Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sastera cuma tunggangan politik, suara peribadi lebur

ULASAN | Ada masanya rasa hebat. Ada ketikanya rasa mual, sedih, simpati!

Begitulah nasib dan perangai sesetengah sasterawan kita. Sesebuah sajak atau cerpen yang tersiar di akhbar mingguan atau majalah, boleh dibincang berhari-hari, malah berminggu-minggu. Sajak dan cerpen berkenaan disiarkan gambar keratannya di media sosial terutama Facebook sambil dengan megah berkata: "Terima kasih editor kerana siar tulisan saya hari ini."

Ayat lain yang sering ditulis di Facebook: “Hari ini ruangan puisi akhbar xxx siarkan sajak saya yang dicipta ketika pertemuan sasterawan di Pulau Pangkor. Keakraban pasir dan pantai mengilhamkan jiwa seni saya…”

Aduhai. Syahdu. Hampir menitis air liur membaca coretan teman di media sosial. Apa pun tulisan mereka akan ada reaksi positif. Tak ada yang kata tentang busuk dan hodohnya sesebuah karya yang tersiar, melainkan baik dan cantik belaka. Yang beri komen pun adalah rakan-rakan sendiri. Bukan orang lain.

Ada yang sanggup beli akhbar atau majalah lebih daripada senaskhah semata-mata untuk diberikan kepada rakan-rakan dengan harapan ada yang memuji. Mereka (baca: sasterawan) berasakan dunia ini hebat dan ramah kerana karya seni, sedangkan masyarakat tidak peduli pun pada nilai sesebuah sajak, cerpen, novel atau drama.

Lebih parah, bagi penguasa politik dan korporat, wang dan kuasa lebih penting. Sastera seperti juga cadangan rang undang-undang syariah yang dihebohkan, sekadar ulam petai. Ada pun tak apa. Tak ada pun tak apa. Orang politik dan kapitalis sudah sepakat untuk mempercayai kuasa dan pengaruh sahaja, bukannya seni dan sastera, apatah lagi syariah!

Persatuan penulis dinaungi orang politik

Ada ketikanya orang politik dan kapitalis boleh merantai dan mengikat sasterawan menjadi suruhan mereka. Ada ketikanya persatuan penulis yang kononnya himpunan nasionalis tulen menjadi budak suruhan melalui pelbagai penajaan yang akhirnya mengikat sasterawan untuk meluahkan apa yang sepatutnya diucapkan. Suara mereka lebur.

Amat malang apabila sasterawan menjadi mangsa keadaan dan berkarya mengikut fatwa yang diarahkan, sedangkan jiwa seni seseorang tentunya memberontak mengikut naluri dari hati kecil sendiri.

Minda dan akal mula terpesong disebabkan ancaman kuasa politik dan kapitalis. Persatuan penulis diresapi agenda siasah walaupun tiada jaminan orang politik akan memperjuangkan isu sastera dan bahasa di peringkat tertinggi.

Hari ini hampir semua persatuan penulis dinaungi oleh orang politik semata-mata kerana dana. Malahan, orang politik juga menjadi presiden dan jawatankuasa persatuan penulis dengan alasan mudah berurusan dengan pihak tertinggi. Kebanyakan penulis baru dan sasterawan kecil kurang meneliti hal ini.

Mereka tahu tulis di media sosial sahaja.

Bagi mereka, sastera cukup sekadar karya yang tersiar. Edaran masa seakan terhenti jika tidak dimuatkan di media sosial, sambil rakan-rakan akan mengulas secara spontan dan mungkin tak sempat berfikir; "Tahniah. Anda penulis hebat! " Yang lain pula menulis: "Terbaik. Bakal menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia! " atau “boleh belanja makan ke bro…”

Puluhan malahan ratusan rakan maya yang Like kononnya meraikan kejayaan menyiarkan karya untuk tatapan nusa dan bangsa. Perasaan penulis tentunya membuak-buak. Mereka sudah mencipta nama dalam senarai sasterawan Malaysia walaupun belum tentu hasil seni mendapat penilaian wajar daripada pemimpin negara.

Untuk makluman, sehingga kini tidak ada seorang pun penulis termasuk Sasterawan Negara dilantik sebagai panel pemikir dasar pembangunan nasional.

Kita sudah ada 13 Sasterawan Negara sejak tahun 1981 yang dianugerahi kepada Kamaludin Muhammad atau Keris Mas. Datuk Dr Zurinah Hassan penerima 2015.

Seramai 13 pemenang yang tentunya mempunyai pelbagai latar pengalaman kehidupan, kerjaya, pendidikan dan aliran pemikiran. Mustahil mereka terlalu dungu hingga menyebabkan fikiran mereka tidak boleh dimanfaatkan untuk rangka pembangunan nasional negara.

Ketepikan Datuk A Samad Said dan Datuk Shahnon Ahmad yang dianggap melawan arus. Namun bagaimana pula dengan Dr Muhammad Haji Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Ahmad Kamal Abdullah @ Kemala, Datuk Baharuddin Zainal @ Baha Zain dan Zurinah Hassan yang masih aktif dan kreatif. Bukankah mereka khazanah negara yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan nasional?

Janganlah kita terlalu mempolitikkan dasar negara sehingga semua dasar mesti dijayakan oleh orang politik dan sekutu kapitalis. Saya tak tahu sejauh mana peranan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dipergunakan dalam merancang dan melaksana dasar nasional.

Apakah kepakaran mereka setanding dengan pegawai kerajaan yang lain, atau pelantikan mereka kerana nawaitu siasah semata-mata? Adakah akal pegawai JASA lebih baik daripada sasterawan yang begitu ramai di negara kita sekarang? Adakah sasterawan tak layak dilantik sebagai pegawai JASA?

Keadaan parah sekarang

Apa yang berlaku di negara kita sekarang adalah perancangan dan pelaksanaan pelan pembangunan nasional dilaksanakan oleh orang politik sambil dibantu oleh pakar kapitalis yang berkepentingan. Dasar dan harta negara menjadi faraid orang politik dan ekonomi. Sistem nilai terancam dan bencana daripada polisi yang mengutamakan kebendaan semakin jelas sekarang.

Peranan ulama dan ilmuwan diketepikan, malah tak dipedulikan. Sasterawan hanya disebut pada majlis baca puisi dan anugerah sastera, namun hasilnya tidak ada apa-apa.

Pelan ekonomi dan dasar bahasa serta budaya juga jarang mengambil kira pandangan sasterawan. Malahan isu sensitif termasuk dwibahasa di sekolah pun tidak babitkan pandangan sasterawan.

Lebih malang apabila pegawai kanan Dewan Bahasa dan Pustaka yang sepatutnya memperjuangkan isu bahasa dan sastera, secara jujur mengakui menyokong pelaksanaan dasar dwibahasa di sekolah dengan alasan memartabatkan pendidikan negara.

Keadaan menjadi parah sekarang kerana sistem politik yang kita warisi adalah jelmaan sistem penjajahan barat yang meletakkan politik di atas segala-galanya dan sastera paling bawah dalam sistem sosial.

Lalu jadilah keadaan sasterawan dianggap untuk golongan khayal sehingga menyebabkan suara mereka tidak diperhatikan dalam pelan pembangunan nasional. Justeru, taraf Sasterawan Negara di mata orang ramai dianggap lebih rendah daripada juara Maharaja Lawak Mega yang bukan saja berpendapatan lumayan, bahkan lawak mereka lebih didengari daripada karya seni.

Keadaan ini amat memalukan. Ia jenayah minda yang lebih dahsyat daripada pembunuhan janda Mongolia di Malaysia. Ia lebih dramatik daripada serangan terhadap abang tiri pemimpin Korea Utara di negara kita.

Di sebuah pusat pengajian tinggi awam pula, ramai pensyarah yang memiliki doktor falsafah sastera rasa terancam. Ada yang mahu meninggalkan universiti berkenaan kerana serangan minda yang serius daripada profesor dan pentadbir. Sastera dan sasterawan dianggap tak penting. Subjek sastera dituduh tidak berdaya maju dan gagal menyumbang pembangunan minda. Paling malang apabila pensyarah ditekan dengan ungkapan sinis daripada pihak atasan.

Kewujudan profesor kangkung ini bagai mengabaikan kepentingan sastera sejak dahulu. Mereka jahil peranan sastera yang seganding dengan bidang sains dalam membina tamadun manusia. Tamadun bangsa besar di dunia bermula dengan sastera. Tamadun Romawi, Mesir, Tiongkok, India, malah tamadun Melayu sendiri dirakamkan dalam sastera. Sastera merakamkan pemikiran sesuatu bangsa dan memanusiakan manusia.

Selagi sastera dianggap tidak penting dan picisan masyarakat, selama itulah penyair dan cerpenis sekadar berbangga dengan karya yang tersiar tetapi tidak dinikmati oleh masyarakat. Lebih malang, sasterawan dianggap pariah: Mual. Jijik. Tak penting dalam pembangunan nasional. Cita-cita yang luhur kini lebur!


IMLAN ADABI atau Mazlan Ismail ialah sasterawan dan penulis sepenuh masa. Beliau pernah menjadi wartawan, kolumnis dan penulis editorial Berita Harian. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukan mewakili pandangan rasmi Malaysiakini

Lihat Komen
ADS