Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Perasaan berdebar ditambah persoalan yang sama diajukan berkali-kali hanya menambah kegusaran di fikiran Datuk Dr Zurinah Hassan.

Namun apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Sastera ke-13, dia mampu menarik nafas lega.

Sebagai seorang yang begitu lama berkecimpung dalam dunia penulisan, wanita berusia 66 tahun itu mengakui, anugerah tertinggi kesusasteraan yang diterima baru-baru ini adalah pencapaian paling manis buat orang sepertinya.

Malah, sebelum nama anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu dinobatkan sebagai Sasterawan Negara terkini, dia juga menjadi satu antara individu yang tertanya-tanya siapakah gerangan tokoh bertuah yang akan mendapat pengiktirafan itu tahun ini.

“Kemenangan itu memberi satu kelegaan kepada saya.

“Tetapi sebelum mendapat penganugerahan itu, begitu ramai di kalangan kenalan dan rakan merisik khabar mengenainya hingga menimbulkan pelbagai spekulasi," cerita Zurinah ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya.

Menurut Zurinah, didampingi beberapa kenalan yang bertanyakan hal tentang Anugerah Sastera Negara secara tidak langsung memberikan tekanan kepada dirinya.

Namun, Zurinah berkata, desas-desus yang berpanjangan itu dianggap sebagai omong kosong saja, dan sedikit pun tidak menyinggung perasaannya.

“Cakap-cakap mereka secara umumnya berbunyi seperti ini: Dengarnya inilah dia sasterawan negara.

“Dalam membuat andaian itu, mereka cuma berseronok mengenai individu yang dijangka mendapat gelaran berkenaan,” katanya.

Karya bermutu tinggi

Zurinah terpilih sebagai Sasterawan Negara ke-13 pada Oktober lalu. Penghormatan itu menjadi lebih unik kerana beliau adalah wanita pertama menerima penghargaan demikian.

Seseorang penerima Anugerah Sastera Negara mesti berkarya menggunakan bahasa Melayu dan memenuhi beberapa kriteria lain, seperti bermutu tinggi.

Pemenang Anugerah Sastera Negara yang pertama adalah Dr Kamaludin Muhammad atau Keris Mas pada 1981, manakala tokoh sebelum Zurinah ialah Datuk Baha Zain (2013).

Bercerita mengenai latar hidupnya, Zurinah berkata minatnya kepada dunia penulisan bermula sejak dia berusia 12 tahun.

Namun seperti kebanyakan gadis kampung pada zaman itu dia terpaksa menerima hakikat bahawa keluarga lebih cenderung membesarkan anak perempuan masing-masing dengan kemahiran keperempuanan.

Katanya, pada zaman itu seseorang anak perempuan akan lebih menjadi kebanggaan seandainya pandai menguruskan hal rumahtangga dan memasak.

Anak perempuan juga berdepan kekangan budaya untuk melakukan aktiviti lasak seperti kanak-kanak lelaki. Justeru, ia membuatkan Zurinah lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah.

“Zaman dahulu tiada hiburan seperti sekarang, saya tidak bebas bermain seperti kanak-kanak lelaki.

“Kebosanan membuatkan saya mula menghayati siaran radio yang banyak memutarkan kisah bangsawan dan pantun," katanya.

Dari situ, cerita Zurinah, dia mula berjinak-jinak dengan bahasa dan mainan kata-kata seperti banyak tersiar dalam radio.

Sebenarnya, bukan itu saja halangan buat anak perempuan untuk berjaya dalam bidang yang dikehendaki.

“Kalau suka membaca atau mendapat pencapaian akademik tidaklah begitu mendatangkan kebanggaan kepada keluarga.

“Mereka lebih berbangga sekiranya dapat bercerita tentang anak perempuan masing-masing mahir melakukan tugas memasak, menjahit atau fungsi lazim wanita pada zaman itu," katanya.

Susah jadi pendorong

Perkara itu menambah kesukaran kepada anak perempuan untuk menjadi penulis yang banyak memerlukan masa untuk menyendiri dan membaca.

Tambahnya, untuk menyambung pembelajaran ke peringkat lebih tinggi juga mencabar kerana kedudukan sekolah atau institusi berkenaan terletak jauh dari kampung.

Sama halnya dengan menulis.

Tanpa kemudahan mesin taip, cara yang ada untuk berkarya adalah melalui menulis tangan. Selepas karya disiapkan, masih ada pula 'cabaran' yang perlu diatasi, seperti ke pejabat pos untuk mengirim surat kepada penerbit atau syarikat penerbitan.

Bagaimanapun, segala kesusahan dan kepayahan itu semakin mendorongnya untuk berjaya.

Sehingga kini, Zurinah sudah menghasilkan banyak buku termasuk antologi puisi, kajian sastera, autobiografi dan antologi cerpen.

Antara buku pernah dihasilkannya adalah Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi (2003), Pujangga Tidak Bernama (1994) dan Meneruskan Perjalanan (1987).

Beliau berkahwin dengan Mohamed Said Abdul Manap.

Lihat Komen
ADS