Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kisah Ustaz Rock, 'hero Internet' di alam sumpah seranah

Kritikan pedas bertali arus hero Internet keyboard warrior ke atas artis dilihat semakin menjadi-jadi.

Seorang daripada artis yang terkena tempias itu adalah penceramah bebas dan bekas penyanyi rock Akhil Hayy Rawa.

Menurut Akhil atau nama asalnya Akhil Abdul Hayy, kebanyakan pejuang papan kekunci gemar memilih media sosial untuk melontarkan sesuatu komen kerana berpendapat ia sebagai satu jalan penyelesaian.

Keyboard warrior s emakin mengganas di luar.

“Mereka tidak dapat bersuara tetapi melahirkan komen ‘panas’ di ruang media siber kerana merasakan ia jalan terbaik apabila tidak dapat bersemuka dengan individu terbabit.

“Itu adalah punca mereka suka jadi pejuang di atas papan kekunci saja,” katanya kepada Malaysiakini .

Seringkali komen ‘sedap mulut’ yang dibuat oleh pejuang papan kekunci menganiaya seseorang dan justeru itu harus ada noktahnya, kata Akhil.

Akhil pernah menjadi vokalis kumpulan rock D’Riyadh pada sekitar penghujung 80-an.

Beliau kini terkenal sebagai “Ustaz Rock” susulan penampilan barunya.

Penagih siber

Bagi penceramah yang 46 tahun itu, dalam Islam, seseorang umatnya tidak harus mengeksploitasi saluran komunikasi yang ada.

Bukan tidak boleh menyuarakan pendapat, tetapi biarlah kena dengan gaya dan caranya, tambahnya.

“Sekiranya kita hendak menegur seseorang itu ada adab dan cara tetapi dunia tanpa sempadan kini menjadikan ia tidak digarap dengan al-Quran dan hadis. Alam siber dijadikan tempat lepas geram dan sumpah seranah,” katanya.

Selain itu, Akhil memberitahu, sesuatu komen yang sudah dibuat wajar dipadamkan segera kerana ia akan membuka ruang kepada pembuli siber menggunakannya sebagai sandaran di masa akan datang.

“Bila ada isu melibatkan selebriti atau golongan atasan ia tidak dipadamkan selepas berpuluh tahun apabila isu itu sudah selesai atau habis.

“Mereka yang menjadi mangsa siber ini boleh berubah dan menjadi lebih baik.

“Tetapi penagih siber baru akan nampak ia seperti isu yang baru. Golongan itu akan berubah dari tidak tahu menjadi tahu.

Akhil tidak menafikan, apabila menjadi artis sememangnya individu itu sudah menjadi hak umum.

Bagaimanapun, masih ada perihal peribadi yang tidak perlu dikongsi kepada orang ramai kerana ia akan menimbulkan salah faham dan fitnah sekiranya tidak benar.

Tuduhan ceramah habis awal

Menurut Akhil lagi, kebanyakan isu dilemparkan dalam media sosial tidak mendapat izin daripada orang yang menjadi mangsa – ini umpama menafikan hak seseorang itu untuk bercakap.

Akhil memberikan beberapa contoh perkara yang membabitkan dirinya suatu ketika dulu.

“Dalam kes saya ada pihak menyatakan ceramah yang dilakukan bermula pada jam 9.30 tetapi saya berhenti lebih awal iaitu 10.45.

“Seumur hidup, tidak pernah saya lakukan hal sedemikian iaitu berhenti kurang daripada dua jam. Namun, pengecualian mungkin dibuat sekiranya saya sakit atau penat.

“Tanyalah kepada seluruh pihak penganjur yang pernah bekerjasama, ia pasti dipersetujui kerana saya tidak melakukan perkara itu. Ia tidak berlaku maka ia sudah jadi fitnah,” katanya.

Malah, ada juga satu ketika perbuatan pejuang papan kekunci itu dilihat semata-mata hanya mahu memberi komen tanpa usul periksa dan menokok tambah untuk menjadikan isu itu panas.

“Saya komen mengenai artis lain tiba-tiba, ada pihak guna perkataan itu ubah jadi tajuk besar yang lain pula sedangkan saya tidak sebut pun apa yang dinyatakan itu.

“Inilah fitnah dan tokok tambah,” katanya.

Sehubungan itu, Akhil menggesa supaya orang ramai tidak hanya mendengar daripada sebelah pihak, mereka harus menggunakan kaedah kaji selidik terlebih dahulu untuk lihat kebenarannya.

“Orang Islam kendalikan sesuatu dengan bermuzakarah, bukan menambah cerita.

“Satu kebaikan kita buat akan berpanjangan ke alam kubur tetapi satu benda fitnah kamu buat akan aibkan seseorang dan ia akan tersemat dalam jiwa mereka yang lain.

“Komentar adalah ruang untuk membina bukan menyebarkan benda tidak elok,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS