Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Meninggalkan sesebuah parti politik dan memasuki parti lain bukan tindakan yang aneh. Ia sebahagian amalan hak kebebasan untuk memilih.

Menukar parti ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Di mana-mana saja kita mendengar atau membaca ada orang politik, ada ahli parlimen atau menteri yang berubah parti.

Biasanya seseorang akan meninggalkan parti atau memasuki parti politik lain kerana tidak bersetuju dengan dasar yang dibawa oleh partinya. Dia tidak ingin lagi menjadi ahli atau tidak mahu menjadi wakil rakyat parti itu.

Parlimen Britain adalah tuang dan acuan Parlimen kita. Justeru untuk sesama mendewasakan politik kita, maka saya akan memberi contoh daripada Parlimen Britain.

Negara Mat Saleh inilah yang telah mewujudkan konsep parlimen, konsep raja berperlembagaan dan konsep lembaga Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang kita ikuti semenjak 1957 hingga ke hari ini.

Pada 2003, George Galloway dibuang daripada Parti Buruh Britain kerana tidak bersetuju dengan dasar Tony Blair yang bersekongkol dengan George W Bush untuk melancarkan perang ke atas Iraq.

Galloway menubuhkan parti baru untuk bertanding kembali dan dia kemudiannya menang.

Pada Disember 2005, George Galloway datang ke seminar anti-Zionisme di Kuala Lumpur sebagai ahli parlimen Britain. Ertinya susuk yang bernama George Galloway ini berprinsip.

Dia mengambil sikap anti-perang dan menyokong perjuangan adil rakyat Arab. Dia meninggalkan parti politiknya kerana prinsip anti-perang. Susuk ini beralih parti bukan kerana duit, ringgit atau dinar. Dia meninggalkan parti politik kerana dasar yang tidak dipersetujui.

Ia amat jauh berbeza daripada apa yang kita lihat sedang dan akan berlaku dalam negara kita.

Jangan salah faham dan jangan salah nilai. Meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat tidak sama dengan keluar daripada Pakatan Rakyat untuk memasuki atau mencampuri Barisan Nasional.

Dua perkara yang dilihat serupa tetapi tidak sama. Ada perbezaan yang amat ketara seperti petai dengan kerayong.

Tidak boleh disamakan perjuangan Yasser Arafat mengangkat senjata dengan Monshe Dayan yang juga mengangkat senjata. Tidak boleh disamakan Che Geuvera yang meninggalkan Cuba dengan Thaksin yang meninggalkan Thailand.

Tidak boleh disamakan Nelson Mandela yang dipenjara dengan Abdul Razak Baginda yang juga dipenjara.

Ada nilai salah dan ada nilai benar di sini. Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar. Kebenaran tetap benar bukan bersangkut-paut dengan pandangan majoriti atau pandangan minoriti.

Pada suatu ketika dahulu majoriti menganggap dunia ini leper. Pada suatu ketika dahulu majoriti menganggap matahari berpusing mengelilingi bumi.

Garam di mana-mana tetap masin. Air tetap H2O – dua molekul hidrogen dan satu molekul oksigen – walaupun ditemui di bintang Marikh. Kebenaran terus wujud sama ada ditenggelami oleh majoriti atau ditengelami oleh minoriti.

Meninggalkan kejahatan dan kemungkaran adalah betul walaupun kejahatan dan kemungkaran itu masih dimiliki dan disanjung majoriti.

Yang zalim tetap zalim walaupun didondang sayang oleh majoriti. Yang jahat tetap jahat. Yang menipu tetap menipu walaupun mereka dibaluti kekuasaan.

Apabila Yaseer Arafat bangun melawan tentera Isreal, kita tidak boleh menyamakannya dengan Ehud Barack menyerang gerila Palestin.

Satu pihak berjuang untuk menghapuskan kezaliman dan menegakkan kebenaran. Dan yang satu lagi menyerang untuk meneruskan kemungkaran dan kezaliman.

Justeru, jika ada ahli gerombolan atau wakil rakyat United Malays National Organisation yang meninggalkan gerombolan mereka dan memasuki Pakatan Rakyat, kita anggap langkah ini tindakan yang revolusiner. Mereka meninggalkan kejahatan dan menerima kebenaran. Ia satu tindakan yang dihormati.

Tindakan ahli atau wakil rakyat United Malays National Organistion ini sama seperti tindakan warga Isreal yang lari dari Tel Aviv datang ke Gaza untuk mempertahankan hak rakyat Palestin.

Justeru, kita semua wajib menggalakkan dan membantu ahli-ahli gerombolan United Malays National Organisation dan para sekutu daripada Barisan Nasional untuk meninggalkan gerombolan mereka dan datang memasuki Pakatan Rakyat.

Ia samalah seperti Hamas, Fatah atau Hizbullah yang menggalakkan warga-warga Isreal meninggalkan fahaman Zionis mereka dan datang membantu perjuangan adil rakyat Palestin.

Tidak salah jika kita lari daripada kegelapan dan kejahilan untuk datang mencari cahaya keilmuan. Justeru, jika ada ahli-ahli gerombolan United Malays National Organisation yang berbuat demikian, maka mereka dianggap berprinsip dalam perjuangan.

Lihat bagaimana sambutan dan sentimen rakyat apabila seorang wakil rakyat gerombolan United Malays National Organisation masuk dalam Pakatan Rakyat. Seluruh rakyat Malaysia mengalu-alukan.

Lihat pula sepuluh hari kemudian apabila tiga orang wakil rakyat Pakatan Rakyat pergi mencampuri (hanya mencampuri) - bukan lagi menjadi ahli – mereka semua dikutuk dan dimaki hamun.

Lihat betapa jauh bezanya sentimen orang ramai - samalah seperti seorang warga Arab Palestin yang membelot membantu regim Zionis di Tel Aviv. Sumpah-seranah tidak akan putus-putus.

Perhatikan pula ketika wakil rakyat dari gerombolan datang ke saf Pakatan Rakyat – susuk ini tidak diculik, tidak dikurung. Mereka tidak ditawarkan harta, dolar, ringgit dan dinar.

Tidak ada apa-apa yang dijanjikan kecuali untuk menerima dasar Pakatan Rakyat. Dan menerima konsep Ketuanan Rakyat.

Lihat pula bagaimana tiga orang wakil rakyat Pakatan yang pergi mencampuri gerombolan. Beberapa hari mereka hilang entah ke mana.

Apabila muncul kembali, mereka mula bijak berdolak-dalik. Sekejap kata "ya" sekejap kata "tidak". Cakap-cakap mereka, tindak-tanduk mereka tidak jauh bezanya daripada warga Palestin yang sedang belot dan bersubahat dengan Zionis Israel.

Apabila pembelotan terbongkar dan dilakukan siasatan rapi akan terbukti semua yang belot dan bersubahat dengan regim Zionis ini dibayar dan diupah. Mereka memiliki masalah peribadi seperti mencari makan menjual dadah, menjalankan pelacuran atau menggelapkan harta majlis kerajaan tempatan.

Tidak ada warga Palestin yang belot bekerja untuk Zionis Isreal seorang yang jujur, ikhlas dan berprinsip. Ia samalah seperti wakil-wakil rakyat Pakatan yang "mencampuri" gerombolan United Malays National Organisation – mereka memiliki masalah.

Perhatikan temubual media dengan mereka yang belot – sama ada di Perak atau Palestin. Tidak ada sepatah pun ayat-ayat dari mulut mereka yang mengatakan mereka beralih pegangan kerana prinsip perjuangan. Betul, mereka ada menyebut-nyebut nama Tuhan Yang Maha Esa. Ini hanyalah sebagai kelongsong.

Mereka tidak akan melakukan tindakan berprinsip untuk meletakkan jawatan seperti George Galloway yang tidak mengucapkan nama Yang Maha Esa atau memakai jubah agama. Mereka tidak akan berani menguji kekuatan mereka dengan undi rakyat.

Memang tidak salah bertukar parti. Bertukar daripada kumpulan jahat kepada kumpulan baik adalah satu tindakan berprinsip. Tetapi bertukar daripada kumpulan baik masuk kepada gerombolan jahat ialah kerja orang gila yang akan dikutuk rakyat selama-lamanya.

ADS