Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pada 4 Syawal lalu saya, isteri dan seorang teman mengambil keputusan untuk terus tabah dan istiqamah. Ya, kami berpendapat kami perlu beristiqamah hingga mencapai kemenangan.

Tapi kemenangan yang kami harap dapat dicapai bukanlah untuk mengibarkan bendera parti diasaskan tokoh silam seperti Abu Bakar al-Bakir, Dr Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain.

Pedulikanlah bendera itu nak berkibar di mana saja.

Kemenangan yang saya maksudkan adalah meraikan kemenangan menahan sabar dan bertabah menempuh kesesakan lalu lintas selama lapan jam di Lebuhraya Utara Selatan.

Pada waktu biasa perjalanan dari Perlis ke Teluk Intan mungkin mengambil masa satu pertiga daripada waktu berkenaan.

Seusai majlis tersebut kami mengambil keputusan untuk berehat dan bermalam di Ipoh.

Di rumah seorang seniman seni rupa dan kurator bebas kami berteduh.

Perbualan awal saya dan suami beliau pada mulanya hanyalah mengenai reaksi terhadap isu perobohan arca Puncak Purnama. Memang pada awalnya kami cuba elakkan daripada menyalahkan sesiapa terutama penggiat seni sendiri, atau lebih tepat, golongan seniman muda.

Tapi biasanya apabila ada angin, akan ada pula pokok yang bergoyang. Justeru kami cuba menjadi angin yang sesekali menyapa mesra pada pohon tersebut.

Kami berpendapat bahawa penggiat seni - terutama seniman muda - harus menekuni semula gerakan-gerakan era 1970-an dan pascareformasi apabila aktivisme pada waktu itu berjaya menjana idea yang seiring dengan kemelut sosial semasa.

Penggiat seni sebenarnya perlu menghasilkan karya yang tidak hanya terhad kepada ruang pameran di galeri, atau ditanda dengan pelekat merah serta harga ribuan ringgit.

Aktivis seni sepatutnya berkarya dengan suara, idea dan sikap yang kemudian dapat diterjemah kepada "aksi".

Menjadi seniman (muda) tidak seharusnya menjadi penganut mana-mana parti politik, malah ia bukanlah organisasi yang patut kita letakkan ketaatan.

Gerakan seni enterprise

Sesebuah parti politik hanyalah sebuah gerakan massa dan entiti sosial yang menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai dan terpulang kepada masyarakat untuk menerima atau menolaknya.

Perbincangan panjang kami agak kaku apabila secara tiba-tiba gagal menjawab mengenai kedudukan gerakan seni sekarang ini. Di manakah mereka dalam masyarakat?

Ketika rakyat sedang dilanyak dan diancam dengan pelbagai sepak terajang politik dan tekanan ekonomi serta sosial, di manakah sensitiviti seniman sebagai pengamat kehidupan?

Ketepikan seketika sejarah-sejarah seni dan peradaban serta falsafah-falsafah menyokong gagasan idea "seni bersama masyarakat" yang pernah muncul suatu masa dahulu.

Lupakan sejenak Ferdinand Victor Eugene Delacroix, Victor Marie Hugo, Theoborre dan Gerriwult, atau sesiapa saja yang seumpama mereka.

Kewarasan akal kini adalah lebih utama untuk mengangkat isu semasa dan sejagat. Namun, apakah gerakan yang ada sekarang memberi kesan kepada gerakan sosial dan masyarakat?

Saya pernah bertanya kepada seorang pelajar bidang penulisan Aswara: "Kamu kenal Sabihis Md Pandi?"

Lalu dia menjawab: "Tidak."

Saya bertanya lagi: "Kamu kenal Pangrok Sulap?"

"Ya, saya kenal," kata pelajar itu.

Kenapa orang lebih mengenali Pangrok Sulap daripada Sabihis Md Pandi? Di sini sedikit sebanyak kita dapat mengenal pasti, sehebat mana karya seseorang, ia tidak akan memberi kesan kepada masyarakat selagi seniman itu tidak bersama masyarakat.

Dan apabila seni itu menjadi sebuah gerakan "seni enterprise" - seperti kata guru saya - ia akan menghasilkan sebuah kelompok yang wajar kita persoalkan.

Saya yakin perjalanan seni rupa kita sedang tenat.


ARAFAT HAMBALI seorang bekas penuntut seni halus yang gemar memerhati perkembangan seni budaya dari tempat dia bermastautin di Perlis

Lihat Komen
ADS