Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Lelaki warga Malaysia yang ditemui mati dipercaya dibunuh di Ho Chi Minh pada 27 April lalu dikenal pasti sebagai vokalis kumpulan punk Svatantrata, Mohd Azhar Abdull Wahab.

Dia yang menetap di Kulim Kedah mengunjungi Vietnam bersama seorang rakan pada 12 April lalu.

Adik mangsa, Mohd Norazman, 31, berkata allahyarham dan rakannya pergi ke negara itu untuk melancong.

"Sepatutnya dia balik hari ini," katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Azhar, 33, bekerja sebagai pembantu kedai makan di Taman Selasih, Kulim dan menjadi vokalis kumpulan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Mayat Mohd Azhar ditemui pekerja hotel berkenaan pada 27 April.

Kata Mohd Norazman berita sedih itu diterima melalui panggilan pihak Kedutaan Malaysia di Ho Chi Minh.

“Perkara ini amat mengejutkan kami," katanya.

Difahamkan wakil keluarga tersebut akan ke Ho Chi Minh pada 4 Mei ini untuk urusan membawa balik jenazah Mohd Azhar.

Bagaimanapun difahamkan urusan itu memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

Sementara itu Bernama hari ini melaporkan pada 28 Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City telah dimaklumkan oleh Jabatan Hubungan Luar, Ho Chi Minh City berhubung kematian seorang lelaki warga Malaysia di Ho Chi Minh City.

Warga Malaysia tersebut – Mohd Azhar Abdull Wahab, 33 tahun – telah ditemui mati di dalam bilik hotel beliau di Ho Chi Minh City.

Punca kematian masih disiasat oleh pihak polis Ho Chi Minh City.

Sebaik sahaja dimaklumkan, pihak konsulat jeneral telah menghubungi keluarga allahyarham dan menyampaikan berita sedih tersebut.

Pegawai-pegawai Konsulat Jeneral sedang berhubung dengan keluarga allahyarham untuk memberi bantuan serta sokongan.

"Kementerian ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga alahyarham," kata kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS