Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menggigil jika tidak dapat apa yang menjadi ketagihan, maka begitulah kurang lebih apa dirasai penerbit teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Mengakui tidak akan mendapat keuntungan kebendaan daripada pementasan itu, Siti Rohayah Attan memutuskan untuk meneruskan 'projek' berkenaan walaupun tahu tiada keuntungan akan diperoleh.

“Semuanya kerana hobi.

“Saya suka buat, kalau tidak buat - ia ibarat ketagih minum kopi. Kalau tidak dapat minum, badan menggigil,” katanya kepada Malaysiakini.

Siti Rohayah ditemui selepas pelancaran teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya semalam.

Pelancaran itu dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Cari wang perlahan-lahan

Teater adaptasi daripada karya Allahyarham Hamka itu menampilkan banyak bakat muda seperti Amar Baharin yang membawa watak Zainuddin, Nabila Huda (Hayati) dan Karl Shafek (Azis), selain Liza Abdullah (Bonda), Rasdi Daud (Datuk Penghulu Adat) dan Bohari Ibrahim (Datuk Panglima Garang).

Teater berkenaan mula dipentaskan pada 12 hingga 18 Oktober ini.

Menurut Siti Rohayah, bukan mudah untuk mementaskan hasil karya agung Hamka.

Untuk menjayakanya, ia menelan belanja sehingga RM2 juta dan Siti Rohayah sedar usahanya itu bukanlah bermatlamatkan meraih keuntungan.

“Bila dapat sedikit wang, saya terfikir untuk memulakan projek teater, kemudian saya akan cari wang lagi perlahan-lahan.

“Alhamdulillah, walaupun tidak untung, tidak kaya, pementasan teater akan berterusan untuk generasi baru," katanya.

Walaupun menggunakan belanja besar untuk menerbitkannya, teater itu tidak pula mengenakan tiket mahal kepada penonton.

Untuk menyaksikan teater berkenaan orang ramai boleh memilih tiket yang ditawarkan pada harga antara RM37 hingga RM270.

“Sekiranya sepanjang teater ditayangkan dewan penuh, kami cuma boleh dapat kira-kira RM400 ribu saja. Maksudnya ada lagi RM1.6 juta perlu ditanggung," katanya.

Mula berseri kemudian tarik diri

Mereka bagaimanapun masih bernasib baik apabila Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyalurkan peruntukan kira-kira RM300,000 untuk menampung sebahagian daripada kosnya.

Menurut Siti Rohayah lagi, asam garam dalam industri itu sudah biasa ‘ditelan,’ namun perkara itu tidak pernah menjadi penghalang buatnya meneruskan sesuatu yang sudah sebati dalam diri.

Baginya, keutamaan menghasilkan sesebuah pementasan teater hanyalah untuk mendapatkan kepuasan.

“Teater ini hanya untuk suka-suka dan habiskan duit,” ujarnya berseloroh.

Siti Rohayah memberitahu, masalah kewangan dan penajaan yang dialaminya setiap kali ingin berkarya bukanlah isu baru malah ia turut dihadapi oleh penggiat seni lain.

“Ada ketika pihak tertentu datang dengan muka berseri-seri untuk menjadi penaja, tetapi wajah itu bertukar di saat akhir dan ada yang menarik diri.

“Akibat pelbagai kerenah itu orang yang terpaksa menghadapinya adalah orang seperti saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS