Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
KARYAWAN, PERKASA sokong kaedah penilaian FFM28
Diterbitkan:  Aug 9, 2016 3:34 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyokong langkah penganjur Festival Filem Malaysia (FFM) mengasingkan karya mengikut bahasa yang digunakan.

Presidennya Datuk Datuk Freddie Fernandez berkata secara tradisi FFM adalah acara mengiktiraf filem menggunakan bahasa Malaysia.

Katanya antara objektif asal FFM ialah untuk memberi galakan kepada penggiat filem tempatan menerbitkan karya dalam bahasa Melayu yang bermutu dan mengharum serta membawa wajah negara jika dipertandingkan di festival antarabangsa.

"Mewartakan anugerah filem terbaik kepada filem berbahasa Malaysia merupakan langkah releven kerana ia akan terus memberi motivasi kepada penerbit filem tempatan menghasilkan filem lebih berkualiti dengan mengguna pakai bahasa ibunda.

"Ianya juga langkah lojik untuk terus memartabatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan penerus legasi semangat filem Melayu yang tertulis sejak era Jalan Ampas," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Freddie ia perlu dipelihara dan diteruskan dengan menghasilkan filem menggunakan bahasa Malaysia oleh generasi masa kini.

Namun katanya KARYAWAN tetap menyedari beberapa tahun kebelakangan ini ada filem dalam bahasa lain diterbitkan dengan kualiti yang tinggi serta mencapai kutipan membanggakan.

Dengan demikian katanya, KARYAWAN amat bersetuju dengan cadangan penganjur FFM membahagi dan menambah anugerah filem terbaik kepada dua kategori iaitu filem terbaik dalam bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia.

Menurut Freddie ia dianggap suatu penyelesaian terhadap isu yang timbul.

Dengan pembahagian itu, katanya, ia bukan saja memberi pengiktirafan kepada filem tempatan bukan dalam bahasa Malaysia, malah menambah jumlah filem yang akan memenangi anugerah.

Kecewa ada Melayu mahu sama rata

Ia juga katanya menentukan kesinambungan kepada legasi filem Melayu yang telah bermula sejak lebih 60 tahun lalu.

"Isu yang timbul ini boleh diatasi dengan mencari jalan tengah sebegini yang bakal memuaskan hati semua pihak dan tidak perlu dipolitikkan lagi," katanya.

Sementara itu Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) menyambut baik dan mengucapkan tahniah kepada Finas atas ketegasan mereka.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata ketegasan itu selaras dengan dengan perlembagaan negara yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Jika inilah asasnya keputusan pengasingan itu dibuat maka PERKASA berdiri teguh bersama Finas," katanya.

Ibrahim berkata semua pihak mesti mendaulat bahasa kebangsaan kerana ia adalah asas dalam perlembagaan negara.

Katanya, mengikut Fasal 151 dan 152 Perlembagaan Malaysia semua urusan rasmi wajib mengunakan bahasa kebangsaan.

"Malaysia mempunyai masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum dengan majoritinya Melayu, bersendikan warisan sejarah menyaksikan payung negara adalah Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu.

"Maka sepatutnya segala bentuk program, kegiatan dan apa jua urusan mesti berpaksikan perlembagaan dan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat juga wajib mempunyai identiti," katanya.

Menurut Ibrahim PERKASA kesal apabila ada Melayu yang bergiat dalam bidangń seni mahu menyamaratakan segalanya dalam soal saingan.

"Tetapi apabila kaum lain membolot hak mereka seperti waktu siaran atau slot di televisyen, mereka menjerit menuduh mereka dianaktirikan," katanya.

Lihat Komen
ADS