• Kenapa panggil balik duta kita ke PBB?
  • Mohaz
  • 1262155800
  • Tindakan Wisma Putra memanggil pulang wakil tetap malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Vienna, Datuk Arshad M Hussain baru-baru ini amat dikesali.

    Alasan yang diberi oleh Wisma Putra: kerana Arshad tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan kerajaan berhubung proses pengundian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai program nuklear Iran.

    Proses pengundian itu diadakan berhubung satu resolusi untuk mengutuk Iran berkenaan program nuklear mereka.

    Sebagai ahli yang dilantik dalam Lembaga Gabenor IAEA bagi penggal 2009/2010, Malaysia mempunyai kuasa untuk sama ada mengundi menentang atau bersetuju.

    Arshad sebagai mewakili Malaysia mengundi menentang resolusi tersebut.

    Walaupun Wisma Putra mempunyai hak untuk memanggil pulang duta mereka, namun tindakan kali pertama yang berlaku dalam sejarah ini menunjukkan imej Malaysia sebagai sebuah negara bebas tercemar di mata dunia.

    Difahamkan bahawa Wisma Putra telah dilobi oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat untuk mengundi menyokong resolusi tersebut.

    Ketika tindakan Wisma Putra memanggil pulang Arshad mungkin dilihat dapat menyejukkan hati sesebuah negara, namun adakah tindakan ini disenangi oleh Iran dan duta negara-negara lain?

    Adakah tindakan Arshad begitu keterlaluan sehingga beliau diperlakukan sebegini rupa?

    Dalam hal pengundian ini, Arshad yang telah bertugas lebih 35 tahun sebagai wakil Malaysia telah menjalankan tanggungjawabnya secara betul.

    Beliau mengundi menentang resolusi tersebut disebabkan keputusan ahli-ahli Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) yang bersetuju untuk menentang resolusi berat sebelah tersebut.

    Malaysia salah satu anggota NAM. Wisma Putra sepatutnya memberikan kebebasan kepadanya untuk mengundi berlandaskan keputusan yang telah dicapai oleh ahli-ahli NAM.

    Tindakan Wisma Putra ini sepatutnya tidak berlaku. Duta itu sepatutnya dibenarkan menjalankan tugas mereka secara bebas berdasarkan pengalaman mereka tanpa diganggu dengan arahan-arahan yang tidak munasabah.

    Jika tindakan memanggil pulang seumpama ini berlaku lagi, Malaysia akan dilihat sebagai sebuah negara yang mudah tunduk kepada desakan negara lain dan gagal untuk berpandangan secara bebas.

    Amat diharapkan Wisma Putra menyambung kembali tugas Arshad sebagai Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Vienna secepat mungkin.