Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ya ampun baginda Razak, hamba menulis surat ini kepada tuan hamba agar ia dapat dibaca oleh anak cucu-cicit kita semua.

Hendaknya apabila kita semua berada di alam baka nanti, maka anak cucu-cicit kita akan membaca kembali surat hamba kepada tuan hamba.

Ya ampun! Ya ampun baginda, hamba telah mendengar surah dongeng labun tuan hamba. Hamba bersama teman dan sahabat dengan syok lagi tawadhu' melopong ternganga apabila tuan hamba membuka mulut.

Apabila tuan hamba bercakap bahawa kebenaran hanya diketahui Allah, maka meleleh air mata hamba hingga ke lohong paha.

Tidaklah pernah hamba melihat satu makhluk tuhan yang begitu jujur bersilat lidah. Inilah agaknya rahmat Yang Maha Esa yang telah dikurniakan ke atas tuan hamba.

Tidak pernah hamba terlihat seorang syadu, seorang sufi atau seorang dukun dapat membelit seperti tuan hamba.

Cakap tuan hamba di sidang itu benar-benar melainkan semua tidak benar belaka.

Ya ampun baginda Razak, hamba juga turut berasa gundah-gulana apabila terdengar berita kematian Puteri Mongolia.

Hamba bertambah sedih lagi sayu apabila hamba diberitahu bahawa puteri ini adalah gundek simpanan Yang Teramat Mulia Raja Muda yang bakal menjadi raja sekalian rakyat jelata.

Hamba juga mendengar khabar berita tentang betapa cemburunya permaisuri ketika mengetahui bahawa ada gundek yang lebih disayangi daripada baginda ratu. Telah tersebar ke seluruh Melaka tentang api murka yang keluar terpancar dari dada tuan permaisuri Raja Muda.

Ya ampun baginda tuan, api murka permaisuri ini bukan datang secara tiba-tiba. Adalah menjadi dongeng rakyat Melaka setiap permaisuri yang akan naik ke atas takhta, maka badannya wajib diukur dan dikira.

Telah tersebar ke pelosok kampung dan kota, telah diketahui rakyat jelata tentang berita susuk permaisuri Raja Muda melebihi seekor anak gajah simpanan Tun Bendahara.

Adalah menjadi perangai dan sifat anak-anak muda Melaka membuat lawak dan jenaka terhadap badan permaisuri Raja Muda. Dari apa yang hamba menerima berita, inilah punca yang menimbulkan angkara murka.

Permaisuri Raja Muda telah mengetahui betapa ramping, langsing lagi ranggi pinggang Puteri Mongolia.

Mengikut yang empunya cerita, cemburu melimpah marah bertambah. Mengikut kata yang empunya surah, seorang Tamil dari negara atas angin telah datang bersumpah di hadapan Balai Rong Seri bersama mudim dan pari-pari bahawa si Tamil legam itu mengetahui bahawa Raja Muda kita berkemudi di buritan kapalnya.

Ya ampun baginda Razak, sahihlah dongeng berita Raja Muda "makan di luar dan suka makan di dalam". Makan di depan, makan di belakang telah menjadi nikmat pilihan Raja Muda kita.

Ya ampun baginda, "makan depan, makan belakang" ini adalah surah yang dipungut dan dikutip oleh si Tamil dari mulut tuan hamba sendiri.

Ya ampun tuan hamba, bukanlah niat hamba untuk membuat fitnah, jauh lagi untuk mencerca nama baik tuan hamba. Niat hamba untuk memberitahu seantero negara bahawa apa yang tuan hamba suarakan di sidang itu hanyalah dongengan karut semata-mata.

Adalah hamba berjanji kepada rakyat Melaka untuk melaporkan duduk perkara sebenar. Adalah juga tanggungjawab hamba bukan menista dengan berita.

Hendaklah tuan hamba tahu bahawa tidak ada seorang pun rakyat jelata yang mempercaya apa yang tuan hamba butirkan itu benar melainkan semuanya bukan benar semata-mata.

Kisah hikayat Puteri Mongolia ini berpanjangan hendak-hendaknya.

Adalah menjadi tabiat baik rakyat Melaka mereka amat suka melihat tuan hamba masuk sekali lagi ke rumah pasungan. Tidaklah busuk hati nurani mereka melainkan mereka ingin tahu duduk perkara sesahih-sahihnya.

Ya ampun baginda tuan hamba, rakyat Melaka dan saentaro belantara dari Melaka ke Majapahit, dari Jambi hingga ke Pasai telah mendengar cerita tuan hamba menjadi kaya-raya kerana membeli dua bahtera.

Apakah ini dongeng cerita hamba sendiri tidak terkata-kata hanya tuan hamba tahu duduk perkara.

Mengikut kisah yang empunya ceritera, mengikut surah sumpah si Tamil legam, tuan hamba dilantik menjadi khadam yang kanan. Masuk istana keluar istana tanpa ditegur tanpa dilarang. Bukanlah rahsia rakyat Melaka untuk berdendam mencari mangsa.

Mengikut surah sumpah si Tamil lagi, tuan hamba menjaga gundek-gundek Raja Muda. Mengikut tuan yang empunya ceritera, tuan hamba juga berligar ke kampong berligar ke kota mencari anak-anak dara untuk dijadikan gundek-gundek istana.

Ya ampun baginda Razak, biarlah hamba meneruskan ceritera tentang permaisuri yang jatuh murka. Telah didengar rakyat Melaka tentang kisah permaisuri kita yang dahulunya seorang mak janda. Bergundek ke hulu bergundek ke hilir membuka paha.

Ya ampun, telah menjadi berita atas arahan siapakah Puteri Mongolia musnah derita. Telah diketahuilah rakyat Melaka betapa permaisuri cemburu tersangat bagai gajah kena penyengat.

Telah diketahui juga rakyat Melaka bahawa Raja Muda sering berduka berkongsi katil memeluk seekor unta walhal paduka bemimpi gundek langsing berambut panjang bukan permaisuri baginda berambut kontot.

Ya ampun, tuan hamba dikatakan amatlah bergeliga mencari untung membeli bahtera.

Biarlah hamba menyampai berita. Dari Naning hingga ke Melaka, rakyat tahu duduk perkara. Jangan cuba dibodohkan, jangan cuba dialpakan, rakyat sudah faham membaca warta berita.

Tidak perlu bergelap, tidak perlu bersuluh pelita, kisah tuan hamba membeli dua bahtera dengan duit emas berkantung-kantung diketahui rakyat jelata.

Al-kesah tuan empunya cerita, permaisuri telah membadak gegak gempita, lagi marah lagi murka maka diarah puteri disula, diseksa untuk menamatkan semua berita.

Badan meletup rambut terbakar agar tidak diketahui siapa empunya benih. Dari atas angin sampailah berita, dari balai rong hingga ke rakyat jelata, semua ingin bertanya janin ini empunyanya siapa?

Ya ampun baginda, adalah hamba mendengar berita amat sahih lagi nyata tentang Raja Mongolia amat besar amarahnya tidak dapat dikata apa-apa lagi.

Ya ampun, adalah hamba mendengar berita si Tamil ditemui sudah. Dia bersyair lagi bermadah menunggu masa untuk mendedah sekali lagi.

Ya ampun baginda Razak, adalah hamba mendengar berita lagi sahih lagi nyata tentang Raja Muda yang akan naik tahta akan disula rakyat Melaka.

Beginilah berakhirnya surat hamba kepada tuan hamba. Ya ampun, tidaklah ada apa-apa lagi yang hendah hamba katakan.

Hendaknya diketahuilah oleh cucu-cicit kita nanti tentang kisah murka permaisuri yang gedempol dengan puteri manis bistari, kisah Raja Muda yang takut bini, kisah gundek bertukar ganti.

Maka dibuatlah rakyat Melaka pantun enam kerat untuk ingatan turun-temurun:

Tam tam tun

Tak perlu berpantun

Dam dum dah

Tak perlu bermadah

Sidang baginda

penuh dusta.

ADS