Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aziz Singah meninggal dunia
Diterbitkan:  Jul 2, 2016 3:06 AM
Dikemaskini: 7:11 PM

Aktor berpengalaman Datuk Abdul Aziz Singah meninggal dunia di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor kira-kira dua jam selepas dibawa pulang dari Institut Kanser Negara malam tadi.

Ahli keluarga arwah dilaporkan berada di sisinya ketika beliau menghembus nafas terakhir.

NST Online melaporkan Abdul Aziz sebelum ini dirawat di pusat perubatan berkenaan - yang terletak di Putrajaya - namun dibenarkan pulang ekoran keadaannya yang tidak mengizinkan.

Memetik kenyataan isteri Abdul Aziz, Zunita Mohamed, aktor itu sendiri sebelum ini meminta dibawa pulang namun mereka bimbang kerana keadaannya tidak stabil.

Bagaimanapun kata Zunita pihak hospital kemudian membenarkan mereka membawanya pulang ekoran keadaan Abdul Aziz yang semakin serius.

"Alhamdulillah hajat terakhirnya tercapai," kata Zunita.

Abdul Aziz, 75, bermula sebagai pelakon teater dan drama televisyen dan pernah menjadi presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) pada 1999.

Pada 1980-an beliau membintangi drama televisyen PJ Holdings yang diinspirasikan daripada siri popular AS, Dallas.

Abdul Aziz berlakon bersama Fatimah Yassin, Azmil Mustafa, Datuk Yusof Haslam dan Melissa Saila dalam siri berkenaan.

Antara filem pernah dibintangi Abdul Aziz ialah Maria Mariana pada 1996.

Menurut Zunita jenazah Abdul Aziz akan dikebumikan di kampungnya di Kampung Bongek di Rembau Negeri Sembilan sebelum Zuhur hari ini.

"Salah satu wasiat dia ialah dikebumi di kampung kelahirannya," kata Zunita.

Abdul Aziz dilaporkan menghidap kanser prostat.

Lihat Komen
ADS