Saya seorang pengusaha kafe siber (CC) di kawasan kecil di Kubang Pasu berasa amat tidak berpuas hati berhubung tindak-tanduk pejabat daerah yang selalu datang mengacau dan mengenakan denda kepada kami.
Kesalahan awal dikenakan kompaun RM200 dan kali kedua pula RM500. Kesalahannya, remaja bawah 18 tahun - yang dilarang - memasuki kafe siber.
Saya ingin bertanya, kenapa tindakan cuma dikenakan kepada beberapa pihak sahaja? Sepatutnya semua pengusaha kafe siber dan bukan cuma satu atau dua sahaja yang dikenakan kompaun.
Persoalan saya, adakah mereka yang tidak didenda itu sudah memberikan "duit kopi"? Saya berharap penguatkuasa yang menjalankan tindakan ini tidak bertujuan demikian. Harapan saya, mereka boleh bertindak jujur demi tugas dan adil kepada semua pengusaha.
Pada tahun 1990-an, tidak ada lesen hiburan yang diwajibkan kepada pengusaha kafe siber. Cuma mulai tahun 2002 sahaja lesen tersebut diperkenalkan di Kubang Pasu.
Kawasan-kawasan lain tidak mempunyai peraturan seperti ini. Ada kafe siber yang beroperasi 24 jam tetapi kami dikenakan walaupun beroperasi dari 9 pagi hingga 12 tengah malam.
Adakah tindakan ini adil? Ada pengusaha kafe siber yang mempunyai tidak sampai 20 komputer jika dibandingkan dengan pengusaha-pengusaha lain yang memiliki 30 hingga 100 unit komputer.
Di kafe siber manakah yang akan dikunjungi lebih ramai remaja? Kenapa pengusaha-pengusaha itu tidak dikenakan kompaun?