Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG “Hello, where are you from?”

“Hello, I’m from Malaysia.”

“Malaysia? Where is it?”

“Do you know Singapore?

“Hmm..nope?”

“Or Bangkok?”

“Nooooo...”

“Oh...Malaysia is in the middle of it.”

Aku memerhati kiri dan kanan. Hujan turun semakin lebat. Asalnya tadi aku masuk ke bawah atap kedai ini untuk berteduh dari hujan.

Aku teringat semasa di hostel, ada yang menceritakan yang bandar ini mahu bersaing dengan Amsterdam, semua orang pakai basikal. Masing-masing tunggang basikal laju-laju. Malangnya kereta masih banyak.

“What are you doing here in winter? Its hot in Malaysia right?”

Aku meniupkan haba dari mulut ke tanganku. 0 darjah Celcius pagi ini di Copenhagen. Aku buat-buat pegang bungkusan marijuana yang tersedia untuk dijual di hadapanku.

Orang Melayu tak minum arak. Jadi tak mabuk piang. Logiknya orang Melayulah golongan paling sedikit berada di penjara disebabkan kes dadah.

Melayu sepatutnya jadi bangsa paling maju sebab dari siang ke pagi kepala sihat. Tapi itulah, kitalah paling ramai dalam pusat serenti.

“What language do you speak there?”

“We...speak Malay language.”

Aku memerhatikan mukanya dalam-dalam. Macam ada yang tak kena.

Orang Pulau Pinang

“Oh...” sambungnya sambil memuncungkan bibirnya. Di belakang kelihatan seorang lelaki berbadan besar, sama keturunan dengannya. Mungkin India, kerana dari dekat aku mendengar muzik perlahan. Mungkin dari radio kecil. Aku cuba menangkap bunyi lagu tersebut.

“And you know, there’s a lot of Indian people as well,” Aku cuba-cuba menjawab setelah meneka – lagu Hindi atau Tamil yang terpasang di balik perbualan kami itu.

“Indian? Or is it Tamil? Where do they came from?”

“Hmm, British brought them during the occupation in early 1900,” perlahan, aku sambung lagi memancingnya.

“Oh. saya pun tahu cakap Melayu lah. Saya orang Penang, lahir Alor Setar!”

OK, sudah terkena. Aku menjerit dalam hati. Haram betul.

“Aik, alamak. Malulah saya, makcik kenakan saya.”

“Selalu saya buat macam itu, sebab itu saya tanya mai daripada mana. Saya setahun dua kali balik Malaysia. Lagi dua minggu saya akan balik ke Penang.”

“Oh yakah, sudah berapa lama di Denmark ?”, soalku sambil memegang satu bungkus marijuana. Titis hujan tak menunjukkan tanda untuk berhenti.

“Saya 30 tahun dah. Suami saya orang Danish. Tapi itulah, saya tak boleh balik lama-lama, pasport saya sekarang pasport Denmark. Malaysia tak bagi dua kerakyatan. Apalah Malaysia, tengok orang lain semua ada dua pasport,”

“Oh macam tu.”

“Malaysia ni, hisap tak boleh, tapi minum boleh. Apalah, terbalik. Patutnya minum tak boleh. Alkohol bahaya, marijuana apalah sangat.”

Sambil ketawa, aku masih dalam keadaan bingung sebenarnya. Macam mana aku boleh berbual dengan makcik ni dalam bahasa Melayu? Dalam kawasan Christiana pula tu.

“Lepas tu sekarang Kuala Lumpur dah jadi macam apa. Tu KL Sentral tu apa dia? Buat apa depa buat sampai jadi lagu tu?”

“Nak buat macam mana, nak moden...”

“Moden pun, penuh dengan Bangladesh. Pi hotel, pi pasaraya, pi kedai mamak, pi stesen petrol, semua Bangladesh. Awat jadi lagu tu?”

Aku ketawa sambil menggelengkan kepala tanda menyetujuinya.

“Lepas tu pakaian, amboi. Tahun 80-an dulu, hang Cina ka, hang India ka, masuk ofis kena pakai baju kurung.

"La ni, Melayu pakai singlet, pakai jeans. Pakai jeans, pakai tudung. Pelik sungguh lah Malaysia sekarang ni.”

Aku ketawa lagi. Aku sebenarnya mahu ambil gambar dengan makcik ini, tapi malangnya kawasan ini tak dibenarkan ambil gambar. Makcik ini pula kerja jual marijuana.

Tidak dibenar rakam gambar

“Sat lagi, orang Malaysia semua jadi pemalas. Semua kerja orang Bangladesh, orang Nepal, orang Sri Lanka buat, orang Malaysia nak buat apa?”

“Hmm, depa jadi bos makcik,”

“Kalau boleh jadi bos..kalau tak, apa pun tak jadi,”

“Haha..makcik nama apa?”

“Saya Ratha,”

Aku teringatkan dua hari lalu. Enam jam dari Hamburg, tukar kereta api di Flensburg. Satu kerja menulis pun tak dapat buat sebab kepala mabuk teruk.

Nasib baik ada buku Edward Said tentang kaum intelektual. Turun kereta api berkejar cari croissant sebab lapar, makan sambil tunggu bas 66 bawa ke Griffenfeldsgade.

Orang pula bukan ramai mahu naik bas, separuh kena tinggal. Naik bas percuma sebab drebar kelam kabut orang ramai sangat, gua pula dengan beg galas besar gedabak.

Sebaik sampai di Griffenfeldsgade jam 10 malam, hujan masih turun. Suhu 5 darjah Celcius.

Cukup tiga kali aku sesat masuk lorong, barulah berjumpa Kapelvej 44 untuk ke hostel Sleep In Heaven.

“OK lah makcik Ratha, terima kasih berbual dengan saya. Hujan sudah mahu berhenti, saya kena gerak.”

“Ya ya..hati-hati. Ingat, hisap tak boleh, minum boleh, itulah Malaysia,”

“Haha, jumpa lagi makcik,” aku berlalu pergi sambil melihat papan tanda "No Photos" dan Green Light District di hadapan. Selepas melalui lopak air dalam hujan rintik, di hujung jalan aku temui tong besar berasap yang dinyalakan warga Christiana untuk orang ramai memanaskan badan.

Aku bergerak menuju ke arah tong pembekal haba itu sambil mulutku masih tidak berhenti senyum.

“Makcik Ratha...,” aku berzikir dalam hati.


ZF ZAMIR penulis buku popular ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang'.

Tulisan ini adalah sedutan dari buku 'Berlari dari Jogja untuk menemukan si dia di Christiana', karya keempat beliau yang diterbitkan Thukul Cetak.

Pesanan

Alamat: Thukul Cetak, GARAJ, 9-1A, Jln 15/1A, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi (Waze Garaj Thukul)

WhatsApp/SMS: +601114719583 (Fakhrul)

Media sosial Thukul Cetak: Facebook / Twitter / Instagram

Lihat Komen
ADS