Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Myanmar kian 'tersenyum'
Diterbitkan:  Jan 16, 2016 12:20 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Pada Mac tahun lalu harian berpengaruh, Myanmar Times menerbitkan permohonan maaf dalam akhbar itu kerana satu kartun yang dianggap mempersenda tentera negara berkenaan.

Melalui kartun berkenaan, pelukisnya memaparkan seorang lelaki membaca akhbar sambil berkata kepada seorang wanita di sebelahnya: "Tentera sedang merampas gunung-ganang."

Jawab wanita itu: "Mana cukup kalau rampas sawah saja."

Kerajaan mentafsir kartun itu menyindir tentera yang sedang berperang melawan pemberontak di utara Myanmar.

Myanmar Times mengaku satira itu berniat jahat dan penerbitnya terlepas daripada sebarang tindakan daripada kerajaan.

Sebenarnya kartun satira mempunyai sejarah panjang di Myanmar.

Ia pernah diterbitkan seawal 1915 oleh Ba Gyan yang dianggap Bapa Kartunis Myanmar.

Pada era itu Ba Gyan menggunakan kemahirannya mempersenda penjajah British dan kemudian menggunakan wadah sama menegur kerajaan di awal kemerdekaan Myanmar.

Peluang kritik isu semasa

Selepas tentera merampas kuasa pada 1962, bermulalah era gelap kartun satira di negara itu.

Pada 14 Januari lalu Malaysiakini menyiarkan bahagian pertama laporan mengenai perkembangan dunia kartun di Myanmar yang dilihat positif, terutama selepas wujudnya kerajaan separa sivil.

Bagaimanapun di sebalik sedikit kebebasan itu penganalisis berpendapat kekangan mungkin tetap wujud selepas ini kerana ada pelukis yang berasa tokoh seperti Aung San Suu Kyi tidak boleh dipersendakan seperti ahli politik lain.

Baru-baru ini satu pameran kartun diadakan di Yangon dan menarik minat ratusan orang.

Mereka secara santai dapat ketawa bersama-sama apabila memahami mesej yang disampaikan secara sindiran itu.

Antara isu yang disentuh ialah kontroversi pilihan raya umum hingga ke pelbagai isu semasa.

Seorang pengunjung berkata, kartun boleh merangsang polemik awam jika fakta dan mesej yang betul disampaikan dengan baik.

Bagi kartunis Maung Maung Aung, generasi pertama kartunis satira Myanmar bertuah kerana berpeluang mengkritik isu semasa secara terbuka.

"Jika kami menikmati zaman demokrasi sejati (selepas ini) maka kebebasan yang diingin akan diperolehi dan terjamin," katanya.

Bahagian 1: Seni melawan penguasa kartunis Myanmar

Lihat Komen
ADS