Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Karyawan: Jangan ambil kesempatan nama P Ramlee

Walau apa pun tujuannya, menggunakan nama mirip Allahyarham Tan Sri P Ramlee untuk mempromosi sesuatu perniagaan makanan bukan langkah yang tepat.

Apatah lagi, nama makanan itu pula mencetuskan kontroversi dan mengundang rasa kurang senang masyarakat.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez berkata perbuatan itu boleh ditafsirkan sebagai satu cubaan untuk mengambil kesempatan terhadap nama seniman agung negara itu.

“P Ramlee adalah ikon perfileman dan muzik tanahair, maka perbuatan sebegitu kurang sesuai selain sememangnya ia tidak wajar dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Media baru-baru ini melaporkan bantahan orang ramai terhadap jualan burger babi P Ramly oleh sebuah restoran yang mempunyai rangkaian di Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain nama yang mirip dengan seniman agung negara itu, terdapat juga pelanggan Islam mendakwa keliru dengan jenama burger Ramly keluaran syarikat Bumiputera yang berstatus halal.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dua jabatan agama negeri dilapor sedang menyiasat isu berkenaan.

Sementara itu, pengurusan restoran itu dilapor berkata akan terus menjual produk berkenaan tetapi akan menukar kepada nama lain.

Menurut Freddie, tindakan pengusaha restoran terbabit dianggap tidak menghormati pengorbanan yang pernah disumbangkan P Ramlee kepada negara.

Justeru, pihak berwajib diharap dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

“Saya berharap perkara sama tidak akan terjadi lagi kerana P Ramlee adalah nama yang cukup terkenal di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS