Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Gillian Bond atau Jane Bond - Mengapa tidak?
Diterbitkan:  May 25, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Ketika teka-teki mengenai selebriti yang bakal membawa watak James Bond belum terjawab, Gillian Anderson dilihat cuba mengacah-acah pasaran dengan membayangkan peranan itu dipegang pelakon wanita.

Ia bermula dengan kemunculan sekeping poster Gillian dengan latar belakang imej ikonik filem Bond.

Bersama gambar itu ialah tweet Gillian: "Ia Bond, Jane Bond. Terima kasih untuk semua undi! (Dan maaf tidak tahu siapa yang menghasilkan poster ini tetapi saya menyukainya!)"

Turut mengiringi tweet itu adalah hashtag #NextBond.

Ungkapan itu adalah dialog identiti kepada mana-mana watak Bond sebelum ini, iaitu: "Nama saya Bond, James Bond."

Jika penerbit Bond benar-benar membuka tawaran kepada Gillian dan ia pula diterima pelakon utama siri televisyen X-Files itu, ia akan membuka lembaran baru kepada dunia filem.

Sejak diterbitkan sebagai filem kali pertama pada 1962, hanya pelakon lelaki diberi watak Bond.

Setakat ini sudah 24 filem Bond dihasilkan dan pelakon terpilih membawa watak polis istimewa itu ialah Sean Connery, George Lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan dan Daniel Craig.

Tindakan Gillian, 47, memuat naik tweet berkenaan segera mengundang reaksi peminat.

Watak fiksyen Bond sebagai ejen rahsia polis British dicipta wartawan dan penulis novel Ian Fleming pada 1952.

Spekulasi nama-nama yang mungkin menggantikan tempat Craig sebenarnya sudah lama bertebaran. Antara nama yang diuar-uarkan adalah Tom Hiddleston, Idris Elba dan Damian Lewis.

Sehingga tengah hari ini tweet Gillian itu digemari lebih 26,000 pengguna dan diulang tweet hingga lebih 13,000 kali.

Sementara itu sebahagianpengguna Twitter juga nampaknya tertarik dengan idea Bond sebagai seorang wanita.

Sejumlah tweet membayangkan keinginan mereka melihat watak polis British itu diberi pembaharuan dengan menampilkan hero dalam bentuk lain.

Minggu lalu media antarabangsa menyatakan Craig menolak tawaran £60 juta (RM360 juta). Bagaimanapun, beberapa laporan kemudian menyatakan Craig belum lagi memberi kata putus mengenai masa depannya sebagai Bond.

Namun, pada masa sama, Craig juga dipercayai mahu melepaskan watak itu setelah empat kali memainkan peranan sebagai ejen 007.

Lihat Komen
ADS