Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Nam Ron tak perlu lagi sambar tawaran 'membabi buta'

Niat asalnya biasa saja. Tetapi selepas ditanya wartawan Nam Ron pun bercerita sedikit tentang kisah hidupnya kini iaitu berniaga pulut kuning.

Namun keadaan semasa yang menyaksikan rakyat perlu bergelut dengan ekonomi kurang memberangsangkan membuat kenyataan itu disalah tafsir.

Lebih teruk, ada pihak menyindir dan mencemuh seolah-olah golongan artis saja yang perlu berdepan kekangan pendapatan.

Justeru, Nam Ron pun menjelaskan keadaannya itu bagi menjernihkan kekeliruan orang ramai terhadapnya.

Kata pelakon utama Redha itu, idea berniaga pulut kuning sejak lama dulu sudah berlegar dalam kepalanya.

Namun atas faktor kesibukan dalam dunia seni, selain modal tidak mencukupi, Nom Ron pun menangguhkan rancangannya itu buat sementara waktu.

“Ini boleh dianggap sebagai satu permulaan dalam perniagaan, terutama kalau merancang untuk mendapatkan pinjaman bank.

“Mereka ingin lihat apa saya sudah lakukan dan perniagaan bukan bermula dari kosong kerana tak boleh memohon begitu saja. Maka saya mulakan dengan kecil-kecilan.

“Hajat di hati nak kembangkan perniagaan pulut kuning hingga ke peringkat restoran,” kata pemenang anugerah pelakon lelaki terbaik Anugerah Skrin 2016 itu kepada Malaysiakini.

Projek batal bertalu-talu

Pada masa sama, Nam Ron tidak dapat mengelakkan beberapa hal daripada terjadi.

Selepas memberi persetujuan untuk menjayakan dua projek filem dan sebuah teater, produksi tidak dapat meneruskannya atas faktor kewangan.

Dengan keadaan itu menurut Nam Ron dia tidak boleh berbuat apa-apa.

"Semasa memberi persetujuan, saya 'locked' tarikh sekian-sekian. Maknanya saya tak boleh terima tawaran daripada syarikat lain. Saya tak boleh ambil dua tiga kerja sekali gus.

"Apabila projek asal ditangguh atau tak jadi, maka saya tak ada apa-apa projek lain untuk dibuat dari April sampai sekarang. Jadi, isunya bukan saya tak ada tawaran, tetapi berlaku sesuatu yang di luar jangkaan. Projek yang batal tu macam bertalu-talu.

“Hal itu buat saya kecewa,” katanya.

Tak perlu sambar tawaran 'membabi buta'

Isteri Nam Ron, June Lojong pula berpendapat sekurang-kurangnya dengan pendapatan sampingan yang diusahakan, suaminya kini tidak lagi perlu ‘menyambar’ tawaran lakonan secara membabi buta semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Katanya, dengan menjual pulut kuning, Nam Ron dilihat kembali ceria.

“Dia merajuk agak lama apabila mula berniaga dia nampak gembira dan ingin teruskan rancangan nak membuka restoran dan bergiat aktif dalam seni semula.

“Ini adalah masa yang sesuai selepas bertahun-tahun hanya berangan, dia tidak mahu bergantung pada satu pendapatan,” katanya.

Berkongsi kisah pulut kuning, Nam Ron benar-benar tidak menyangka perniagaan diusahakan mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Permintaan melebihi tenaga kerja memaksa Nam Ron dan June terpaksa menggunakan tenaga bantuan daripada rakan-rakan.

“Kami mampu mengambil permintaan orang ramai hingga 100 bungkus sehari saja buat masa ini kerana untuk membuatnya memakan masa hingga 12 jam sehari ada kalanya.

“Selain rakan artis, pihak yang menempah termasuk syarikat awam untuk sambutan perayaan, majlis bersanding, hari lahir, khatam Quran dan akikah, alhamdulillah,” katanya.

Lihat Komen
ADS