Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kumpulan Search menjadi mangsa keadaan selepas ada pihak menggunakan nama mereka untuk mengadakan pertunjukan jalanan (roadshow) di Kluang Mall Johor.

Kejadian bermula Khamis lalu apabila syarikat De Sasa Selatan dan Tycoon Park dalam suratnya kepada Kluang Mall memohon tempat bagi mengadakan promosi penjualan tiket.

Pertunjukan jalanan itu diadakan sempena Konsert Search Panggung Khayalan yang akan diadakan pada 24 Oktober.

Namun, pertunjukan jalanan yang seharusnya berlangsung semalam, tidak berlaku gara-gara salah faham urusan.

Selaku vokalis, Amy tampil untuk meredakan keadaan dan menjelaskan perkara sebenar kepada peminatnya menerusi akaun Instagram dan Twitter.

“Saya bagi pihak Search ingin perbetulkan apa yang berlaku di Kluang Mall semalam.

Kenyataan ini khusus kepada semua peminat yang datang ke Kluang Mall untuk bertemu Search.”

Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, Search langsung tidak mengetahui mengenai perkara itu dan memandang serius kejadian yang berlaku.

“Tanpa pengetahuan, syarikat De Sasa Selatan dan Tycoon Park dalam surat mereka menyatakan Search akan hadir sedangkan kami tidak tahu menahu perkara ini.

“Ketika perkara itu sampai ke pengetahuan kami, Search sedang mengadakan latihan di studio.

Ini adalah fitnah semata-mata.”

Untuk makluman, Amy adalah anak kelahiran Johor.

'Band budak Johor'

Dengan menggunakan Instagram dan Twitter juga, Amy meminta pihak yang bertanggungjawab tidak menggunakan nama mereka dengan sewenangnya.

“De Sasa Selatan dan Tycoon Park perlu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku kerana ia memalukan Search.

“Search band budak Johor dan hampir 35 tahun dalam industri.

“Tolong tunjuk hormat pada Search dan peminat kami,” katanya.

Sementara itu, eksekutif kanan bahagian pemasaran Kluang Mall Rafiq Abdul Rajak ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara berkenaan.

Menurut Rafiq, Kluang Mall memperuntukkan syarikat terbabit tempat bagi menganjurkan hari bertemu peminat dengan Search.

Namun, peminat terpaksa menunggu kedatangan Search sehingga kira-kira jam 7 malam.

“Syarikat De Sasa Selatan dan Tycoon Park memang ada menghantar surat meminta tempat untuk mengadakan pertunjukan jalanan itu Khamis lalu.

“Malah juruacara mereka kerap mengumumkan Search akan datang pada acara itu semalam.

Kata Rafiq, pihaknya yang berasa tidak sedap hati dengan perkara itu terus menghubungi Amy dan meminta penjelasannya.

“Sebaik kami menghubungi Amy, dia berkata langsung tidak tahu menahu perkara terbabit.

“Dan tanpa sebarang makluman, syarikat terbabit membungkus peralatan mereka dan terus beredar,” katanya.

Lihat Komen
ADS