Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya membaca artikel Mustaqim Abdul Rahman, ' Melayu lupa diri dan pengkhianat bangsa ' ( Mykmu.net , 7 Disember) dengan rasa sedih sekali. Sedih bukan kerana rasa diri dicaci dan dicemuh, tetapi sedih kerana penulisnya telah buta hati.

Hujahnya bahawa ramai Melayu yang dangkal sejarah dan bodoh untuk membaca yang tersirat memang tepat sekali. Cuma bezanya, yang dangkal sejarah bukan orang seperti penulis kolum Malaysiakini , Mariam Mokhtar ( BTN: Divisive, racist, politically-motivated , 5 Disember).

Yang buta sejarah itu, penulis 'Melayu lupa diri ...' sendiri. Penulis itu bukan sahaja tidak melihat apa yang tersirat, malahan apa yang berlaku di depan matapun tidak lihat.

Tiada sesiapapun yang lebih layak untuk mencaci dan menghina kaum dan agama seseorang melainkan dirinya sendiri. Penulis itu dengan penuh emosi menulis tentang betapa bodohnya Melayu yang gelojoh mengejar kuasa, malas berusaha, dan tidak mencermin diri.

Bukankah ini semua sifat-sifat pemimpin dan ahli Umno yang kita lihat masa kini?

Buta sejarah kerana Melayu Umno tidak sedar dan faham sejarah dunia melainkan apa yang diajar oleh kerajaan Umno. Apa yang berlaku di negara Barat dan tamadun-tamadun bukan Islam ditolak secara membuta tuli.

Rasuah dan pelbagai amalan tidak bermoral pula dibiarkan berleluasa. Malahan sifat-sifat buruk ini telah meresap ke semua peringkat pentadbiran awam hari ini sehingga rakyat merasa begitu jijik dan marah sekali.

Inilah yang penulis itu gagal lihat - bahawa yang buruk itu bukan Cina, India atau mereka yang berusaha dengan jujur untuk mencari sesuap nasi.

Yang buruk itu Umno sendiri. Yang buta itu mereka yang percaya bahawa Melayu tidak mungkin akan maju dan dapat bersaing secara adil sekiranya kaum-kaum lain tidak didiskriminasikan.

Lihatlah betapa senangnya tender-tender kerajaan dibolot oleh kontraktor-kontraktor Melayu Umno yang kemudiannya ditukar tangan ke pihak lain untuk disiapkan.

Tidak sedarkah Mustaqim bahawa apa yang berlaku tidak ada kena-mengena langsung dengan mimpi ketuanan Melayu atau usaha membantu mereka yang miskin dan terpinggir (Dasar Ekonomi Baru), tetapi cuma satu pembaziran sumber dan penyelewengan kuasa semata-mata?

Pembesar-pembesar Melayu Umno dengan rakusnya membolot kekayaan daripada projek-projek kerajaan tanpa perlu menitiskan setitik peluh. Selepas beberapa peringkat pengagihan tender lebih bawah, akhirnya projek-projek ini terpaksa dibereskan dengan kos yang melambung dan hutang yang tidak mampu diselesaikan.

Inikah pembelaan nasib orang Melayu yang anda maksudkan?

Siapakah yang buruk sebenarnya? Apakah perlakuan rasuah dan penyelewengan kuasa di kalangan pembesar-pembesar Melayu hari ini juga disebabkan oleh Cina dan India?

Walaupun penulis itu secara tepatnya menjelaskan sifat-sifat negatif Melayu hari ini, namun beliau tidak sedar bahawa yang masih melemahkan bangsa Melayu itu adalah Umno sendiri.

Tidak ada salahnya jika sekelompok manusia dengan tujuan dan minat yang sama ingin menubuhkan persatuan seperti Freemason, Kuomintang, persatuan bahasa atau persatuan agama.

Tetapi jika diteliti, persatuan-persatuan berkenaan dengan Umno hari ini, maka perbezaannya ialah persatuan-persatuan tersebut tidak melaung-laungkan keperitan mereka menjilat kasut orang lain serta keperluan untuk menindas orang lain bagi mencapai objektif mereka.

Mereka tidak perlu masuk bakul angkat sendiri untuk merasa bangga dengan kejayaan yang diperolehi dengan cara tidak jujur dan saksama.

Saya tidak faham. Mengapa penulis itu begitu memandang rendah pada kebolehan kaumnya sendiri untuk bersaing secara adil dengan kaum lain?

Sebenarnya, kebolehan untuk mencapai kejayaan bergantung pada nasib dan kebolehan individu itu sendiri. Apa kena-mengena dengan warna kulit dan agama?

Atas sebab apakah anda mencurigai kemampuan Mariam untuk bersaing dengan pelajar bukan Melayu yang cemerlang akademik?

Inilah yang Umno mahukan daripada pengikut-pengikut butanya seperti penulis tersebut - rasa kekurangan dan kelemahan diri, lantas perlunya kuasa politik dikekalkan dalam tangan pembesar parti itu.

Mengenai isu bangsa Malaysia, mengapakah harus dikorbankan kepelbagaian kaum dan budaya yang begitu unik di Malaysia untuk menjayakan tujuan sebenar pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang-bilang kaum yang hidup aman harmoni?

Mengapakah kita mesti samakan nama, agama dan adat resam semua rakyat untuk menjayakan konsep bangsa Malaysia? Kita bukannya Indonesia atau Amerika Syarikat - inilah Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya. Bukankah ini yang selalu dilaungkan kerajaan dalam iklan Malaysia, Truly Asia di CNN?

Mengapa harus ditutup sekolah-sekolah Tamil dan Cina? Bukankah lebih bermanfaat jika anak-anak kita digalakkan mempelajari bahasa lagi selain bahasa ibunda? Penulis itu berpendapat, kewujudan sekolah-sekolah tersebut satu ancaman terhadap kaum Melayu. Apa sebabnya? Ini satu konsep serong.

Saya boleh bertutur bahasa Melayu, bahasa Indonesia, Mandarin, Kantonis, Hokien, Hakka dan Inggeris. Jika boleh, saya juga ingin belajar bahasa Tamil dan Punjabi. Pelajar-pelajar di Barat juga digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya satu bahasa asing dalam zaman persekolahan mereka.

Di negara ini, sekolah-sekolah aliran lain ingin ditutup kerana kononnya sekolah aliran bukan Kebangsaan akan mengancam perpaduan negara dan kaum Melayu. Di mana logiknya?

Setahu saya, yang memanggil rakyat Malaysia pendatang, yang menghunus keris menuntut darah kaum lain bukan datang daripada sekolah Cina atau Tamil. Jadi siapakah yang mengancam perpaduan negara?

Ketidakrelaan orang-orang seperti Mustaqim untuk bergaul dengan mereka yang berlainan agama, warna kulit dan adat resamlah yang menyebabkan anda begitu dengki terhadap mereka yang rela membuka hati dan hidup mereka kepada kepelbagaian di sekeliling mereka.

Dunia orang seperti penulis itu cuma tinggal warna hitam dan putih sahaja.

Anda memanggil rakyat Malaysia selain Melayu sebagai pengkhianat dari China dan India. Nampaknya tahap pemikiran anda tidak dapat lari daripada zaman penjajah dahulu.

Sebagaimana yang ingin diterapkan oleh jentera politik seperti Biro Tatanegara (BTN) dalam minda anak-anak Melayu muda, Umno mahu mengingatkan Melayu bahawa Cina dan India di Malaysia cuma pendatang yang harus dilihat sebagai penumpang semata-mata.

Lihatlah di sekelilingmu - generasi muda sekarang sudah tidak lagi peduli taktik-taktik politik basi Umno ini.

Lagipun, tongkang-tongkang China yang sampai di pelabuhan Melaka dahulu bukannya pelarian dan pengkhianat negara mereka, tetapi pelayar dan pedagang yang mula menjelajah dunia sebelum Eropah. Kaum India pula dibawa oleh penjajah Inggeris ke Malaya atas sebab ekonomi untuk mengerjakan ladang-ladang getah.

Saya pernah ke Singapura dan mengenali beberapa rakan berbangsa Melayu di sana. Mereka memberitahu saya bahawa Melayu di Malaysia begitu mundur sekali tahap mindanya.

Di mata Melayu Singapura, Melayu Malaysialah yang harus dikasihani kerana Melayu Malaysia tidak faham langsung apa itu meritokrasi dan hanya bergantung kepada sedekah kerajaan.

ADS