Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Monolog seni' Noramin: Lainlah kalau Mahathir...
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 5:36 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Noramin menulis lagi. Kali ini dia seakan mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan mogok lapar seperti dilaporkan sedang dilakukan salah seorang pembantunya, Matthias Chang .

Dalam kemas kini di Facebook, bekas juruhebah popular itu mempertikaikan keperluan seseorang mengadakan mogok lapar pada zaman ini.

"Ini bukan zaman Gandhi. Ini zaman kebijaksanaan di era transmedia 16K. Siapa dia (Chang) ni?" tulis Noramin atau nama sebenarnya Mohd Nor Amin itu.

Semalam Noramin yang terkenal mengendalikan pelbagai segmen radio pada 1990-an dulu menyatakan pandangannya bahawa Datuk Seri Najib Razak akan selamat daripada sebarang ancaman selagi ada " anak jawa Perak " sebagai penyokongnya.

Istilah "anak jawa Perak" itu dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Perak.

Hari ini Noramin berkata apabila mendapat tahu mengenai tindakan Chang memulakan mogok lapar, dia membuat rujukan di Kamus Dewan untuk mendapatkan definisi perbuatan itu.

Asap berkepul-kepul

"Mogok lapar mempunyai erti mogok dengan tidak mahu makan (sebagai bantahan dan lain-lain).

"Kalau kau orang nak tahu, dan setahu aku, bila sebut jer mogok lapar ni, ia mengembalikan ingatan kita kepada sejarah agung dunia Mohandas Karamchand Gandhi (Mahatma Gandhi) ketika zaman gerakan pembebasan India pada 1947.

"Beliau telah melakukan 17 kempen mogok lapar tetapi dalam bentuk yang lebih halus yang dinamakan memulakan puasa tanpa makan.

"Puasa yang paling lama dilakukan oleh Gandhi adalah 21 hari bermula 12 Februari 1947 sebagai bantahan jiwa bagi menghentikan rusuhan rakyat, antara penduduk Hindu dan Islam di India," katanya.

Noramin juga memetik kejadian mogok lapar tahanan di Ireland Utara yang membantah dasar pentadbiran British di situ.

"Kalau nak tahu, 10 orang telah terkorban akibat dibiarkan mati kebuluran, kematian yang dia orang sendiri pinta dan rela. Kau rela? Ceh! Mana kau orang berani buat macam tu, kecuali kau orang dah tak ada duit nak hisap vape yang kau kata amat trendy tu.

"Asap keluar berkepul-kepul lebih dasyat berbanding asap kepala kereta api pada zaman sebelum merdeka. Kau orang kata itu art atau seni, suka hati kau orang lah!" katanya lagi.

Pada pendapat Noramin seluruh aspek hidup manusia - termasuk makan minum, berjalan, marah atau senyum mempunyai seni tersendiri.

Namun, katanya, satu-satunya perbuatan yang pada matanya tidak berseni ialah mogok lapar.

Perbuatannya sia-sia

Kalau ada pun "seni" pada bantahan itu, kata Noramin, ia dianggap "seni yang tidak seni".

"Nah, takkan kau orang tak kenal orang ni… si Matthias Chang, ala… Takkan kau orang tak ingat…. Pembantu khas mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dulu!

"Sebelum ini beliau pernah melakukan kempen mogok lapar, tetapi dipujuk oleh sifunya Mahathir agar menghentikannya pada hari yang kesembilan," katanya.

Noramin berkata, mogok lapar tidak sama dengan berpuasa kerana ia melihatkan penolakan semua makanan.

"Dalam masa 20 hari, aku percaya muka si Matthias Chang ini boleh transform menyerupai seperti muka bapak kau orang. Maklum jerlah… vitamin dan protein dah tak ada dalam darah, yang ada duit banyak dalam bank, tapi….nak apa dengan duit?

"Dia seorang peguam tapi bukan ramai sangat pengikutnya. Cuba kau bandingkan statusnya dengan Gandhi, ada sama?

"Ternyata, perbuatannya adalah sia-sia. Lainlah kalau Mahathir sendiri nak lakukan mogok lapar! Dia berani ke? Apa? Cakap kuat sikit, aku tak dengarlah. Oh, jangankan nak mogok sehari, sakit dada sikitpun dan heboh satu dunia…..berkejar pergi IJN (Institut Jantung Negara)… kik kik kik," katanya.

Lihat Komen
ADS