Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Biarlah Tuhan saja hakimi saya, kata Sahara Yaacob

Selepas 15 tahun menyepi dari kilauan kamera dan lampu pentas, penyanyi veteran Sahara Yaacob kembali dengan imej klasik Tina Turner.

Namun, ia ternyata berbeza daripada ‘perubahan’ yang dilakukannya sebelum ini. Tanpa tudung, Sahara adalah penyanyi sama seperti beberapa dekad lalu.

Namun, baginya, dia tidak kisah dan membiarkan Tuhan menghakiminya.

“Ini adalah imej yang dibawa sejak dulu lagi, bagi diri sendiri ia dirasakan sama saja tiada perubahan. Saya tiada masalah.

“Langsung tidak kisah apa nak dikata orang, pada saya, mereka hanya manusia bukan Tuhan justeru tidak boleh menghakimi,” kata beliau kepada Malaysiakini.

Sahara, 60, ditemui pada malam acara Anugerah Melodi 2016 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi. Acara itu mempertandingkan 10 kategori bagi meraikan personaliti industri seni.

Untuk menyerikan persembahan malam tadi, Sahara yang dulu terkenal dengan imej seksi dan berani tampil memakai pakaian ala rock bercorak harimau bintang dengan solekan tebal berserta rambut palsu.

Bersama-sama Saleem Iklim dan Mus May, Sahara membuat kejutan di atas pentas dengan menyampaikan lagu Peronda Jaket Biru.

Sahara mendapat tepukan gemuruh dari para penonton yang terhibur seusai persembahan dan ia benar-benar mengharukan perasaannya.

“Saya terkejut masih ada rakan artis dan peminat yang mengingati. Cuma semasa buat persembahan tadi sedikit mengah, tetapi tenaga itu pasti akan kembali,” katanya.

Bidang seni suara sukar dilepaskan begitu saja. Justeru, Sahara beranggapan industri hiburan sudah lama sebati malah wanita yang pernah mendirikan rumahtangga sebanyak lima kali itu merancang meneruskan kembali kariernya sebagai menjana pendapatan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Sahara yang hidup penuh glamor tiba-tiba miskin, tinggal di sebuah bilik stor dan hidup atas ihsan saudara mara selain rakan-rakan.

Katanya, kini sudah sebulan sejak berpindah masuk ke rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi kehidupannya kian selesa.

Untuk itu, Sahara tidak mahu terbeban dengan perkara dirasakan tidak berfaedah buat dirinya khususnya mentaliti negatif dari pihak yang boleh melemahkan semangat.

“Saya akan teruskan menyanyi kerana ia minat selain mahu berdikari dan tidak mengharap bantuan saja.

“Maka terpulanglah kepada yang melihat kerana mereka bercakap guna akal sendiri. Tetapi kalau asyik berkata negatif bermakna individu itu ada masalah dalaman dan perlu perbaiki diri sendiri.

"Saya buat apa dirasakan perlu bagi menyesuaikan diri (pakaian) selain menjiwai persembahan dibuat dan apabila selesai, imej saya akan kembali seperti biasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS