Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila para ahli sejarah yang bukan dari acuan Khoo Kay Kim melihat kembali peranan Abdullah Ahmad Badawi, maka tidak dapat tidak, sosok yang dipanggil Abdullah Ahmad Badawi ini akan disamakan dengan Mikhail Sergeyevich Gorbachev, bekas presiden Kesatuan Soviet.

Mikhail Gorbachev lebih manja dipanggil nama Gorby. - sama juga dengan Abdullah yang memiliki nama pop Pak Lah yang amat disenangi oleh beliau sendiri.

Perestroika dan glasnost pada asasnya dasar penstrukturan baru dan dasar keterbukaan yang diajukan oleh Gorby kepada rakyat Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR). Gorby bertanggungjawab membuka ruang demokrasi dengan memperkenalkan glasnost pada tahun 1988.

Revolusi Bolshevik yang dipimpin oleh Lenin pada 1917 telah merudum dan merosot. Hukum-hukum sejarah dan hukum-hukum sosial telah melencongkan cita-cita suci revolusi pertama kaum buruh dan tani Rusia. Selama 70 tahun falsafah dan ideologi komunisme telah menjadi lucah. Kaum komunis dan kader komunis di USSR dan di Blok Timur telah menjadi aparatchik dan birokrat daulah. Aparatchik ini begitu berat untuk dipikul dan menjadi satu beban negara. Rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa menjadi budaya harian.

Semua ini tidak jauh bezanya daripada apa yang terjadi kepada United Malays National Organisation. Parti yang didukung dan disokong oleh kuasa kolonial British ini, selama 50 tahun, telah menjadi begitu merosot sekali. Kalau di USSR, parti yang dipimpin oleh Gorby sekurang-kurangnya cuba bersandar dengan teori dan falsafah Marxisme dan Leninisme.

Bayangkan betapa merosotnya United Malays National Organisation yang tidak memiliki apa-apa ideologi atau garis politik yang tepat. Beberapa ketika parti ini mengakui menjadi parti nasionalis. Tiga empat hari kemudian menjadi globalis dan sebulan kemudian menjadi parti Islam pula. Kemudian menjadi parti Melayu kembali. Parti ini semakin tidak tentu hala tujuan.

Pada April tahun ini, ahli-ahli United Malays National Organisation sedang melihat bagaimana telah terlucutnya kuasa politik dan kuasa ekonomi (baca: rasuah) mereka yang selama 50 tahun ini dianggap harta turun-temurun pusaka datuk nenek moyang mereka.

Hasilnya, suara-suara menuntut Abdullah meletakkan jawatan semakin lantang kedengaran. Suara-suara siapakah ini?

Suara pertama ialah suara contract junkies - pemadat kontrak - yang merasakan diri mereka pasti kehilangan 'peluang perniagaan'. Selama ini 'perniagaan' mereka bukan berasaskan ilmu atau kecekapan berniaga, tetapi kerana mereka taat setia membodek 'orang orang' tertentu dalam struktur pucuk pimpinan United Malays National Organisation.

Mereka sedar, apabila tuan-tuan yang mereka bodek hilang kuasa, maka mereka tidak memiliki kemampuan untuk melakukan persaingan perniagaan. Atau, mereka tidak tahu bekerja untuk mencari makan dengan titik peluh sendiri. Mereka pasti akan mati tegak. Suara merekalah yang lantang menuntut Abdullah meletakkan jawatan.

Suara-suara juga kedengaran dari bekas bekas Yang Berhormat United Malays National Organisation yang kalah. Mereka gagal untuk menilai taraf fikrah mereka. Mereka tidak berkeupayaan untuk melihat diri sendiri. Mereka tidak pernah mencermin diri. Mereka hanya tahu menyalahkan orang lain. Orang lain itu -- Abdullah.

Dalam budaya United Malays National Organisation, tanpa memiliki kerusi YB, maka tidak mungkin mereka atau penyokong mereka mendapat kontrak. Tanpa kontrak, maka bekas YB-YB ini akan menjadi bangkai bernyawa. Di kawasan-kawasan mereka yang pada satu ketika dahulu menggunung kuasa mereka, kini mereka menjadi tunggul -- pergi tersepak pulang terlanggar. Sosok-sosok yang kalah ini menyalahkan Abdullah sebagai sebab utama kekalahan mereka. Lalu mereka juga bersuara menuntut agar Abdullah meletak jawatan.

Ada lagi satu lagi kumpulan agak kecil tetapi memiliki kuasa yang besar kerana mereka berselindung dan berpayung dalam struktur parti. Dengan kuasa yang dimiliki, banyak kerenah jahat dan rompak samun mereka dapat ditutup daripada pengadilan. Hutang-piutang mereka tidak dipungut. Pinjaman dari bank tanpa diselidiki. Banyak tanah milik orang ramai dirompak dan dijarah. Mereka ada kepala semua ejen komisen yang mengambil peratus daripada apa sahaja projek negara yang diluluskan.

Justeru sosok-sosok jenis ini tidak dapat tidak akan terus ingin berkuasa. Tanpa kuasa, kesemua mereka berkemungkinan diheret ke mahkamah. Mereka juga mahukan Abdullah pergi.

Satu lagi kumpulan yang suara mereka kedengaran sayup-sayup. Mereka ini kumpulan polong tidak bertuan. Biasanya mereka juga ejen komisen. Tukang cari projek yang kemudian bertanggungjawab memperkenalkan para YB ini dengan tauke Cina itu. Polong-polong ini sedang lari larau kerana banyak tuan mereka telah tidak bertelur lagi.

Kesemua kumpulan ini ada yang secara terbuka, ada secara berbisik-bisik ke hulu ke hilir menuntut Abdullah meletak jawatan. Ada pula dengan senyap-senyap mengarahkan orang lain untuk bersuara. Dalam bacaan politik mereka, banyak kerusi YB United Malays National Organisation lupus kerana sosok Abdullah Ahmad Badawi.

Ini sebenarnya tidak betul.

Kalau kita melihat Gorbachev dan USSR, maka kita akan faham kenapa Gorby membawa perestroika dan glasnost. Sebelum Gorby mengambil alih, selama 18 tahun USSR dipimpin oleh Leonid Ilyich Brezhnev . Satu masa yang begitu lama sekali. Apa kena-mengena Brezhnev dengan Abdullah Badawi?

Jawabnya sama. Sebelum Abdullah mengambil alih pimpinan United Malays National Organisation, parti ini dikepalai oleh Mahathir Mohamad - tidak jauh bezanya 18 tahun era Breshnev dan 22 tahun era Mahathir yang autokratik.

Penolakan rakyat terhadap United Malays National Organisation dalam pilihanraya 2008 bukan disebabkan empat tahun pentadbiran Abdullah. Busuknya United Malays National Organisation bukan bermula daripada Abdullah. Penolakan itu hasil lebih daripada 22 tahun budaya yang telah ditanam oleh Mahathir dalam tubuh badan United Malays National Organisation.

Seperti Gorby, Abdullah merasakan telah sampai masanya ruang demokrasi dibuka dan satu penstrukturan baru wajib dilakukan.

Abdullah sedang melihat jalan buntu di hadapan Putrajaya. Apa yang sedang kita lihat hari ini adalah hasil empat tahun dasar perestroika dan glasnost Abdullah.

Memang betul rasuah masih berleluasa. Memang betul Abdullah belum membebaskan dirinya daripada kronisme kaum keluarga. Memang betul banyak lembaga daulah masih berselirat dengan aparatchik dan birokrasi yang menghabiskan beras. Memang betul media masih belum bebas. Memang betul banyak dasar sorong-tarik sedang berlaku.

Tetapi suara-suara yang menuntut Abdullah mengundur diri tidak pernah menyebut, mengusik atau menilai ruang demokrasi yang dibuka oleh Abdullah. Seperti di USSR pada zaman Gorby, mereka bernostalgia dengan sistem kuku besi yang hanya bertugas untuk melarang. Itu dilarang ini dilarang. Ini tidak boleh dan itu tidak boleh.

Mereka, yang menuntut Abdullah mengundur, bernostalgia dengan Mahathir yang autokratik. Mahathir yang membuat keputusan tanpa perbincangan. Mahathir yang ditakuti. Mahathir yang beraja di mata dan bersinggahsana di Petronas.

Ahli-ahli parti United Malays National Organisation, kerana begitu lama di bawah cengkaman Mahathir, menjadikan akal fikiran mereka bonsai. Ruang demokrasi yang terbuka hari ini menakutkan mereka. Mereka tidak memiliki keupayaan untuk belayar bebas dalam ruang demokrasi.

Inilah dilema manusia yang tidak pernah berasa bebas - dengan tiba-tiba berhadapan dengan kebebasan. Mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk mendapat manfaat dari kebebasan. Begitu lama fikrah mereka dipenjara. Begitu lama mereka tidak menggunakan akal fikiran untuk hidup.

Apa yang mereka tahu hanya menerima arahan. Dengan hanya menurut arahan, otak mereka tidak lagi berkeupayaan untuk berdebat mencari salah benar. Mereka tidak lagi memiliki fikrah yang kritikal. Otak mereka telah begitu lama terbengkalai. Mereka terus bermimpi siang dan malam untuk menjemput Mahathir.

Glasnost dan perestroika yang dibawa oleh Abdullah hanyalah permulaan. Seperti glasnost dan perestroika di USSR, kita semua akan berhadapan dengan pilihan. Membuat pilihan memerlukan fikrah. Membuat pilihan memerlukan tanggungjawab. Ahli-ahli parti United Malays National Organisation juga perlu membuat pilihan.

Ahli-ahli United Malays National Organisation boleh mengundurkan Abdullah dan kembali kepada era Najib Razak klon Mahathir. Jika ini pilihan mereka, maka kita semua akan kembali ke zaman gelap di mana pucuk pimpinan negara dikaitkan dengan kes pembunuhan.

Memilih Tengku Razaleigh Hamzah bermakna memilih agenda pencen ketuanan Melayu dan perpaduan Melayu.

Saya yakin rakyat akan mempertahankan glasnost dan perestroika untuk memunculkan Vladimir Putin dengan parti barunya. Pilihan rakyat ini akan membuka era pencerahan di Malaysia.

ADS