Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 29 April yang lalu, timbalan perdana menteri, Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan semula 16 pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). Kesemua pesuruhjaya tersebut dilantik semula untuk menerajui Suhakam sehingga April 2010.

Ketika mengumumkan pelantikan tersebut, Najib mengatakan bahawa pelantikan tersebut dibuat mengikut peruntukan subseksyen 5 (1) Akta Suhakam 1999.

Mereka ialah Abu Talib Othman; Simon Sipaun; Dr Chiam Heng Keng; Dr Mohammad Hirman Ritom; Asiah Abu Samah; Dr Raj Abdul Karim; Dr Abdul Monir Yaacob; N. Siva Subramaniam; Choo Siew Kioh; Tunku Nazihah Tunku Mohamed Rus; Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim; Zaitoon Othman; Dr Denison Jayasooria; Dr Michael Oon Kheng Yeoh; Khalid Ibrahim dan Muhammad Shafee Abdullah.

Cuma dua pesuruhjaya yang tidak disambung kontrak, Karam Chand Vohrah dan Muhammad Uthman El-Muhammady.

"Tiada pelantikan baru buat masa ini. Namun kerajaan berhak untuk mengkaji semula keperluan Suhakam dari semasa ke semasa dan melantik pesuruhjaya tambahan jika difikirkan perlu," kata Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan. (Bernama 29 April 2008).

Ketika NGO dan aktivis hak asasi manusia mengharapkan akan berlaku perubahan ke atas pesuruhjaya Suhakam, pengumuman Najib tersebut pasti akan mengecewakan pelbagai pihak.

Dalam laporan Malaysiakini bertajuk "Times up, but will Suhakam chief go?", terdapat beberapa pegawai Suhakam yang mengharapkan berlakunya perubahan dalam suruhanjaya tersebut. Mereka mengharapkan agar lapan orang pesuruhjaya yang telah memegang jawatan selama tiga penggal (enam tahun) digugurkan. Ini termasuklah Abu Talib Othman.

Pada tahun 2002, apabila Abu Talib dilantik menjadi pengerusi, 32 NGO telah memboikot untuk berurusan dengan Suhakam selama 100 hari.

Pemboikotan tersebut berlaku kerana Abu Talib mempertahankan tindakan kerajaan dalam Operasi Lalang pada 1987 yang menyaksikan lebih 100 aktivis politik dan NGO, ditahan tanpa bicara di bawah ISA. Selain itu, Abu Talib juga terlibat secara langsung dalam kes pemecatan Ketua Hakim Negara, Salleh Abas pada 1988.

Menurut Dr Kua Kia Soong dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram), hanya individu yang mempunyai kredibiliti dan pengalaman yang luas dalam memperjuangkan hak asasi manusia yang layak mengetuai Suhakam.

Apabila ditanya pandangannya jika Abu Talib dilantik semula, jawabnya: "Tidak sama sekali, ketika saya memfailkan habeas corpus terhadap penahanan semasa Operasi Lalang, Abu Talib adalah orang yang mengatakan bahawa "pengurungan bersendiri" (solitary confinement) adalah seperti tinggal di bilik hotel".

Abu Talib yang menyokong ISA, dilantik semula sebagai pengerusi Suhakam. Tindakan ini menunjukkan dengan jelas bahawa timbalan perdana menteri itu anti hak asasi manusia dan tidak mahu memilih mereka yang mempunyai latarbelakang hak asasi manusia sebagai anggota pesuruhjaya.

Keputusan pilihanraya 8 Mac lalu yang menyaksikan Pakatan Rakyat menguasai enam buah negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) dirasakan akan menjadi faktor bagi kerajaan untuk melakukan reformasi dalam Suhakam.

Akan tetapi apabila Najib mengumumkan pelantikan semula 16 pesuruhjaya Suhakam tersebut, maka harapan itu hancur lebur.

Selain melantik semula pesuruhjaya yang terlibat dalam kecurangan hak asasi manusia, Najib turut melantik semula orang yang jelas terlibat dalam politik kepartian.

Dr Denison Jayasooria yang dilantik semula adalah pengarah eksekutif Yayasan Strategik Sosial. Seperti yang diketahui umum, ia adalah sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh MIC. Apabila Suhakam mempunyai seorang pesuruhjaya yang terlibat dalam politik kepartian, maka hilanglah kredibiliti Suhakam sebagai sebuah badan yang bebas.

Tidak hirau tuntutan NGO

Beberapa hari sebelum pelantikan semula 16 pesuruhjaya Suhakam itu, beberapa NGO membuat tuntutan berkenaan dengan perlantikan pesuruhjaya Suhakam.

Presiden Hakam, Malik Imtiaz mencadangkan kerajaan melantik pesuruhjaya Suhakam yang bekerja secara sepenuh masa agar mereka akan lebih fokus dan dapat menjalankan kerja secara efektif.

Dalam sistem sekarang, pesuruhjaya Suhakam hanya bekerja secara sambilan. Menurut Malik lagi, pesuruhjaya yang bekerja secara sambilan tidak memberikan persepsi yang baik kerana mereka akan dilihat tidak mempunyai komitmen yang serius.

Koordinator Suaram, John Liu pula membangkitkan tentang kesukaran untuk membuat temujanji dengan Suhakam. Menurut beliau, dalam beberapa kes, Suaram terpaksa menunggu begitu lama untuk mendapatkan temujanji dengan Suhakam kerana ia bergantung kepada "bila" pesuruhjaya ada dipejabat.

Suaram juga turut mengkritik Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 dalam urusan pelantikkan Pesuruhjaya. s

"Dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, tidak termaktub pengalaman dan pengetahuan mengenai hak asasi manusia sebagai satu kriteria untuk dilantik sebagai pesuruhjaya. Akta ini perlu dipinda agar Suhakam tidak menjadi tempat untuk orang kerajaan yang pencen, bekerja" kata John Liu lagi.

Mengikut subseksyen 5 (3) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, kriteria untuk dilantik sebagai pesuruhjaya adalah seperti berikut,

"Anggota-anggota Suruhanjaya hendaklah dilantik dari kalangan tokoh terkenal termasuk mereka yang datang daripada berbagai latar belakang agama dan kaum".

Pembaziran wang rakyat

Menurut Siva Subramaniam, setiap pesuruhjaya Suhakam diberi elaun RM7,000 sebulan, tuntutan minyak dan sebuah Proton Perdana sepanjang perkhidmatan mereka.

Ertinya, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM 1,344,000 setahun hanya untuk membayar elaun 16 orang pesuruhjaya Suhakam. Ini belum lagi dicampur dengan kos untuk membeli Proton Perdana, tuntutan minyak dan perbelanjaan untuk kos pernerbangan dan hotel jika ada program antarabangsa.

Jika bekerja sepenuh masa, jumlah anggota pesuruhjaya boleh dikurangkan. Selain membantu menjimatkan kos, ia juga akan menjamin keberkesanan kerja.

Indonesia yang mempunyai penduduk lebih dari 250 juta orang hanya memerlukan 11 orang pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (Komnas HAM). Sementara Filipina yang mempunyai penduduk seramai lebih dari 91 juta, memerlukan lima orang sahaja Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (CHRP).

Sekarang Suhakam mempunyai 16 orang pesuruhjaya - satu jumlah anggota yang besar berbanding dengan negara-negara jiran kita - namun masih banyak kes pencabulan hak asasi manusia berlaku di Malaysia. ISA masih lagi digunakan secara berleluasa untuk menahan musuh-musuh politik.

Hak rakyat untuk berhimpun secara aman juga dinafikan oleh kerajaan. Dalam banyak perhimpunan aman yang berlangsung di Kuala Lumpur, kebanyakannya berakhir dengan keganasan polis. Suhakam tidak banyak membantu untuk membuat "bising" walaupun pencabulan hak asasi manusia berlaku secara terang-terangan. Perlukah lagi Suhakam?

ADS