Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak ada yang mengejutkan apabila Donald Trump akhirnya dipilih majoriti rakyat AS menjadi presiden negara itu.

Pengarah Dain Said berkata ramai orang menyangka mereka memahami AS dengan baik, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa pun mengenai negara itu.

"Mengapa terkejut? Saya tak terkejut langsung," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui hari ini.

Ahli perniagaan dan bekas hos siri realiti televisyen - Trump - muncul sebagai pemenang dalam persaingan menduduki Rumah Putih mengalahkan bekas wanita pertama AS, Hillary Clinton, 69, hari ini.

Trump yang mewakili parti Republikan memperoleh 276 undi - lebih enam undi yang diperlukannya untuk muncul sebagai pemenang - dan meninggalkan Hillary (Demokrat) yang mendapat 218 undi.

Memetik laporan AP, kerusi terakhir yang dimenangi Trump ialah Winconsin yang memberinya 10 undi elektoral.

Republikan juga menguasai bersih kedua-dua dewan AS - iaitu Senat dan Kongres.

Dengan kemenangan itu, Trump, 70, menjadi presiden pertama Amerika yang bukan seorang ahli kongres atau senat.

Dilahirkan di bandaraya New York, Trump bukan personaliti yang asing bagi media seluruh dunia semenjak menerajui firma harta tanah terkemuka, The Trump Organization dan dikatakan bernilai AS$3.7 bilion (RM15.66 bilion) oleh Forbes dan AS$3 bilion (RM12.7 bilion) oleh Bloomberg pada tahun ini.

Hillary bukan tokoh yang asing di Rumah Putih kerana dia pernah berada di situ antara Januari 1993 hingga 20 Januari 2001. Bagaimanapun statusnya bukanlah sebagai presiden sebaliknya wanita pertama negara terbabit sempena kemenangan suaminya Bill Clinton sebagai presiden AS.

Pengarah Interchange dan Bunohan itu juga berkata, selepas sekian lama AS mengganggu negara lain di seluruh dunia, kini negara itu sendiri akan terganggu secara dalaman.

Bagaimanapun katanya ia juga membuka kemungkinan kepada perkembangan politik antarabangsa yang menarik.

"Dengan apa yang ada di China dan Russia, mari kita tengok apa akan jadi selepas ini," katanya.

Lihat Komen
ADS