Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Hei! Riuh rendah gegak gempita.
Inilah hamba nak mula cerita.

(Lagu pembukaan Awang Batil)

Ramli Mahmud atau lebih mesra dengan panggilan Bang Li orang yang cukup sederhana. Seperti orang biasa di kampung di Perlis, pesawah 61 tahun itu hanya berkain pelekat dan berbaju kemeja T ketika ditemui.

Sambil menggentel rokok daun di bibir, beliau sering membuat lawak – dengan longhat utara yang tebal – sehingga pendengarnya ketawa tidak kering gusi.

Tetapi itu bukan suasana ketika Awang Batil dipersembahkan. Ia sebaliknya watak biasa Bang Li, yang sekali gus menggambarkan bakat semula jadi penglipur lara yang terakhir di Perlis itu.

Seni ratusan tahun itu adalah persembahan cerita-cerita rakyat berkisar kehidupan sedih dan lucu watak “Awang Batil”, atau dalam bahasa Bang Li sendiri dirujuk sebagai “hei”, sempena seruan pertama untuk ceritanya.

Ia digandingkan dengan permainan topeng, batil, serunai, biola dan rebana. Dua alat muzik terakhir ini ditambah oleh Bang Li dan tidak digunakan dalam persembahan-persembahan sebelum ini.

“Kita cerita dulu, kalau bosan berhenti (main) selagu,” kata Ramli ketika diwawancara Malaysiakini di rumahnya di Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis.

Walaupun digambarkan terasing, 'klasik' dan 'kesunyian' sebagai Awang Batil terakhir, suasana wawancara hari itu berbeza sama sekali apabila beliau turut menerima kunjungan pemuzik indie eksperimental Perlis, Moi Last Von, aktivis punk Lang Rahman dan penulis muda Arafat Hambali.

Walaupun agak ragu-ragu pada idea pembaharuan persembahan Awang Batil, seperti pernah dicadangkan beberapa ahli akademik padanya, Ramli bagaimanapun agak terbuka dengan idea menggabungjalinkannya dengan genre moden yang berakar pada muzik barat.

Beliau malah sudah menyiapkan rakaman “hei” untuk digabungkan bersama muzik Moi Last Von yang menggunakan alat muzik Barat – gitar karan, deram dan keyboard.

Tetapi untuk persembahan solonya, Bang Li lebih selesa dengan cara lama.

“Adalah (seorang) profesor suruh buat cerita lain, macam cerita kanak-kanak. Tapi kalau orang tanya main apa, kita nak jawab apa?” katanya.

Malah, sejak lima lapis Awang Batil dalam jalurnya, hanya dua pembaharuan pernah berlaku, iaitu penukaran nama daripada Awang Belanga, dan penambahan alat muzik biola dan rebana.

Jasa Rejab FI

Beliau pernah berduet bersama seorang lagi anak muridnya tetapi menurutnya “jadi kurang sikit”, terutamanya dalam bab 'hei' yang menurutnya paling susah.

“Tak ada lagi yang mantap macam Bang Li betul-betul,” katanya.

Ramli bagaimanapun berkata masih terdapat pihak yang berminat mempelajari seni itu. Beliau setakat ini sudah mengenal pasti dua orang yang berpotensi menggantikannya.

Anak-anaknya sendiri setakat ini tidak berminat untuk mempelajari seni itu. Itu boleh dilihat jelas di halaman rumahnya sendiri yang penuh dengan motosikal rosak apabila seorang anaknya kini memilih menjadi pomen.

Beliau juga membetulkan tanggapan awam bahawa Awang Batil hanya akan diwariskan daripada bapa kepada anak.

Karanya, beliau memang mewarisi seni itu daripada bapanya, tetapi bapanya tidak pula mempelajarinya daripada datuknya.

“Bukan keturunan, tapi kena ada seni,” katanya.

Ramli mula menjadi Awang Batil agak lewat, iaitu pada 1997, ketika umurnya bukan lagi muda – 41 tahun.

Ia hanya berlaku 23 tahun selepas bapanya Mahmud Wahid menamakannya beliau sebagai pewaris dalam persembahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Beliau ketika itu cuma berumur 14 tahun, tetapi sudah boleh bermain walaupun menurutnya “kurang mantap”.

“Boleh dah tetapi segan (malu) nak main, (kualiti persembahan) macam budak-budak berjalan rebah,” imbasnya.

Menurut cerita Bang Li, beliau memang keberatan untuk bermain batil pada mulanya, memandangkan sambutannya juga tidak semeriah pada zaman sebelum ini.

Beliau bagaimanapun memberi kredit sebagai penulis terkenal kelahiran Perlis, Rejab FI, dan aktivis kebudayaan yang berjaya memujuknya.

Bang Li ketika itu memberi pelbagai alasan, antaranya: alat muzik dan topeng sudah tiada kerana diambil oleh pihak muzium Perlis.

“Bang Li kata (pada Rejab), kalau boleh ambil (di muzium), boleh (main). Dia ambil boleh,” katanya disambut gelak ketawa sekumpulan anak muda di rumahnya.

“Dia kata boleh main 10 minit pun tak apa, depa bagi RM600. Bang Li kata, mencangkul padang (bendang) pun tak boleh RM600. Sepagi mencangkul pun tak boleh (dapat sebanyak itu),” katanya.

Sejak menjadi Awang Batil, Ramli kini sudah diundang bermain di pelbagai tempat termasuk luar negara, seperti Jerman, Jepun dan Brazil.

Anak gajah putih

Semua itu menjadi kenyataan dengan penajaan syarikat korporat, seperti Petronas yang pernah menajanya untuk persembahan di Tokyo.

Kini, di usia emasnya, Ramli diiktiraf sebagai “Orang Warisan” oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengaku terkesan jika seni itu benar-benar pupus.

“Sayanglah juga, pasal tak ada dah,” katanya.

Berdasarkan mitos, seperti diceritakan Ramli, Awang Batil ini berasal daripada kisah “Awang” yang dibenci masyarakat kerana lahir tanpa bapa.

Ibu Awang, Mek Siti Galing, mengandungkannya setelah terminum air daripada lopak bekas kaki seekor gajah putih jadi-jadian.

Dipulaukan masyarakat, Awang dibawa oleh gajah itu ke dalam gua untuk belajar bermain batil. Hasil kemahiran diperoleh itu beliau menghiburkan orang ramai sehingga diterima kembali oleh masyarakat.

Di hujung wawancara, Ramli mengajak anak-anak muda yang berkunjung ke rumahnya bermain “hei”.

“Bang Li pukul batil, adik hei,” katanya, yang kemudian menyaksikan seorang demi seorang beransur pulang.

Lihat Komen
ADS