Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
KAYM ikrar penuhi permintaan pasaran animasi

Sebagai memenuhi permintaan industri animasi 3D negara, Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) menjadi antara pelopor yang menawarkan pengajian animasi dan berjaya melahirkan lebih 50 graduan dalam bidang itu setiap tahun bermula tahun 1998.

Dekan Sekolah Teknologi Media Seni KYAM, Sahban Md Smail berkata kolej milik kerajaan negeri Melaka itu sentiasa bersedia untuk membekal tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi permintaan industri animasi di negara ini.

"KAYM akan berusaha untuk menambah jumlah graduan bidang tersebut menerusi Diploma Teknologi Animasi bagi memenuhi permintaan pasaran kerja yang meningkat setiap tahun," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya menerima maklum balas daripada pihak industri bahawa mereka memerlukan lebih ramai tenaga kerja dalam industri animasi seperti juru animasi, pereka bentuk model karakter, artis papan cerita dan penyunting video.

Sahban berkata kelebihan pelajar lepasan Diploma Teknologi Animasi di KAYM berbanding dengan pelajar institusi pengajian tinggi lain adalah mereka didedahkan dengan kedua-dua disiplin animasi iaitu 3D dan juga 2D.

Katanya selain daripada itu juga bagi memastikan setiap pelajar bersedia untuk memasuki alam pekerjaan, pelajar tahun akhir diwajibkan menghasilkan sebuah filem animasi pendek sama ada dalam bentuk 3D ataupun 2D berdurasi tiga minit sebagai syarat bagi melengkapkan pengajian diploma mereka.

"Dengan pendekatan ini, pelajar kita (KAYM) mampu menguasai semua proses produksi bermula daripada peringkat idea hinggalah ke proses akhir iaitu mereka dikehendaki membuat persembahan dan pembentangan di festival diploma," katanya.

Sementara itu, seorang daripada bekas pelajar lepasan Diploma Teknologi Animasi KAYM, Ahmad Mazley Abdul Rahman, 28, yang kini berkerja sebagai pereka pemodel karakter berkata pendedahan ketika belajar di KAYM banyak membantu beliau apabila memasuki alam pekerjaan.

"Walaupun saya hanya belajar perkara asas ketika di KAYM, ia banyak membantu saya," katanya yang telah berkhidmat selama setahun di sebuah syarikat animasi terkemuka di Lembah Klang.

Ahmad Mazley yang berasal dari Selayang, Selangor berkata banyak lagi perkara baharu yang perlu dipelajarinya kerana dunia animasi berkembang dari semasa ke semasa.

"Bagi saya bidang animasi amat luas dan lepasan tidak boleh berhenti belajar kerana cabaran bidang ini (animasi) adalah besar dan sentiasa berkembang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS