Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Peguam saran undang-undang penapisan filem diubah

Undang-undang penapisan filem di negara ini harus diubah agar sesuai dengan peredaran zaman, kata peguam Shahredzan Johan.

Shahredzan yang sering memberikan pandangan berhubung isu-isu perlembagaan berkata, undang-undang penapisan filem juga dilihat tidak praktikal dalam arus teknologi yang semakin pesat.

"Walau ditapis, undang-undang berkenaan dilihat tidak mendatangkan faedah apabila teknologi jauh lebih mendahului.

"Tindakan menapis sesuatu babak atau mengharamkan sesebuah filem dilihat tidak memberi manfaat kerana walau usaha itu dilakukan, kita masih boleh menonton di atas talian,"

"Justeru, kita kena ubah undang-undang sedia ada kerana ia sudah ketinggalan zaman,” katanya ketika ditemui pada forum Masa Depan Filem dan Penapisan di Malaysia di Petaling Jaya, semalam.

Forum anjuran Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) itu menampilkan bekas ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman, Penerbit dan Pengasas Red Communications dan Red Film, Lina Tan dan pengarah filem Indie, Tan Chui Mui.

Forum yang dimudahcara oleh Pengarah Eksekutif Freedom Film Network, Anna Har itu bertujuan membincangkan sama ada undang-undang penapisan sedia ada menyekat kebebasan bersuara dan kreativiti filem di Malaysia.

Perbincangan turut menyentuh kes Pengurus Program Pusat Komas, Lena Hendry yang dihukum penjara selepas didapati bersalah menayangkan dokumentari mengenai perang saudara di Sri Lanka bertajuk "No Fire Zone, Killing Fields of Sri Lanka" empat tahun lalu.

Menurut Shahredzan, meskipun seseorang mempunyai hak mengamalkan kebebasan, namun ia bukan bersifat mutlak dan undang-undang penapisan masih diperlukan bagi tujuan tertentu.

Bagaimanapun katanya, adalah tidak wajar sekiranya penapisan dibuat berdasarkan pertimbangan moral semata-mata.

"Perlu ada alasan spesifik mengapa filem itu ditapis seperti demi menjaga ketenteraman awam atau keselamatan negara.

"Sekatan diberi bukan dengan menggunakan alasan kerana wanita itu berkemban atau tidak boleh pegang anjing ketika azan berkumandang.

“Sebenarnya saya tidak bersetuju jika sesuatu karya itu diharamkan atau ditapis, tetapi adalah lebih baik sekiranya diberi klasifikasi,” katanya.

Pada masa sama, Sharedzan turut menggalakkan agar pengeluar filem bertegas untuk mempertahankan hak ke atas karya yang telah dihasilkan.

Malah, mereka tidak sepatutnya menyekat kreatiti mereka dengan akur kepada pihak yang diberi kuasa untuk mengawal sesuatu karya sebelum dipertontonkan kepada umum.

“Tidak perlu tunduk di bawah cengkaman mana-mana ahli politik kerana ia adalah menjadi hak kita untuk menentukan apa yang kita boleh lakukan.

"Jika kamu tidak boleh amalkan hak kamu dan perlu ada pihak yang memutuskan hal berkenaan, maka itu bukan kebebasan,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS