Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Paris berbahaya? AS lebih banyak kes bunuh
Diterbitkan:  Dec 23, 2015 1:50 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

DESTINASI Siri serangan yang berlaku di kota Paris pada bulan lalu menyebabkan industri pelancongan di Perancis merudum, lapor media antarabangsa.

Ruangan forum di medan maya juga dipenuhi pelbagai keluhan dari golongan yang membatalkan tempahan kerana bimbang serangan akan berulang.

Kadar tempahan bilik hotel di Paris menjunam selepas serangan tersebut, menurut Paris Tourist Office. Harga saham syarikat penerbangan juga merosot.

Keadaan ini tidak boleh dibiar berlarutan, kata para pemerhati industri pelancongan. Antaranya, Melissa Singer, timbalan pengarah berita di akhbar Australia, The Age .

“Perancis, dan seluruh dunia memerlukan pelancongan untuk menghadapi kekejaman seperti ini,” kata Singer.

Ibu bapanya mahu melawat anggota keluarga di Paris, Israel dan London namun bimbang tidak dapat berbuat demikian.

Tiada jodoh

“Ibu saya menunggu hampir 60 tahun untuk melihat Paris buat kali pertama,” kata Singer. Ibunya yang beragama Yahudi hanya mampu berserah pada takdir – “Mungkin tiada jodoh untuk ke Paris”.

Selepas serangan itu, kerajaan Australia menasihati rakyatnya supaya tidak membuat perjalanan ke Paris sekiranya tidak perlu. Jabatan pendidikannya mengkaji semula semua perjalanan ke Paris sehingga akhir tahun ini.

Nasihat tersebut memberi impak yang besar pada Paris. Dalam tempoh satu tahun sehingga Mac tahun ini, warga Australia membuat 104,000 perjalanan ke Perancis.

Singer seterusnya merayu. Para pelancong perlu dinasihati agar terus melawat Paris. “Paris perlukan dunia, dan dunia perlukan Paris, lebih-lebih lagi pada waktu ini,” katanya.

Begitu juga pandangan oleh penulis di laman kembara Matador Network , Mattt Hershberger. Walaupun diserang, Paris merupakan kota yang selamat untuk dikunjungi, katanya.

Jika pelancong tidak mahu mengunjungi kota yang diserang, itu bermakna mereka tunduk kepada kehendak pengganas, katanya.

“Apa salahnya melawat tempat berbahaya? Kita tidak sepatutnya hanya melihat tempat yang selamat di dunia,” tegas Hershberger.

Namun tindakan itu tidak bermakna pengembara harus bersikap cuai dan mengambil risiko yang tidak sepatutnya, kata Hershberger.

Negara mana lebih berbahaya?

“Jika (kerajaan) mengeluarkan nasihat kepada pengembara mengenai negara yang ingin dilawati, sekurang-kurangnya kita patut mengambil kira dan mendidik diri kita mengenai negara (tersebut),” katanya.

Namun, bagi dirinya sendiri, Hershberger berkata beliau menempuh pengalaman paling bermakna di tempat yang dikatakan “tidak selamat”.

Beliau seterusnya membandingkan perangkaan yang sering dijadikan petunjuk untuk menilai tahap keselamatan di sesebuah negara.

Data yang diterbitkan oleh United Nations Office on Drugs and Crime itu memeranjatkan.

“Kadar pembunuhan di kebanyakan negara Timur Tengah dan Utara Afrika sama banyak atau lebih rendah daripada kadar pembunuhan di Amerika Syarikat. Begitu juga di India, Indonesia dan China.

“Berdasarkan sukatan ini, lebih selamat jika mengunjungi Algeria atau Arab Saudi berbanding mengunjungi Perancis,” kata Hershberger lagi.

Sebagai contoh, Hershberger membandingkan India (3.5 pembunuhan/100,000 orang) dengan Amerika Syarikat (3.8 pembunuhan/100,000 orang).

Map of world by intentional homicide rate.svg

" Map of world by intentional homicide rate " by Nikko2013 . See User talk:Nikko2013 . - UNODC data using File:BlankMap-World6.svg . Licensed under CC BY-SA 3.0 via Commons .

Katanya, pengembaraan ke tempat-tempat yang dianggap berbahaya juga akan meningkatkan naluri manusiawi pengembara tersebut.

“Jika anda pernah melawat Syria, jika anda pernah merasa makanan, menikmati budaya dan bercakap dengan warganya, anda lebih cenderung untuk membantu jika berlaku masalah,” katanya.

Lihat Komen
ADS