Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Daripada menganggur atau membuat aktiviti tidak berfaedah, apa salahnya orang ramai mencari pekerjaan - waima sebagai pengawal keselamatan sekolah - asalkan halal.

Itu pesanan cuba disampaikan kumpulan mempertaruhkan genre rock, Khalifah, untuk mendidik masyarakat menerusi lagu Hang Pi Mana.

Menurut vokalisnya, Yabang, pengawal keselamatan bukan pekerjaan hina dan kerjaya itu memang mampu menjana pendapatan.

“Ini sedikit pengertian mengenai lagu Hang Pi Mana.

“Jadi jaga (pengawal keselamatan) itu pekerjaan mulia. Jadi tiada sebab seseorang perlu berasa malu dengan usaha mencari rezeki sebagai jaga,” katanya.

Yabang ditemui pada majlis berbuka puasa Rusa Music dan MVM Production di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk makluman, selain sering disiarkan di stesen radio, klip video lagu Hang Pi Mana yang dimuat naik di YouTube setakat ini sudah mencecah hampir dua juta tontonan.

Kadar tontonan yang tinggi membuatkan anggota lain Khalifah - Harry (gitar), Moy (basis), dan Tony (dram) teruja tetapi pada masa sama terkejut dengan pencapaian yang diraih mereka.

Sejujurnya, kata Yabang, mereka langsung tidak menjangkakan video Hang Pi Mana akan meraih sambutan yang sangat menggalakkan.

“Pada telahan kami ia sekadar mendapat bilangan tontonan tidak lebih daripada video lagu yang dikeluarkan Khalifah sebelum ini,” katanya.

Selain berpesan jangan memilih kerjaya, lirik yang menggunakan dialek utara itu turut menggalakkan anak-anak supaya memberitahu kedua orang tua mereka sebelum menjalankan sebarang aktiviti di luar rumah.

Sendiri buat parodi

Sementara itu kata Yabang album mereka - memuatkan 10 lagu termasuk Hang Pi Mana dicipta bersama Yabang dan Harry - sudah siap 100 peratus siap dan dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri nanti.

Menjelang pelancaran album itu Khalifah menyertai trend semasa pengguna YouTube, iaitu membuat parodi sesebuah lagu yang menjadi hit.

Dengan menggunakan judul yang tidak jauh beza - Hang Pi Raya - Khalifah berharap lagu berkenaan turut mendapat tempat di hati peminatnya.

“Idea Hang Pi Raya timbul daripada pihak atasan, dalam cadangan, dia meminta kami menukar lirik itu untuk lagu raya.

“Sebenarnya pada ketika itu, langsung tidak terdetik di hati kami untuk membuat lagu raya kerana sedang menyiapkan album yang ada.

“Dalam hal ini, saya berasa tidak salah mengubah suai lirik asal kerana bertujuan untuk menghasilkan lagu raya, bukannya perkara bukan-bukan,” katanya.

Khalifah juga terkenal kerana mengetengahkan lagu yang mengandungi pelbagai dialek.

Sebelum ini, band yang ditubuhkan pada tahun 2007 itu pernah tampil dengan lagu yang menggunakan judul Mandarin seperti Ni Hao Ma dan lagu dalam versi Kelantan Saiba.

Daripada situ, Khalifah memasang harapan untuk mengetengahkan dan memperkasakan bahasa lain dalam lagu-lagu yang bakal dikeluarkan oleh kumpulan itu.

“Biarpun sudah pernah menghasilkan lagu begitu, Khalifah akan perbanyakkan lagi koleksi lagu dengan dialek, loghat atau bahasa yang lain untuk diangkat sebagai identiti kami.

“Kalau boleh nak hasilkan satu konsep folk rock dengan bahasa yang ada.

“Perancangan kami seterusnya selepas ini adalah untuk menghasilkan lagu dalam bahasa orang asli pula,” katanya.

Lihat Komen
ADS