Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak cukup untuk seorang penyanyi bergelar penghibur kalau hanya bergantung pada rupa paras semata-mata, penyanyi Indonesia Krisdayanti membuktikan dia berbeza.

Penyanyi Menghitung Hari itu membuktikan mempunyai bakat luar biasa apabila bukan semata-mata mampu menunjukkan kekuatan vokal pada melodi pelbagai malahan mampu membelai jiwa penonton.

Krisdayanti tidak mempersiakan julukan diva yang sinonim dengan dirinya itu ketika berlangsungnya Konsert Romansa Krisdayanti 2017 di Panggung Sari, Istana Budaya baru-baru ini.

Krisdayanti berkebolehan menguasai panggung secara keseluruhan apabila berkongsi lirik selain - turun dari pentas untuk - berinteraksi dengan penonton dalam jarak lebih dekat.

Krisdayanti seolah tidak sedikit pun kehabisan tenaga, wanita berusia 42 itu lincah beraksi di atas pentas dan menonjolkan sisi berbeza kemampuannya terutama menerusi segmen rock. Ibu beranak empat itu sebenarnya sudah terbiasa membesar dan mendengar genre itu sejak kecil.

Kebolehan Kridayanti membawa Bring Me to Life yang dipopularkan Evanescence terus menerus melalaikan penonton. Ia kemudian disusuli medley Fantasia Bulan Madu dan Suci Dalam Debu, Mengapa dan It’s My Life (Bon Jovi).

Namun, saat benar-benar mencuri tumpuan adalah apabila berlakunya duet spontan sewaktu Kridayanti menghampiri penyanyi Datuk Rossa yang juga rakannya semasa menyampaikan lagu Suci Dalam Debu.

Duet spontan dengan Rossa

Aksi Rossa menyanyikan Suci Dalam Debu (Iklim) selepas Krisdayanti menyerahkan mikrofon ternyata menggamatkan suasana panggung. Namun, kehadiran Rossa pada malam itu tidak lebih dari kapasitinya sebagai penonton.

“Istana Budaya bukan sahaja merupakan lokasi yang berprestij dan menjadi tempat impian saya untuk mengadakan persembahan selama ini.

“Konsert ini melakar sejarah buat karier seni saya yang julung kali diadakan malah ia berlangsung selama tiga malam berturut-turut,” katanya yang bijak berceloteh di atas pentas.

Malam itu turut memberi seribu erti buat Krisdayanti apabila persembahannya turut ditonton kakaknya, Yuni Shara, Mayang Sari dan Whulandary Herman yang pernah dinobatkan sebagai Puteri Indonesia 2013.

Kridayanti yang mengakui amat meminati allahyarhamah Puan Sri Saloma turut pandai bermain perasaan apabila mendendangkan dua buah lagu Kuala Lumpur dan Apa Guna Berjanji buat biduanita itu. Selain tampil mengenakan pakaian ala 60-an untuk segmen Tribute, set pentas turut berubah mengikut zaman itu.

Krisdayanti bertukar sebanyak lima busana berbeza sepanjang Konsert Romansa itu berlangsung.

Malam Romansa itu turut didedikasikan buat allahyarhum Datuk Sudirman Arsyad. Kekaguman terhadap penyanyi yang pernah digelar penghibur nombor 1 Asia itu membuatkan Krisdayanti tidak mampu menyembunyikan perasaan sebak semasa mendendangkan Hujan dan salam Terakhir.

Tak segan goyang pinggul

Penampilan Datuk Jamal Abdillah sebagai teman duet menerusi Hati Ini Telah Dilukai dalam segmen Keanggunan melengkapkan suasana.

Cuma jurang vokal antara kedua-dua penyanyi dikhuatiri tidak seimbang dan melahirkan ketidakserasian bersama.

Untuk malam seterusnya, Konsert Romansa dibarisi oleh penampilan artis seperti Ning Baizura dan Saleem.

Konsert berskala besar berdurasi tiga jam itu dikemudi oleh Aubrey Suwito yang bertindak selaku pengarah muzik.

Pendek kata, Krisdayanti banyak menitikberatkan aspek teknikal dengan baik termasuk dari segi bunyi dan penataan cahaya. Malah masa digunakan untuk menukar baju juga tidak diambil terlalu lama.

Sebanyak 26 buah lagu disampaikan oleh Krisdayanti menerusi lima segmen kesemuanya malah pada penghujung konsert, Krisdayanti dilihat tidak segan silu untuk menggoyangkan pinggulnya menerusi lagu dangdut Goyang Dumang (Cita Citata) dan Penasaran bagi segmen Kehebatan.

“Saya ingin peminat terhibur dan berasa berbaloi mengeluarkan wang untuk membayar tiket oleh itu saya perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Lihat Komen
ADS