Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aktres Filipina ketepi dua pemenang Oscar di Festival Filem Cannes
Diterbitkan:  May 24, 2016 12:38 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Orang pertama dicari Jaclyn Jose ketika namanya diumum sebagai aktres terbaik Festival Filem Cannes ialah anak perempuannya, Andi Eigenmann, yang duduk di belakangnya.

"Ia aksi spontan seorang ibu," kata Jaclyn.

Menurut pelakon Ma' Rosa itu, dia tida berniat untuk mengada-ngada atau bersandiwara, apa lagi 'menjual' anaknya kepada penerbit filem yang bertumpu di Cannes ketika itu.

"Saya cuma mahu berkongsi detik paling manis ini dengan anak saya," katanya.

Dalam filem itu Jaclyn, 52, membawa watak Rosa - seorang wanita miskin yang hidup bersama suami dan empat anak mereka.

Keluarga itu memiliki sebuah gerai di pinggir Manila. Untuk menambah pendapatan Rosa dan suaminya menjadi pengedar kecil-kecilan dadah.

Apabila ditahan, Rosa dan anak-anaknya menjadi terlalu terdesak dan rela melakukan apa saja untuk melepaskan diri daripada kekangan polis jahat.

Lakonan Jaclyn memang menarik perhatian panel juri, namun lebih istimewa ialah dia berjaya mengalahkan pelakon lain yang lebih terkenal.

Turut tersenarai sebagai calon aktres terbaik pada festival tahun ini ialah Charlize Theron (melalui filem arahan Sean Penn, The Last Face) dan Marion Cotillard (dalam filem Perancis, Mal de Pierres, arahan Nicole Garcia).

Anak beri kekuatan

Charlize adalah pemenang Oscar pada 2004 (filem Monster) manakala Marion mengungguli kategori aktres terbaik Anugerah Academy pada 2008 melalui filem La Vie en Rose.

Ketika berdiri untuk menerima anugerah itu Jaclyn menarik Andi, 25, bersamanya naik ke pentas. Alasan Jaclyn - dia mahu anak perempuannya itu memberi semangat kepadanya.

Di depan hadirin Jaclyn menggeletar. Hanya selepas dia menggenggam tangan Andi kekuatan untuknya datang semula.

Menurut Jaclyn tujuan dia berlakon dalam Ma' Rosa adalah untuk membolehkan Andi - juga seorang pelakon - menghadiri festival filem seperti di Cannes.

Dalam Ma' Rosa Andi berlakon bersama Jaclyn sebagai pasangan ibu - anak.

Ma' Rosa diarah oeh Brillante Mendoza. Lelaki itu pula bukanlah terlalu asing di Cannes.

Pada 2009 Mendoza diumum sebagai pengarah terbaik untuk edisi ke-62 festival berkenaan. Dia memenangi pengiktirafan berprestij itu melalui filem Kinatay.

Sementara itu Mendoza berkata Ma' Rosa dibuat berdasarkan kisah benar dan pengalaman peribadinya dengan salah satu watak utama filem berkenaan.

Kata pengarah yang terkenal gemar memaparkan sisi gelap masyarakat itu, ia berlaku kira-kira empat tahun lalu.

"Ia memang terjadi, sebab itu saya menceritakannya.

"Sebagai pengarah filem, anda perlu berkongsi pengalaman anda dengan orang lain supaya lebih ramai tahu apa yang berlaku di dunia ini.

"Ia akan mendorong anda berfikir bahawa kebejatan begitu tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Lihat Komen
ADS