Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Natalia si Supernova berhati baik
Diterbitkan:  Dec 1, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Kejayaan dikecap model Russia, Natalia Vodianova, mungkin bagaikan kisah pari-pari yang sering diceritakan kepada kanak-kanak.

Namun itulah yang dilalui Supernova - nama gelaran untuk Natalia yang kini berusia 33 tahun.

Dia lahir di kawasan miskin di Gorky, Nizhny Novgorod dan dibesarkan oleh ibunya kerana si bapa meninggalkan keluarga itu sebelum Natalia sempat dewasa.

Bersama ibunya, Natalia membesarkan adiknya yang mengalami masalah kelembapan mental.

Tanpa bapa untuk mencari rezeki, Natalia dan ibunya membesarkan dua lagi ahli keluarga mereka.

Salah seorang daripada adik Natalia ternyata istimewa kerana mengalami penyakit palsi serebrum.

Pada usia tujuh tahun Natalia meninggalkan alam persekolahan demi membantu ibunya menjaja buah-buahan.

Untuk memahami kesukaran dilalui, bayangkan ini - Natalia memberitahu ada hari tertentu mereka tidak dapat makan apa-apa kerana ketiadaan wang.

Jodoh di usia 19 tahun

Nasib hanya mula berubah untuk Natalia ketika dia berusia 15 tahun apabila kejelitaannya dikesan seseorang yang mencari bakat baru model.

Di mata ejen itu, wajah Natalia sangat berpotensi untuk diasuh menjadi supermodel.

Tawaran diterima tentulah disambut baik Natalia. Selain ia menjanjikan masa depan yang cerah, ia juga dapat membantu keluarganya keluar daripada kemiskinan.

Natalia kemudian dibawa ke Paris, Perancis dua tajun kemudian - dan bermulalah 'hujan emas' untuk keluarga itu.

Banyak syarikat fesyen utama berebut mengambil Natalia sebagai peragawan bagi menggayakan koleksi pakaian terbaru dalam pertunjukan di serata dunia.

Antara syarikat besar yang tertarik kepada kejelitaan Natalia ialah Calvin Klein, Chanel dan Louis Vuitton.

Ketika berusia 19 tahun Natalia bertemu jodoh dengan seorang hartawan muda, Justin Portman.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak.

Namun, rumahtangga itu gagal dipertahankan untuk lebih lama. Pada 2011 Natalia secara rasmi bercerai daripada Portman.

Memiliki harta dan wajah jelita tentulah tidak menyukarkan Natalia kembali mendapatkan kekasih hati.

Tidak lama selepas berpisah, Natalia bertemu seorang lagi hartawan, Antoine Arnault dan hubungan intim mereka menghasilkan anak keempat.

Tahu hidup boleh berubah

Kebahagiaan keluarga itu berkekalan - sekurang-kurangnya setakat ini.

Melalui detik sukar dalam hidup ternyata menginsafkan Natalia. Justeru dia mendirikan yayasan amal The Naked Heart yang memberi tumpuan kepada pembangunan taman permainan kanak-kanak miskin di negara asalnya.

Yayasan ditubuhkan pada 2014 itu juga menyediakan khidmat penjagaan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kelembapan mental di Gorky.

Selain mendirikan yayasan itu Natalia juga aktif mencari dana bagi membiayai kos operasi dan bantuan kepada pihak yang memerlukan.

Untuk itu Natalia rajin berhubung dengan sesiapa saja yang dianggapnya dapat membantu, termasuk kerajaan dan wakil rakyat.

"Ketika kecil dulu, saya tahu, suatu hari nanti hidup saya akan berubah.

"Maka saya mahu kanak-kanak lain juga merasai perubahan dalam hidup mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS