Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon Ola Bola sebak dengar orang teresak-esak

"Bila tonton filem ini bersama orang ramai, tiba-tiba hati kami jadi sebak sebab dengar orang menangis teresak-esak di dalam panggung.

"Kali pertama pratonton filem ni, kami pelakon tak ada rasa apa sebab nak fokus mutu lakonan kami," kata pelakon utama J C Chee yang memegang watak Chow Kwok Keong atau Tauke.

"Bila kali kedua menontonnya, watak kami dalam filem itu secara tiba-tiba meresap dalam jiwa dan secara tak sedar kami turut mengalirkan air mata," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan program Bernama Today terbitan Bernama TV hari ini.

Chee berkata beliau dan Luqman Hafidz yang memegang watak Ahamad Ali mula menghayati perjalanan filem itu mempunyai nilai tersendiri kerana mengangkat tema kehidupan di hati rakyat Malaysia selain menyelitkan elemen perpaduan kaum.

Menyentuh babak yang menyentuh hati penonton, Chee berkata babak di penghujung filem ketika berlaku pertelingkahan dalam bilik persalinan sebaik pemain mengetahui hakikat bahawa Malaysia tidak akan menyertai Sukan Olimpik di Moscow 1980.

Sementara itu Luqman berkata babak paling sukar dijayakan seluruh kru filem ialah ketika adegan menentang pasukan Filipina yang memaksa mereka mengulangi babak sama sehingga 55 kali bagi mendapat penggambaran terbaik.

Sambil melahirkan rasa bangga, beliau berkata filem itu boleh dijadikan suntikan semangat dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

"Ia bukan semata-mata berkisar tentang bola, tetapi pasal keluarga, kehidupan zaman 80-an, bersatu hati, perpaduan kaum dalam satu pasukan yang perlu dipupuk dalam kalangan hati rakyat negara ini.

"Pengisian dialog-dialognya juga dekat dengan kita. Tentang cita-cita; contohnya nak belajar ke tahap lebih tinggi, tapi tak ada duit, semangat berpasukan dan banyak lagi babak-babak menyentuh emosi," katanya.

Filem arahan Chiu Keng Guan itu turut dibintangi Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee yang mengisahkan mengenai kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980.

Filem itu mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kutipan mencecah RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan sejak 24 Januari lepas dengan pengkritik menyifatkannya ia sebagai filem Malaysia bertaraf lima bintang yang menyentuh emosi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS