Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Kami, daripada 35 buah badan bukan kerajaan dan parti politik negeri Johor, berkumpul untuk memberi sokongan kepada Cheng Lee Whee yang akan menghadapi perbicaraan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini (16 Disember).

Kami menuntut dakwaan terhadap Cheng digugurkan. Beliau telah didakwa bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, atau nombor rujukan kesnya: 83-4411-09(1), pada 14 Oktober lalu. Dakwaan terhadap Cheng berkaitan dengan tindakannya membuat aduan polis yang dikatakan laporan palsu di balai Permas Jaya berhubung insiden pengusiran paksa yang berlaku di Kampung Baru Plentong Tengah pada 16 Oktober 2008.

Pada 24 November lalu, kami berjaya menghantar petisyen kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk menuntut pihak berwajib itu menggugurkan pendakwaan ke atas Cheng. Petisyen itu disokong oleh 35 pertubuhan dan lebih kurang 500 orang individu.

Selain itu, pada 10 Disember lalu, satu sidang akhbar diadakan di Parlimen oleh YB Lim Kit Siang. Beliau menyokong petisyen tersebut untuk menggugurkan dakwaan terhadap Cheng. Ahli parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj turut membentangkan isu ini di Parlimen pada 14 Disember lalu.

Kami berpendapat bahawa pendakwaan Jabatan Peguam Negara ke atas Cheng satu penindasan berlanjutan ke atas seorang pejuang hak asasi manusia.

Pendakwaan ke atas Cheng juga penindasan terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram), badan-badan bukan kerajaan dan juga penindasan terhadap persatuan dan parti yang mempertahankan kebenaran dan menghormati hak asasi manusia.

Kesimpulannya, pendakwaan ke atas Cheng satu titik hitam dalam usaha kita mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan sistem politik yang demokratik.

Kami berpendapat bahawa tindakan Cheng membuat aduan di balai polis itu satu tindakan bagi menjalankan hak demokrasi serta kewajibannya sebagai seorang rakyat Malaysia. Tindakannya tidak berniat buruk dan tidak bermotifkan untuk mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.

Dengan itu, sekali lagi kami menyeru pihak berkuasa supaya menggugurkan sebarang pendakwaan ke atas Cheng.

Fang Pei Fen penyelaras Kumpulan Bertindak Menuntut Gugurkan Dakwaan Terhadap Cheng Lee Whee. Kenyataan ini dibacakan dalam satu sidang akhbar semalam sebelum kes terhadap wanita itu dimulakan.

ADS