Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dadah: Tony Eusoff dihukum penjara 8 bulan
Diterbitkan:  Apr 21, 2016 12:25 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Mahkamah Singapura hari ini menjatuhi hukuman penjara lapan bulan ke atas pelakon Tony Eusoff kerana memiliki dadah terkawal kelas A mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah negara itu.

Pelakon Susuk dan Sepi itu ditahan pihak berkuasa Singapura pada 12 Mac lalu dan dihadapkan ke mahkamah pada 31 Mac.

Tony, 38, atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman dituduh memiliki satu peket seberat 4.56 gram mengandungi bahan terlarang dengan kesan ganja.

Dia didakwa memiliki dadah itu di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen Singapura di Tuas.

Turut hadir di mahkamah memberi sokongan moral kepada anak kelahiran Sarawak itu adalah penerbit filem Datuk Vinod Shekar dan beberapa artis termasuk Jehan Miskin.

Sementara itu semalam Tony sempat berterima kasih kepada peminat dan orang ramai yang mengingati hari lahirnya.

“Maaf kerana lewat membalas komen. Saya mahu mengucapkan terima kasih untuk semua atas ucapan selamat hari lahir yang diberikan.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada setiap individu yang memberikan kasih-sayang dan sokongan tidak berbelah bagi,” katanya di Facebook.

Menurut Tony, dia bagaikan tidak dapat mempercayai orang yang dekat di hatinya tidak segera menghakimi atas apa yang dilakukannya.

“Untuk mereka yang menghadapi 'ujian sendiri', kamu tidak bersendirian. Doa saya dan semua aura positif untuk kamu dan untuk semua.

“Kita hanyalah manusia yang kompleks, indah, (dan) pada masa sama kejam dan cantik.

“Kita juga tidak tentu arah tetapi mampu diselamatkan dan menjadi bersatu. Tiada apa selain cinta,” katanya.

Lihat Komen
ADS