Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Empat hari sebelum berlangsungnya pilihanraya umum ke-12, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat kejutan besar. Semalam, Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman membuat pengumuman bahawa SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya umum 8 Mac ini. Sidang media SPR itu turut dihadiri Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan.

SPR yang sebelum ini menghebohkan bahawa mereka membuat perubahan dalam pilihanraya ke-12 apabila memperkenalkan penggunaan dakwat kekal dan peti undi lutsinar, tiba-tiba sahaja membuat pengumuman mengejut dan telah mendukacitakan harapan orang ramai, pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu melihat proses pilihanraya di Malaysia berjalan dengan bebas dan adil.

Tambahan lagi, pengumuman tersebut dibuat ketika pembangkang yakin bahawa mereka akan memenangi lebih banyak kerusi berbanding dengan pilihanraya 2004 dan berkemungkinan besar merampas beberapa buah negari dari BN.

Menurut Abdul Rashid, SPR terpaksa membatalkan penggunaan dakwat kekal setelah mengambilkira laporan keselamatan yang mereka terima. Laporan keselamatan tersebut mendedahkan bahawa terdapat pihak tertentu di Malaysia yang telah membeli dakwat tersebut di luar negara.

Pihak tersebut dikatakan merancang untuk mencalitkan dakwat itu pada kuku pengundi di kawasan luar bandar bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.

Menurut Abdul Rashid lagi, jika pengundi itu hadir untuk mengundi pada hari pilihanraya, sudah tentu ia akan menimbulkan keraguan di kalangan ejen calon dan petugas SPR mengenai status pengundi tersebut. SPR juga mengatakan bahawa penggunaan dakwat kekal bercanggah dengan perkara 119, Perlembagaan Persekutuan.

Selepas menerima nasihat dari segi perundangan dan ketenteraman awam, SPR dalam mesyuarat semalam memutuskan untuk membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal itu. Keputusan SPR itu juga selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak asasi rakyat untuk mengundi dalam pilihanraya.

Alasan sukar diterima

Sementara Musa Hassan berkata bahawa polis sedang menyiasat empat kes membabitkan empat orang individu berlainan yang disyaki cuba melakukan penipuan dakwat kekal. Keempat-empat lelaki berkenaan yang bekerja sendiri dan berusia 20 hingga 33 tahun, sedang disiasat kerana cuba menipu.

‘‘Modus operandi mereka ialah pergi ke kampung-kampung untuk meletak dakwat pada kuku pengundi dan mereka memberitahu pengundi kononnya tanpa dakwat itu mereka tidak boleh mengundi.

“Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai cubaan menipu dan bahagian jenayah perdagangan sedang menyiasat,” katanya. (Utusan Malaysia, 5 Mac)

Apapun alasan yang diberikan oleh SPR dan polis, ianya sukar untuk diterima terutamanya di kalangan pemimpin pembangkang dan NGO. Pilihanraya yang dijalankan oleh SPR sebelum ini semenangnya telah diragui ketelusannya. Krisis hilang keyakinan terhadap SPR berada di tahap kemuncak pada tahun 2004 apabila pilihanraya tersebut dikatakan sebagai yang terburuk dalam sejarah di mana terdapat kertas undi dijumpai ditepi jalan di beberapa buah kawasan.

Bagu pilihanraya ke-12 ini, keraguan terhadap daftar pemilih masih lagi berlaku. Daripada semakan yang dilakukan baru-baru ini, pembangkang mendapati terdapat 8,666 nama pegundi yang berumur lebih daripada 100 tahun. Apakah Malaysia begitu hebat kerana mempunyai begitu ramai penduduk yang berumur melebihi 100 tahun?

Jika kita melihat realiti kehidupan di Malaysia, amat mustahil untuk negara mempunyai begitu ramai penduduk berusia lebih 100 tahun. Pada tahun 2006 statistik menunjukkan 6,287 orang terbunuh dalam kemalangan jalanraya. Itu baru kemalangan jalanraya. Belum lagi dicampur dengan kematian yang diakibatkan oleh barah, kencing manis dan lain-lain lagi.

Selain itu, terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa tentera didaftarkan dalam dua daftar pengundi iaitu sebagai pengundi pos dan pengundi awam.

Batal guna dakwat

Tahun lalu - pada 10 November - lebih 40,000 rakyat yang bergabung di bawah Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) berhimpun di Istana Negara bagu menuntut agar pilihanraya umum dijalankan secara bersih dan adil. Perhimpunan tersebut yang telah cuba disekat oleh polis dengan mengadakan sekatan jalanraya di seluruh negara. merupakan yang terbesar pernah diadakan di Malaysia dalam isu reformasi pilihanraya. Salah satu tuntutan Bersih ialah mewajibkan penggunaan dakwat kekal kepada semua pengundi bagi menggelakkan masalah penggundian bertindih yang didakwa berlaku dengan serius di negara ini.

Secara peribadi, berdasarkan pengalaman memantau beberapa siri pilihanraya di beberapa buah negara Asia, alasan yang diberikan oleh SPR untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal boleh dikatakan sangat lucu dan lawak. Tidak pernah isu tersebut dibangkitkan oleh pengerusi SPR di Indonesia, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Afghanistan dan India.

Tambahan pula, dakwat kekal yang digunakan dalam pilihanraya bukannya boleh dibeli dengan mudah di kedai-kedai alat tulis atau tepi jalan. Dakwat kekal juga tidak akan dijual kepada umum melainkan kepada badan pengendali pilihanraya yang sah seperti SPR. Siapakah empat lelaki yang ditahan di Kedah, Perlis dan Kelantan itu?

Dalam isu kononnya penjenayah yang merancang untuk mencalitkan dakwat kekal kepada pengundi sebelum pilihanraya agar mereka tidak dapat mengundi, SPR yang seharusnya dipersalahkan kerana tidak pernah bersungguh-sungguh dalam isu penggunaan dakwat kekal ini. Pengundi tidak pernah diberikan sebarang pendidikan tentang cara menggunakan dakwat kekal dan perjalanan proses pilihanraya.

Sebenarnya semenjak dari awal lagi, kerajaan dan SPR tidak mahu dakwat kekal digunakan dalam pilihanraya ini. Jika untuk memanjangkan kontrak pengerusi SPR, perlembagaan boleh dipinda, mengapa perlembagaan tidak dipinda untuk mewajibkan penggunaan dakwat kekal bagi setiap pengundi?

Pembaziran wang rakyat telah dilakukan oleh SPR apabila membazirkan RM 1 juta untuk membeli 30,000 botol dakwat kekal.

Pengumuman SPR sebelum ini untuk memperkenalkan penggunaan dakwat kekal dilihat hanyalah untuk mengaburi mata rakyat agar percaya bahawa pilihanraya di Malaysia ini bebas dan adil. Tindakan tersebut juga mengesahkan lagi tuduhan pembangkang bahawa SPR bekerjasama bagi memastikan kemenangan BN.

Khabar angin telah bertiup kencang bahawa negeri Kelantan yang telah dikuasai oleh PAS selama 18 tahun, akan dihadiahkan oleh Abdul Rashid kepada BN kerana memanjangkan tempoh kontraknya sebagai pengerusi SPR. Kubu-kubu kuat pembangkang juga dikatakan akan jatuh ke tangan BN dengan bantuan tipu helah SPR. Sejauh mana kebenarannya, kita tunggu dan lihat.

Keyakinan rakyat terhadap SPR semakin terhakis dari hari ke hari. Dahulu sebelum berlangsungnya pilihanraya kecil Batu Talam, Abdul Rashid pernah menggeluarkan kenyataan bahawa SPR perlu diberi lebih kuasa dan undang-undang pilihanraya harus direformasikan. Tidak beberapa lama selepas itu beliau mengeluarkan pula kenyataan yang bercanggah. Tiada bezanya Abdul Rashid dengan pemuda dalam “Kisah Gembala Kambing”. Sebaik sahaja beliau membuat pengumuman semalam, rakyat sudah boleh mengagak tentang penipuan yang bakal berlaku beberapa hari lagi.

Pilihanraya yang selama ini dianggap sebagai salah satu proses memilih pemimpin secara demokratik sudah tidak boleh dipercayai. Akan tetapi tempoh singkat yang tinggal beberapa hari lagi jangan disia-siakan. Kerja keras untuk berkempen harus diteruskan.

Selamat Mengundi rakyat Malaysia!

ADS