Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Harith ke final pertandingan lawak antarabangsa
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 2:51 PM
Dikemaskini: Dec 8, 2016 10:14 AM

Pelawak dan pengacara Harith Iskander mara ke peringkat akhir pertandingan Funniest Person In The World selepas menyingkirkan 15 peserta lain pada peringkat separuh akhir pada Selasa.

Harith bakal berentap dengan empat pelawak dunia iaitu Alex Calleja dari Filipina, Mino Van Nassau (India), David Kilimnick (Israel) dan Katerina Vrana (Greece) pada Khamis ini di Levi, Finland.

Menerusi laman sosial Facebook dan Instagram, Harith memuatnaik video untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah menyokong dan mengundinya sehingga mara ke peringkat akhir.

"Akhirnya mara ke final! terima kasih, terima kasih!" tulisnya di Facebook.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Laugh Factory, satu rangkaian kelab-kelab komedi di Amerika Syarikat yang telah melahirkan beberapa nama besar termasuk Chris Rock, Dave Chappelle dan Jay Leno.

Pemenang hadiah utama akan memenangi AS $ 100,000 (RM416,000) manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah sebanyak RM41,000 dan RM20,000 setiap satu.

Seramai 20 peserta akhir juga akan menerima AS$ 1000 (RM4,100) setiap seorang.

Menurut Harith, dia akan memberikan maklumat terkini pertandingan itu menerusi kemaskini di media sosial dari masa ke semasa.

Lihat Komen
ADS