Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Brexit: Ramai artis mahu referendum kedua
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 5:05 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Orang kuat Radiohead, Thom Yorke, menyokong saranan supaya diadakan pungutan suara kedua bagi menentukan secara muktamar masa depan Britain bersama Kesatuan Eropah (EU).

Gesaan Yorke itu menyertai desakan ramai selebriti lain yang turut menyuarakan keinginan sama - supaya kerajaan mempertimbangkan kembali keputusan meninggalkan EU.

Ketika ini gerakan anti-Brexit semakin meluas dan petisyen mendesak diadakan perubahan peraturan pengundian sudah ditandatangani lebih sejuta orang sejak Jumaat lalu.

Ia mungkin membawa kepada pungutan suara kali kedua untuk Brexit - istilah merujuk kepada gerakan membawa Britain keluar dari EU.

Pungutan suara untuk menentukan sama ada Britain akan kekal sebagai anggota EU atau sebaliknya, diadakan pada 23 Jun lalu.

Dalam referendum dianggap antara paling hangat diadakan di Britain itu sebanyak 17,410,742 undi atau 51.89 peratus menyokong untuk meninggalkan EU, manakala 16,141,241 undi (48.11 peratus) mahu kekal.

Seramai 46,501,241 orang - atau 72.21 peratus pengundi berdaftar - keluar mengundi.

Jumlah undi rosak ialah sebanyak 25,359 atau 0.08 peratus.

Proses selama dua tahun 

Parlimen sedang mempertimbangkan petisyen awam itu untuk dibahaskan. Mengikut undang-undang sebarang petisyen yang mendapat 100,000 tandatangan atau lebih akan dikaji parlimen Britain.

Petisyen itu mahu sebarang referendum yang gagal mendapat sokongan 60 peratus undian - dengan jumlah pengundi kurang dari 70 peratus - kerajaan mesti mengadakannya sekali lagi.

Perdana Menteri British David Cameron sudah mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa Oktober ini ekoran keputusan referendum berkenaan.

Sebaik diwartakan Britain akan memulakan proses keluar dari EU dan ia dijangka mengambil masa selama dua tahun.

Sementara itu Menteri Pertama Scotland Nicola Sturgeon berkata negara berkenaan menganggap keputusan referendum itu "tidak dapat diterima secara demokratik".

Kata Nicola, semua 32 kawasan pengundian di Scotland menunjukkan majoriti pengundi memilih untuk kekal bersama EU.

Selain Yorke selebriti lain yang memilih untuk kekal bersama gabungan berkenaan ialah David Beckham dan isteri Victoria, Daniel Craig, Bob Geldof, Elton John, J K Rowling dan Idris Elba.

Selebriti menyokong langkah meninggalkan EU termasuk Michael Caine, Elizabeth Hurley dan bekas penjaga gol kebangsaan England, David James.

Keputusan undian itu juga mencetuskan jenaka bernada sindiran di kalangan masyarakat dunia.

Sesetengah pihak berpendapat kumpulan yang mahu keluar dari EU sebenarnya tidak mempunyai sebarang pelan jangka panjang untuk mentadbir negara berkenaan selepas ini.

Keputusan Brexit dijangka menyebabkan nilai mata wang pound merosot, selain memberi kesan kepada pelbagai sektor, termasuk sukan.

Lihat Komen
ADS