Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Apakah medium yang sesuai untuk mendengar, melihat dan mengetahui sesuatu yang tidak pernah diketahui - dan menikmatinya sambil berdiskusi?

Festival Filem Freedom adalah jawapannya.

Digunakan sebagai platform berbincang, Festival Filem Freedom satu-satunya tempat anak seni dan aktivis boleh melontarkan pendapat mereka secara ‘halus’ dan bebas melalui karya dihasilkan.

Menurut pengarah festival itu, Anna Har, program yang kini berusia 12 tahun itu harus "dipelihara" agar pandangan berkaitan hak asasi manusia boleh diketengahkan dengan cara sesuai.

“Setiap tahun kita cuba sediakan tempat untuk kebebasan bersuara.

“Maka kita harus lindungi ruang yang kita ada dan untuk itu, kita harus sentiasa buat filem begini,” katanya di sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Ada anugerah juga

Festival itu diadakan selama 10 hari mulai 11 September - sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, mengetengahkan tema “Negara ini kita punya: Malaysia untuk semua.”

Sepanjang tempoh itu pelbagai filem dari Malaysia dan luar negara ditayangkan. Istimewanya, kebanyakan filem berkenaan tidak pernah ditayangkan di medium arus media perdana walaupun ia mengangkat pelbagai isu menarik untuk dikupas seperti warga tua, rahsia maklumat individu, pengawasan pihak berkuasa dan korupsi.

Program berkenaan dianjurkan oleh Pusak Komunikasi Masyarakat (Komas), sebuah organisasi sivil yang memperjuangkan demokrasi dan hak kesamarataan menerusi media kreatif.

Pertama kali diadakan pada 2003, festival itu memfokuskan filem berkaitan hak asasi manusia selain menawarkan pembiayaan bernilai RM8,000 kepada penggiat filem yang layak.

Penganjur turut menilai filem yang mengambil bahagian dan memberikan anugerah kepada filem terbaik.

Menurut Anna, filem sesuai digunakan sebagai alat mengekalkan keamanan kerana ia berbeza daripada penyampaian mesej melalui lisan.

Sebab itu, katanya, penganjur memilih medium filem berbanding lisan yang kadang-kadang boleh dianggap terlalu keras.

"Kita boleh bersetuju atau tidak dengan mesej yang disampaikan. Apa yang lebih penting, festival ini bukan semata-mata untuk menayangkan filem tetapi memberi ruang berdiskusi.

“Rakyat Malaysia harus lebih rileks. Kita boleh dengar pandangan orang lain dan tidak mengapa jika tidak menyukainya.

“Seperti adik-beradik, kita memang ada pendapat sendiri,” katanya.

Selain itu, persembahan Malaysia Day Music Evening turut diadakan pada 16 September.

Beberapa selebriti termasuk penyanyi Zainal Abidin dan Ito dari Blues Gang serta kumpulan dari Sarawak dan Sabah bakal memeriahkan program berkenaan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan tiket, boleh layari http://freedomfilmfest.komas.org/

Lihat Komen
ADS