Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rakyat tidak kira ideologi, agama, bangsa dan budaya mesti bersatu menyatakan bantahan dan menggesa kerajaan menghentikan usaha untuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bantahan ini kerana GST sudah pasti akan membebankan rakyat walaupun kerajaan membuat pelbagai janji manis bahawa rakyat tidak akan terbeban dengan cukai ini.

Penyokong Umno, MCA, MIC, PAS, PKR dan apa parti mereka akan terpalit dan sama-sama menanggung beban dan risiko apabila GST ini diluluskan di Dewan Rakyat nanti - rang undang-undang ini telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama.

Memang benar kerajaan BN yang memerintah kita pada hari tidak berhati perut dan tiada belas kasihan kepada rakyat.

Pada saat dan ketika rakyat dihimpit kesusahan dan penderitaan akibat kenaikan kos sara hidup, tergamak pula mereka menambahkan lagi penderitaan tersebut.

Pada 16 Disember lalu, rang undang-undang tersebut dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, manakala bacaan kedua dan seterusnya akan dilakukan dalam sidang dewan akan datang, Mac 2010.

Husni berkata kerajaan berhasrat untuk melaksanakan GST pada pertengahan 2011, untuk memberi masa yang mencukupi kepada semua pihak bersedia sebelum dilaksanakan.

Kerajaan bercadang untuk melaksanakan GST pada kadar 4 peratus dan pengecualian diberikan bagi barangan keperluan, antaranya beras, sayur-sayuran, tepung dan gula.

Persoalannya, adakah rakyat hanya makan beras, sayuran, tepung dan gula sahaja, bagaimana dengan barangan keperluan harian lain, sudah tentu ia akan naik harga?

Begitu juga dengan perkhidmatan, sudah tentu caj perkhidmatan tertentu akan naik dan membebankan rakyat.

Saya dengan ini mengharapkan rakyat dapat memberikan beberapa cadangan kepada rakyat Malaysia supaya bangkit membantah cadangan penguatkuasaan akta GST ini, antaranya :-

- memberikan maklum balas kepada seluruh wakil rakyat di kawasan masing-masing bahawa GST ini membebankan dan rakyat menolaknya 100 peratus,

- mengutip tandatangan membantah pelaksanaan akta ini,

- menghantar memorandum bantahan kepada perdana menteri bahawa rakyat tidak bersetuju dengan GST,

- menolak BN pada mana-mana pilihan raya umum akan datang.

Kerajaan sehingga hari ini gagal memberikan alasan konkrit mengapa GST ini hendak dilaksanakan.

Tidak cukupkah dengan pelbagai cukai yang sedia ada yang amat membebankan rakyat?

Ramai para pemerhati politik mengandaikan bahawa kerajaan BN sudah kesempitan wang sehingga terpaksa memperkenalkan akta ini untuk "merompak" duit rakyat secara terhormat dan sah tanpa memikirkan penderitaan rakyat yang kian perit sekarang ini.

Sofi Wahab ketua penerangan PAS Melaka


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS