Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Nama kumpulan Indie dari seberang, Payung Teduh tidak lagi asing dalam kalangan peminat muzik Indie Indonesia.

Bahkan, gabungan antara muzik keroncong, folk dan jazz yang dibawakan kumpulan berkenaan berjaya mencuri perhatian peminat muzik Malaysia khususnya golongan muda.

Siapa sangka, Payung Teduh turut mengangkat seniman negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai ikon, selain nama-nama besar penulis Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer dan Sapardi Joko Dharmono.

“Sapardi Joko Dharmono, Pramoedya Ananta Toer dan P Ramlee menjadi pahlawan saya.

"Tetapi kenapa saya memilih P Ramlee? Mungkin kerana nenek sering menyanyikan lagu-lagu allahyarham sejak kecil.

“Setiap keluh-kesah disampaikan melalui lirik, itu identiti kami. Malah kami beranggapan cara paling jujur untuk bercerita adalah menerusi lagu," kata Istiqamah atau lebih mesra disapa Is ketika ditemui di Damansara, Petaling Jaya semalam.

Payung Teduh kini berada di Malaysia bagi mengadakan konsert sulung mereka di Damansara pada 3 Disember dan Kuching, Sarawak sehari selepas itu. 

Selain Istiqamah, Payung Teduh turut dibarisi tiga lagi anggota iaitu Alejandro Saksakame (pemain dram), Comi Aziz Kariko (basis) dan Ivan Penwyn (Ukulele).

Bercakap kepada Malaysiakini, Istiqamah turut menyuarakan harapannya terhadap perkembangan muzik antara Indonesia dan Malaysia.

“Malaysia dan Indonesia perlu selalu saling menyokong antara satu sama lain. Ia boleh dipupuk apabila band dari Malaysia datang ke Indonesia dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Lagu yang 'teduh' dan mendamaikan

Biar hujan atau panas terik, lagu-lagu Payung Teduh ibarat namanya ia selalu 'teduh' dan mendamaikan.

Dalam sesi perkongsian bersama peminat pada Jumaat malam di Kota Damansara, Istiqamah berkata nama Payung Teduh diberikan oleh seorang sahabat di kampus Universiti Indonesia (UI), Jakarta.

"Kebetulan ada banyak payung-payung di kantin tempat kami sering bermain musik," katanya.

Payung Teduh bermula pada tahun 2007 sewaktu Istiqamah dan Comi aktif sebagai pemuzik dalam Kumpulan Teater Pagupon di UI - mencipta dan memainkan lagu yang melengkapi pementasan naskah teater.

"Saya belajar muzik dari semesta tapi saya belajar hidup dari teater.

"Saya bisa (boleh) masuk ke dunia apa pun dari teater. Akarnya Payung Teduh di situ," kata Is, pemuda kelahiran Makassar dan berdarah Bugis.

"Kami bermuzik untuk mengiringi cerita. Bukan sekadar tempelan," katanya yang mengaku sejak kecil sudah aktif di pentas teater dan seni tari.

Cinta kepada teater

Cinta kepada bidang teater turut memberikan inspirasi kepada Istiqamah dalam menulis lirik-lirik Payung Teduh, antaranya lagu Resah, yang memetik dialog antara sepasang kekasih yang saling merindui.

Payung Teduh mengeluarkan album pertama berjudul sama dengan nama kumpulan berkenaan pada 2010. Pada 2012 lahir album kedua diberi judul Dunia Batas.

Bagi Comi, rakan-rakan di kampus UI banyak mendorong mereka berdua untuk terus berkarya.

"Dengan lirik dari Is, ia berhasil dengan sempurna" katanya yang turut bertugas sebagai pensyarah jurusan Sastera Inggeris di UI.

"Kekuatan dari lirik Payung Teduh adalah bahasa kiasan dan banyak personafikasi, metafora...dan ternyata banyak orang merindukan ia dalam lagu," katanya lagi.

Setelah dua album penuh dan satu album re-mastered yang baru dilancarkan, Payung Teduh turut menjanjikan warna muzik lebih bervariasi dalam album ketiga yang dijangka menemui peminat tahun depan.

Istiqamah berkata, berbeza dengan album pertama dan kedua, mereka mahu mencuba sesuatu yang baru dalam album itu nanti, sekali gus keluar dari zon selesa.

 

Lihat Komen
ADS