Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Misha anggap sertai AJL lepas bersalin 'kerja gila'

Penyanyi Misha Omar menganggap penyertaannya dalam Anugerah Juara Lagu (AJL31) baru-baru ini selepas lima bulan melahirkan anak sebagai 'kerja gila'.

Namun penyanyi kelahiran Kelantan ini mengakui dia sebenarnya teringin mencabar keupayaan diri selepas bergelar seorang ibu, Ogos lalu.

“Saya sertai AJL 31 kerana ingin cabar diri sendiri kerana dulu masih bujang tapi sekarang sudah berkahwin dan ada anak.

“Memang tidak disangka-sangka apabila kira-kira lima bulan selepas melahirkan anak, saya mampu bersaing secara sengit di pentas AJL 31 dan ini memang kerja gila.

"Saya berbangga kerana masih mampu berikan saingan di atas pentas malah berpeluang berkolaborasi dengan penyanyi junior," katanya.

Misha ditemui selepas malam Anugerah Juara Lagu ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur kelmarin.

Misha dan pasangan duetnya Hafiz Suip berpuas hati di kedudukan Naib Juara menerusi lagu Terimaku Seadanya hasil ciptaan Ajai.

Manakala lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah dipilih sebagai juara AJL31.

Anak dilahir pramatang

Berkongsi mengenai kehidupan sekarang, Misha berkata tiada perkara lebih menggembirakan selain melihat berat badan anaknya Muhammad Idris Ezzwa yang dilahirkan pramatang kini beransur normal.

Untuk membesarkan Idris, Misha berkata dia terpaksa menempuh pelbagai cabaran khususnya dalam memastikan kesihatan cahaya mata sulungnya itu tidak merosot.

"Idris dilahirkan sangat kecil dengan berat 2.05 kilogram iaitu sebesar jag dua liter saja tapi kini beratnya meningkat 5.08 kilogram.

“Apabila diuji dengan bayi pramatang, saya perlu fokus pada anak hingga seratus peratus dan adakalanya memerlukan bantuan suami,” kata anak kelahiran Kelantan itu lagi.

Menurut penyanyi Bunga-bunga Cinta itu, kehadiran suami yang juga seorang juruterbang Firos Ezzwan Rossly sedikit sebanyak membantu meringankan tugasnya sebagai isteri.

Katanya, beliau bersyukur kerana memiliki suami yang begitu memahami dan sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya sebagai seorang artis.

“Kerjaya sebagai anak seni memang sukar, tetapi saya begitu bertuah dapat memiliki suami yang terus-menerus menjadi penyokong nombor satu karier saya,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS