Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN Mungkin semua ternanti-nanti, selepas Bunohan, apa filem seterusnya? Penantian kita semua terjawab dengan bermulanya tayangnya Interchange di pawagam seluruh Malaysia, sebuah filem thriller fantasi karya Dain Said.

"Real cultural diversity results from the interchange of ideas, products, and influences, not from the insular development of a single national style." -- Tyler Cowen

Saya fikir kata-kata profesor ini amat kena dengan idea yang cuba disampaikan oleh pengarah. Adakah pengarah filem ini mendapat ilham daripada penulisan-penulisan beliau? Saya tidak pasti.


 

 

Banyak persamaan yang boleh didapati antara mesej filem ini dan penulisan daripada Tyler Cowen.

Tetapi saya pasti tajuk filem ini Interchange diguna pakai untuk mengambarkan konflik peralihan/pertukaran sosial budaya dan ekonomi daripada abad ke-20 kepada abad ke-21.

Cerita ini cuba mengangkat persoalan-persoalan yang besar seperti:

1. Apa makna kemajuan dan pembangunan?
2. Konflik antara konservatif (tradisional) dan liberal (moden).
3. Apa itu kesedaran?
4. Kemandirian/kelangsungan spesis.

Filem ini mengisahkan tentang Adam seorang jurugambar forensik yang berasal daripada Sabah yang mempunyai masalah halusinasi yang teruk. Beliau cuba membantu Detektif Man dalam menyelesaikan siri pembunuhan misteri.

'Alienation' Karl Marx

Dalam merungkai misteri ini beliau mula berkenalan dengan Iva, watak yang menjawab segala persoalan yang terjadi dalam halusinasi Adam.

Sepanjang cerita ini banyak persoalan yang tidak terjawab dan tidak diterima akal. Saya fikir ia sengaja dibiarkan tergantung untuk difikirkan penonton.

Namun yang menarik saya, berkaitan persekitaran masyarakat yang cuba disampaikan.

Pengarah tidak menyatakan secara secara jelas latar belakang tempat/kota pembunuhan ini. Namun jika berdasarkan kemajuan teknologi, infrastruktur, persekitaran sosial dan nama institusi polis iaitu Metropolis. Boleh kita katakan bahawa watak-watak hidup dalam persekitaran kota metropolitan.

Ada satu satu babak Adam menghabiskan masa rehat di kondominiumnya dengan mengambil gambar jiran-jiran melalui balkoni. Ketika Inspektor Man datang dan bertanya tentang kelakuan peliknya itu Adam menjawab:

"Sekurangnya mereka semua masih hidup."

Infrastruktur bangunan-bangunan pencakar langit merupakan penampakan fizikal yang paling jelas dalam arus modernisasi sebenarnya telah membunuh hubungan sosial manusia.

Karl Marx mengelarnya sebagai alienation. Secara mudah, kita tidak tahu dan tidak mahu tahu akan perihal persekitaran komuniti kita. Sebab itu apabila Adam mengambil gambar menunjukkan setiap rumah melakukan hal mereka sahaja.

Emile Durkheim dalam membincangkan tentang fenomena bunuh diri (1897) dan pembahagian kerja dalam masyarakat (1893) telah membahagikan masyarakat kepada dua iaitu, organik dan mekanis.

Tradisional dalam persekitaran moden

Masyarakat organik ini melambangkan struktur masyarakat moden. Pembahagian kerja yang kompleks setiap anggota komuniti (individualisme) mempunyai kemahiran tersendiri, menyebabkan tiada satu sifat kebersamaan untuk mengikat komuniti.

Masyarakat mekanis pula merupakan masyarakat tradisional yang mampu mandiri kerana setiap orang lebih kurang sama. Ini menyebabkan sifat komuniti dapat diatur dengan rapi.

Emile akhirnya merumuskan bahawa masyarakat mekanis mempunyai kadar membunuh diri yang lagi tinggi disebabkan oleh kekurangan integrasi sosial atau anomie.

 

 

 

Kita boleh lihat struktur masyarakat dalam arus modernisasi ini secara langsung telah memisahkan manusia berdasarkan kekayaan mereka. Yang miskin tinggal di rumah flat murah. Kelas menengah akan tinggal di apartmen dan kelas elit/kaya akan tinggal di kondominium.

Jika dahulu, dalam struktur masyarakat tradisional, perpisahan ini tidak berlaku secara jelas kerana penyusunan komuniti berdasarkan satu keluarga satu tanah, menyebabkan semangat penyatuan dan kebersamaan antara komuniti mudah dilakukan.

Melihat pada konflik ini, Interchange bijak dan berjaya menghidupkan watak-watak golongan tradisional 'terperangkap' roh/jiwa dalam persekitaran masyarakat moden.

Pada akhirnya masyarakat tradisional mengambil keputusan untuk membunuh diri atas kesedaran bahawa ini bukanlah komuniti mereka.

Ya, kesimpulannya kau perlu tengok sendiri bagaimana watak-watak tradisional dan moden ini hidup dan berkonflik pada waktu dan tempat yang sama!

(Filem ini bukan untuk mereka yang sedang tekanan dengan tugasan, putus cinta, peperiksaan atau kucing baru meninggal.)


JEFRY MUSA aktivis Serikat Mahasiswa.

Lihat Komen
ADS