dan politikus dari semua kumpulan wajib membaca Peak Oil Theory. Kesedaran minyak akan habis wajib diberitahu kepada orang ramai sekarang.

Sekurang kurangnya 20 tahun diperlukan oleh kerajaan untuk membuat persediaan berhadapan dengan hari minyak habis. Kerajaan, industri dan para pengguna wajib sama-sama memahami hakikat ini. Tidak dapat tidak akan berlaku kacau bilau, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia apabila minyak habis.

Saya tidak nampak satu dasar penggunaan bahan bakar petroleum yang tepat dan betul yang sedang diajukan baik dari parti kerajaan ataupun dari Barisan Rakyat. Semua dasar yang mereka ajukan adalah dasar jangka pendek yang digunapakai untuk menipu rakyat. Subsidi atau menaikkan harga bukan jawapan untuk berhadapan dengan zaman kehabisan minyak.

Saya mengajukan satu perubahan struktur budaya hidup yang baru. Mengubah secara struktural dan meninggalkan gaya hidup yang kita guna pakai hari ini. Budaya konsumer dalam tamadun petroleum ini telah nazak dan wajib ditinggalkan.

Orang ramai wajib digalakkan dari hari ini untuk tidak menggunakan kereta persendirian dan beralih kepada sistem pengangkutan awam. Basikal perlu digunakan kembali seperti di zaman ayah dan datuk kita membesar. Hentikan kilang-kilang yang pengeluaran produk-produk yang tidak berguna dan bukan asas untuk hidup.

Kota dan bandar kita wajib dapat menampung dan mengeluarkan bahan makanan sendiri. Makanan tidak perlu diambil dari kawasan yang jauh atau diimport. Setiap warga wajib tahu hal pertanian. Tanaman yang diusahakan untuk makanan dan bukan untuk spekulasi mengumpul modal. Siapa bertanam maka mereka dapat makan.

Tempat kita bekerja pula tidak harus jauh dari tempat kita tinggal. Rumah-rumah yang kita dirikan bukan gua-gua batu yang memerlukan alat hawa dingin. Rumah adalah tempat kita berteduh dari hujan dan panas – kembali kepada asas. Penggunaan kuasa leterik dalam bangunan dan dalam rumah kita seharusnya pada asas yang paling minimum. Kota-kota kita tidak perlu disaluti dengan lampu neon yang mengiklankan hampeh-hampeh dan membazirkan tenaga leterik. Minyak, gas dan arang batu yang tidak miliki wajib dijaga dan di pergunakan dengan cermat.

Ekonomi yang berasaskan dolar wajib kita tinggalkan sekarang. Dolar adalah simbol tamadun petroleum. Semenjak tahun 1970-an bilamana Amerika dan Saudi Arabia menjadi sahabat karib maka dunia telah dipaksa menggunakan dolar dalam hal jual beli minyak. Kita semua dan rakyat dunia telah ditipu dengan kertas hijau yang dicetak oleh Amerika. Kertas hijau ini tidak memiliki apa apa nilai dan zat untuk dimakan. Malah kertas jamban lebih bernilai dan boleh digunakan berbanding dengan dolar Amerika.

Sekali pandangan apa yang saya ajukan ini sebagai cakap yang TIDAK masuk akal. Ianya tidak masuk akal kerana apa yang saya nyatakan ini dibaca dalam tahun 2008. Bayangkan pada tahun 2020 atau tahun 2025 , berapa dolar agaknya harga satu tong petroleum? Bayangkan juga sepuluh tahun dari hari ini apabila telaga minyak kita kering. Dari mana hendak dicari dana subsidi untuk menampung pengurangan harga minyak?

Kepada semua politikus dari semua parti politik sila kaji dan fahami tentang Tamadun Petroleum dan kajian teori M. King Hubbert. Jangan menjadi pemalas. Jika tidak tahu apa yang saya tulis ini sila tanya Pak Cik saya Lebai Google.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In