Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Faizal, iAMFAITHMEN bawa misi kemanusiaan ke Aceh

Rasa sayu mengenang nasib mangsa tsunami membuat penyanyi Faizal Tahir bersetuju menerima lamaran sebuah syarikat untuk ke Acheh, Indonesia bagi satu program kembara amal.

Niat Faizal bukanlah untuk bersuka-suka, malah dia juga tidak ‘bersendirian’.

Kembaranya kali ini adalah untuk membawa misi iAMFAITHMEN dan program itu dijadual berlangsung September nanti.

“Selepas mendengar butiran lamaran syarikat berkenaan, saya akhirnya bersetuju membuat lawatan empat hari tiga malam bagi menjayakan program kemanusiaan.

“Seperti kita sedia maklum, Banda Acheh masih dalam proses pemulihan, justeru iAMFAITHMEN ke sana untuk membantu sebanyak mungkin golongan yang memerlukan,” katanya di majlis rumah terbuka Red Box di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis itu Red Box turut menyerahkan cek bernilai RM20,000 hasil kempen Help For Kids kepada pertubuhan iAMFAITHMEN yang dinaungi Faizal.

Kempen itu turut mendapat kerjasama Green Box.

Seramai 40 kanak-kanak dari Rumah Yayasan Chow Kit turut diraikan pada majlis berkenaan.

Kata Faizal, iAMFAITHMEN bukan sekadar pertubuhan membantu golongan memerlukan, sebaliknya ia juga berperanan menyatukan pertubuhan bukan kerajaan bagi kerja-kerja menghulurkan sumbangan bermanfaat.

“Sejak awal penubuhannya perjalanan yang dilalui tidaklah mudan namun alhamdulillah hingga kini saya dapat banyak respon positif daripada masyarakat.

“Saya berharap iAMFAITHMEN dapat menjadi perantara dalam program menghulurkan bantuan kepada golongan susah selain membangunkan sikap positif di kalangan masyarakat.

“Apabila masyarakat semakin ramai mengamalkan sikap positif, insya-Allah lebih ramai yang datang menghulurkan bantuan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Faizal bakal melancarkan single Dirgahayu - sebuah duet istimewa bersama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Lagu itu dicipta Faizal serta sentuhan tambahan Mike Chan dan Ezra Kong. Dirgahayu adalah hadiah buat peminat yang menantikan gabungan Faizal dan Siti dalam sebuah lagu.

“Saya teruja dengan kolaborasi seperti ini malah sudah lama terniat untuk melaksanakan kerjasama dengan Siti Nurhaliza. Alhamduillah hasrat itu tercapai akhirnya.

“Jika tiada halangan, Dirgahayu akan dilancarkan pada Ogos depan sebagai buah tangan daripada kami berdua kepada peminat yang sentiasa menyokong karier kami,” katanya.

Lihat Komen
ADS