Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zurinah catat sejarah Sasterawan Negara
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 12:53 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Datuk Dr Zurinah Hassan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-13 hari ini, sekaligus menjadi wanita pertama diangkat ke kedudukan itu setakat ini.

Pengiktirafan terhadap Zurinah sebagai penerima Anugerah Sastera Negara diumum Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid melalui satu kenyataan di Facebook beliau sebentar tadi.

"Saya hari ini mengumumkan Datuk Dr Zurinah Hassan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-13 yang membawa gelaran Sasterawan Negara," katanya.

Dalam sidang medianya, berkata pemilihan Zurinah dibuat berdasarkan sumbangan cemerlang beliau dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Terdahulu, berita itu dikongsi oleh anak Zurinah, Raihani Mohd Saaid melalui satu tulisan di Facebook.

Bagaimanapun, Zurinah sendiri kemudian bagai 'meredakan' keadaan peminat yang teruja dengan memuat naik status di akaun Facebook beliau: "Maklumat terkini dari Putrajaya SN (Sasterawan Negara) baru belum diumumkan setakat kol (pukul) dua belas ni. Jadi hentikan."

Zurinah, 66, dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar Kedah pada 13 Jun 1949 merupakan seorang penyair yang tidak asing di tanah air.

Sepanjang kariernya sebagai penggiat sastera Zurinah lebih cenderung kepada penulisan puisi dan menghasilkan kumpulan puisi pertama bertajuk Sesayup Jalan pada 1974.

Selain itu penerima Anugerah SEA Write 2004 itu menerbitkan kumpulan puisinya Keberangkatan (1985), Kuala Lumpur and Other Place (1988), Pujangga Tidak Bernama (1994), Pesanan Dari Gunung Ledang (2004) dan Salasilah (2005).

Karya beliau juga termuat dalam antologi bersama Kuala Lumpur (1975), Bila Kita Berbicara (1976), Puis-puisi Nusantara (1981), Bintang Mengerdip (1984), 100 Sajak Malaysia (1984), Bunga Gerimis (1986) dan Nota Waktu (2003).

Berikut adalah senarai Sasterawan Negara setakat ini:

  1. Keris Mas (Kamaludin Muhammad) - 1981
  2. Shahnon Ahmad - 1982
  3. Usman Awang - 1982
  4. A Samad Said -1985
  5. Arena Wati (Muhammad Dahlan Abdul Biang) - 1987
  6. Muhammad Haji Salleh - 1991
  7. Noordin Hassan - 1993
  8. Abdullah Hussain - 1996
  9. S Othman Kelantan (Syed Othman Syed Omar) - 2003
  10. Anwar Ridhwan - 2009
  11. Kemala (Ahmad Kamal Abdullah) - 2011
  12. Baha Zain - 2013

Lihat Komen
ADS