Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Memenuhi jemputan persembahan hampir setiap minggu cukup membayangkan bagaimana rezeki Haziq Rosebi dan membuktikan dia masih mempunyai mojo di ruang tersendiri.

Meskipun nama Haziq tidak rancak kedengaran di saluran stesen radio dan televisyen swasta, hakikatnya dia tidak menang tangan menyambut tawaran daripada pihak yang menggemari vokalnya.

Dalam 'diam-diam' Haziq, 28, yang menyertai Akademi Fantasia musim keempat itu masih bergiat aktif mengadakan persembahan biarpun mengetengahkan genre irama tradisonal.

Ini sekaligus menolak dakwaan umum, penyanyi lagu tradional tiada tempat dalam industri.

“Saya nafikan sekiranya umum berpendapat penyanyi lagu asli tidak boleh cari makan sebab saya mengalaminya sendiri.

“Saya masih aktif dengan persembahan walaupun mungkin jarang-jarang muncul di media massa arus perdana.

“Alhamdulillah, genre yang saya perjuangkan ini tidak lekang daripada undangan persembahan setiap minggu," katanya ketika ditemui media selepas konsert Gemilang Tanah Permata – sebuah persembahan ghazal dan zapin Johor di Istana Budaya malam tadi.

Atasi gangguan anxiety

Penyanyi yang mempunyai mempunyai suara bak allahyarham Datuk Ahmad Jais itu juga bersyukur, genre tradisional dapat meneruskan kelangsungan kariernya hingga kini.

Buktinya, Haziq memiliki kelengkapan yang dapat menyenangkan kehidupannya.

“Alhamdulillah. Bukan saya ingin cakap besar, tetapi dengan karier sebegini, saya mampu memiliki rumah dan kereta.

“Itu bukti lagu tradisional boleh hidup sampai sekarang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Haziq juga mendakwa lagu yang dibawakannya sukar untuk menembusi corong radio swasta.

“RTM dan Radio Klasik ada mainkan lagu saya, tetapi kalau yang selain daripada itu, kirim salam saja,” katanya.

Kini Haziq ligat mengadakan persembahan di sekitar Johor Bahru, Pahang dan Kuala Lumpur.

Namun, persembahan di sini dan sana belum menjanjikan Haziq sebagai individu yang sempurna di atas pentas.

Setiap kali perlu bernyanyi, Haziq akui masih berusaha menangani kelemahannya apabila mendepani khalayak.

“Saya masih menggigil ketika hendak dan semasa lakukan persembahan.

“Ketika temubual ini sedang berlangsung juga saya masih menggigil.

“Penyakit kebimbangan ( anxiety ) saya memang perlu dikawal, tetapi ia tidak serius.

“Justeru, saya akan berbuat sesuatu seperti berborak atau menyanyi dengan kuat untuk mengalih perhatian,” katanya.

Lihat Komen
ADS